Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja pembersih: Bayi yang ditemui di Bedok North 'perlahan-lahan menangis'

Pekerja pembersih yang menjumpai bayi lelaki di Bedok North pada Selasa (7 Jan) berkata beliau menyedari terdapat seorang bayi dalam sebuah tong sampah di kolong blok apabila terdengar bunyi tangisan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja pembersih: Bayi yang ditemui di Bedok North 'perlahan-lahan menangis'

Pekerja pembersih Patwari Shamin, 24, (kiri) dan rakan sekerjanya Mostafa Kamal, 37. (Gambar: Mandy Lee/TODAY)

Diterbitkan : 08 Jan 2020 03:00PM Dikemas Kini : 08 Jan 2020 03:06PM

SINGAPURA: Pekerja pembersih yang menjumpai bayi lelaki di Bedok North pada Selasa (7 Jan) berkata beliau menyedari terdapat seorang bayi dalam sebuah tong sampah di kolong blok apabila terdengar bunyi tangisan.

Pembersih majlis bandaran itu Encik Patwari Shamin, 24, sedang memandu 'buggy' yang membawa tong-tong sampah dari Blok 534 Bedok North Street 3, apabila beliau terdengar bunyi tangisan yang agak perlahan daripada bahagian belakang kenderaan tersebut.

Lantaran itu, Encik Patwari berhenti dan keluar untuk memeriksa. Beliau menyedari tangisan itu datang daripada salah sebuah tong sampah yang diangkat ke atas 'buggy' tersebut.

Tangsian itu amat perlahan, kata beliau. "Dia menangis dengan perlahan-lahan."

Rakan sekerjanya, Encik Mostafa Kamal, 37, mengalihkan lapisan surat khabar daripada bahagian atas tong sampah itu.

Pada ketika itulah mereka ternampak sebuah beg plastik dipenuhi darah dan bayi berkenaan, yang sedang "menangis, dan kemudian bergerak", kata Encik Patwari.

Mereka takut untuk memindahkan bayi itu dan segera menghubungi penyelia mereka daripada majlis bandaran.

"Saya takut," katanya. "Ini kali pertama saya menjumpai bayi."

Penyelia tersebut yang tiba sekitar lima minit kemudian, membuka ikatan beg plastik tersebut dan mengeluarkan bayi itu, sebelum menghubungi polis.

Polis memaklumkan dalam kenyataannya pada Selasa bahawa pihaknya menerima panggilan bagi bantuan dari lokasi berkenaan pada sekitar 9.10 pagi.

Anggota paramedik memeriksa bayi itu, yang didapati berada dalam keadaan stabil. Dia juga tidak mempunyai kecederaan luaran, dedah polis. Bayi tersebut kemudian dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Polis sedang mencari ibu bapa bayi berkenaan.

"Saya sangat gembira bayi itu dalam keadaan selamat sekarang," luah Encik Patwari.

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan