Pekerja muda perlu peka dengan matlamat gerakan buruh S'pura; jadi 'suara' pekerja tidak kira usia
SINGAPURA: Mendekati golongan pekerja muda dan mendengarkan harapan mereka agar lebih yakin melangkah ke alam pekerjaan.
Ini merupakan antara matlamat penting bagi pembentukan pasukan bertindak oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang akan memberi tumpuan kepada keperluan golongan pekerja muda, menurut Naib Presiden NTUC Abdul Samad Abdul Wahab selepas majlis Rapat Hari Buruh hari ini (1 Mei).
Selain itu, pasukan bertindak ini juga ingin memberikan gambaran kepada para pekerja muda ini apakah yang harus mereka fikirkan dan boleh jangkakan tentang dunia pekerjaan.

Antara sebab yang diberikan mengapa golongan muda khususnya menjadi tumpuan adalah ramai dalam kalangan mereka di bawah usia 25 tahun tidak tahu akan peluang pekerjaan, cabaran pekerjaan serta badan-badan mana yang boleh mendengar maklum balas mereka.
"Saya rasa untuk para pekerja muda, mereka harus tahu apakah matlamat gerakan buruh di Singapura iaitu menjadi suara bagi para pekerja tidak kira umur," ujar Encik Samad.
"Kami ingin mendekati anda - para pekerja muda dan kami ingin mendengar apakah cabaran yang anda hadapi," tambah beliau.

Dengan adanya pasukan bertindak ini, masyarakat Melayu juga dapat meraih manfaat.
Ini dengan adanya "wakil-wakil Melayu" di dalam pasukan tersebut menurut Encik Samad yang dapat mendekati mereka.
"Dari situ, kita dapat memahami apakah perasaan mereka, apakah cabaran mereka dan apakah aspirasi mereka," tambahnya lagi.
Pembentukan pasukan kerja itu turut disokong wakil Kesatuan Pekerja Perkilangan Lanjut (AMEU) yang menyaksikan beberapa cabaran yang dihadapi para pekerja muda.

"Budak-budak sekarang ini agak berlainan berbanding dahulu dan mereka takut untuk mula bekerja," kongsi Monterio Mohamad Azhar, 31 tahun.
"Jadi di NTUC, kita akan menolong mereka mencarikan kerja atau menyiapkan mereka untuk memulakan kerja," tambah beliau.
Encik Monterio juga menarik perhatian bahawa buat masa ini, ada rangkaian kerjaya buat golongan belia di mana mereka akan dibantu memahami lebih lanjut tentang bidang pekerjaan yang bakal mereka ceburi.
ALU-ALUKAN GAGASAN YANG BAKAL DITERAJUI PASUKAN 4G

NTUC juga mengalu-alukan gagasan "Melakar Hala Tuju Singapura" yang diumumkan Menteri Kewangan Lawrence Wong dalam ucapannya di Rapat Hari Buruh pagi tadi (1 Mei).
Menurut Encik Wong, usaha yang akan diterajui pasukan generasi keempat itu akan "menyuntik kesegaran dalam kompak sosial kita".
Encik Samad berkata agenda itu akan membuka peluang pekerjaan baru yang dapat meningkatkan lagi prestasi para pekerja pada masa hadapan. Ini di samping terus meningkatkan kemahiran dengan menghadiri latihan-latihan yang disediakan.
"Bagi Melakar Hala Tuju Singapura, kita berharap ia menjadikan suatu pekerjaan bukan setakat pekerjaan biasa sahaja tetapi juga pekerjaan yang boleh memberikan gaji yang lebih baik, status pekerjaan dan keadaan pekerjaan yang jauh lebih baik," kongsi Encik Samad.
Beliau turut menggesa agar masyarakat Melayu mengambil setiap peluang yang dibentangkan agar dapat kekal berdaya saing dan sama-sama menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.