Pekerja pembersih hias kondominium Choa Chu Kang sempena Deepavali dengan kraftangan sendiri
Selama hampir dua bulan, sekumpulan pekerja pembersihan di sebuah kondominium di Choa Chu Kang bertungkus lumus untuk menyiapkan perhiasan sempena perayaan Deepavali.

(Gambar ihsan: iNz Community)
SINGAPURA: Selama hampir dua bulan, sekumpulan pekerja pembersihan di sebuah kondominium di Choa Chu Kang bertungkus lumus untuk menyiapkan perhiasan sempena perayaan Deepavali.
Semua hiasan yang dihasilkan sendiri itu diletakkan di ruang-ruang awam seperti lobi lif di kondominium iNz Residence itu.
Ini termasuk hiasan seekor burung merak yang berwarna-warni dan menjadi tarikan utama.
Para pekerja seramai 11 orang itu memberitahu BERITAmediacorp bahawa mereka melakukannya sekadar 'suka-suka' dan secara sukarela.
Usaha mereka itu mendapat sokongan pihak jawatankuasa pengurusan kondominium yang menaja kira-kira S$250 bagi membeli bahan kraftangan yang diperlukan.
Walau bagaimanapun proses menghasilkan hiasan-hiasan tersebut agak mencabar juga dek masalah kekurangan bahan.
"Untuk menyiapkan hiasan ini, penyelia kami terpaksa ke seberang tambak untuk membeli bahan-bahannya. Malangnya, disebabkan kedai di sana tutup kerana pandemik, kami terpaksa cari huraian untuk gunakan semula barang-barang yang tersedia," kata salah seorang pekerja, Noah Mohd Rizal.
Untuk mengatasi masalah itu, mereka memutuskan untuk menggunakan bahan-bahan tersedia di sekeliling mereka termasuk bahan-bahan yang dikitar semula.
Misalnya, bahagian kepala burung merak itu diperbuat daripada bahan-bahan dikitar semula seperti styrofoam dan kotak.
Sering kali, para pekerja tersebut secara sukarela mengorbankan masa rehat dan juga selepas waktu bekerja untuk menyiapkan perhiasan-perhiasan tersebut.
Ternyata kerja keras mereka selama dua bulan berbaloi apabila perhiasan yang dihasilkan mendapat pujian para penduduk.
"Saya pun gembira sebab para penduduk berikan sokongan, walaupun kami bekerja sebagai pekerja pembersihan tetapi kita dapat usahakan sesuatu yang baik untuk para penduduk. Walaupun ia perayaan Deepavali, kita dapat menyambutnya bersama-sama, tidak kira bangsa," kata Noah lagi.
Usaha mereka itu juga membawa keceriaan di kalangan para penduduk.
"Saya rasakan sebagai seorang penduduk, mereka telah lakukan lebih daripada apa yang perlu dan mereka membawa keceriaan kepada para penduduk dan mereka juga berikan suntikan keistimewaan kepada musim perayaan ini," kata Encik Seto Lek Keong, salah seorang penduduk kondominium itu.
Ini bukan kali pertama para pekerja pembersihan itu menghiasi kawasan kondominium itu.
Mereka mula menghiasi ruang umum di sekitar kondominium itu seawal 2021, semasa Krismas dan juga untuk sambutan Hari Kebangsaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.