Pekerja pembersihan di ION Orchard antara 5 jangkitan COVID-19 dalam masyarakat yang tidak berkait kes terdahulu
Empat dikaitkan dengan kes sebelumnya dengan tiga sudah dikuarantin manakala baki satu dikesan melalui proses pengawasan, kata MOH dalam kemas kini hariannya.

Pusat beli-belah di Orchard Road. (Gambar: Reuters)
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) mengesahkan sembilan kes baru COVID-19 dalam masyarakat pada Sabtu (12 Jun), termasuk lima yang tidak berkait kes terdahulu.
Empat dikaitkan dengan kes sebelumnya dengan tiga sudah dikuarantin manakala baki satu dikesan melalui proses pengawasan, kata MOH dalam kemas kini hariannya.
Ia sebelum ini melaporkan 12 kes jangkitan dalam masyarakat, namun tiga kes disahkan negatif COVID-19 ekoran ujian lanjutan, kata MOH.
"Ini kerana tiga daripada kes itu didapati negatif selepas ujian lanjut COVID-19 dijalankan," jelas MOH.
KES TIADA KAITAN
Seorang pekerja pembersihan di ION Orchard merupakan antara lima kes yang tidak berhubung kait kes terdahulu.
Pusat beli belah itu kini ditutup empat hari bagi kerja-kerja pembersihan menyeluruh.
Warga China berusia 45 tahun itu bekerja dengan Hong Ye Group.
Wanita itu tidak mengalami gejala dan dikesan apabila menjalani ujian COVID-19 oleh majikannya pada Jumaat.
Hasil ujiannya positif pada hari yang sama manakala keputusan ujian serologinya masih belum selesai.
Baki empat kes melibatkan pelajar di SIM Global Education, pembantu rumah Myanmar, pekerja di Pelabuhan Jurong dan pekebun landskap.
Penuntut Singapura berusia 18 tahun di SIM Global Education itu kali terakhir berada di sekolah pada 24 Mei.
Dia mengalami selesema dan demam pada 10 Jun lalu mendapatkan rawatan di sebuah klinik keluarga pada 11 Jun yang mana dia menjalani ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).
Dia segera diasingkan apabila kedua-dua keputusan ART dan PCRnya positif COVID-19.
Hasil ujian serologinya masih belum dipastikan, menurut MOH.
Terdapat juga sembilan kes import dilaporkan hari ini yang mana enam adalah rakyat Singapura dan tiga penduduk tetap yang pulang dari India, Portugal, Rusia, Thailand, UK dan Amerika Syarikat.
Mereka dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sebaik saja tiba di Singapura dan diuji semasa menjalani SHN mereka.
Ini menjadikan keseluruhan kes harian COVID-19 hari ini kepada 18.
JUMLAH KES BARU DALAM MASYARAKAT MEROSOT
Secara keseluruhan, jumlah keseluruhan kes baru dalam masyarakat merosot daripada 129 minggu sebelumnya kepada 32 kes minggu lalu.
MOH menyatakan: "Jumlah kes tiada kaitan dalam masyarakat juga merosot daripada 20 kes kepada 14 kes minggu lalu. Kami akan terus memantau jumlah itu dengan teliti serta kes yang dikesan melalui program pemantauan kami."
Daripada 87 kes dilaporkan dari 6 Jun hingga 12 Jun, 46 kes dikesan positif bagi ujian serologi, 25 kes pula negatif dan lagi 16 sedang menantikan keputusan.
Sementara itu, MOH menyatakan lagi 39 pesakit dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
"Secara keseluruhan, 61,838 kes sudah sembuh sepenuhnya daripada jangkitan tersebut dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat," menurut MOH.
Buat masa ini, terdapat 125 kes yang masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik manakala satu pula dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.
Lagi 266 kes sedang diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sehingga Sabtu, Singapura melaporkan 62,263 kes COVID-19 dan 34 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.