Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja muda kurang bersedia terima gaji lebih rendah; lebih utamakan kebajikan keluarga, kehidupan peribadi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Golongan pekerja muda kurang bersedia untuk menerima gaji lebih rendah atau peranan kerja lebih kecil demi kebajikan keluarga atau kehidupan peribadi mereka jika dibandingkan dengan rakan-rakan kerja mereka yang lebih tua, menurut tinjauan oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada Isnin (16 Jan).

Tinjauan itu turut menunjukkan bahawa hanya kurang separuh daripada mereka yang berusia 35 hingga 54 tahun dan 53 peratus daripada mereka yang berusia 21 hingga 34 tahun sanggup berbuat demikian supaya dapat meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga dan peribadi sekalipun ini mungkin bermakna status pekerjaan yang lebih rendah.

Ini berbanding lebih 6 daripada 10 responden berusia 55 tahun ke atas yang sanggup berbuat demikian.

Tinjauan pada Oktober tahun lalu bertajuk "Tinjauan Mengenai Kesediaan Tenaga Kerja Singapura untuk Masa Depan Kerja, Aspirasi Kerja dan Persepsi Mobiliti Sosial" meninjau 1,010 warga dewasa Singapura yang bekerja, berusia antara 21 hingga 84 tahun.

Ia bertujuan untuk memahami "bagaimana warga Singapura dapat melakukan pekerjaan masa depan dan cabaran yang mungkin dihadapi," menurut kenyataan media mengenai kajian itu.

Isu-isu lain yang ingin dikaji termasuk adakah warga Singapura sudah bersedia secara mental bagi pekerjaan masa hadapan, adakah mereka memiliki kemahiran asas yang penting dan apakah perkara penting buat warga Singapura di tempat kerja.

"Kami menjalankan tinjauan ini untuk memahami sejauh mana pekerja warga Singapura bersedia untuk mengharungi dan mengecapi kejayaan dalam landskap global yang mengalami gangguan dan penyusunan semula, serta demografik yang semakin menua," kata Dr Chew Han Ei, zamil penyelidik kanan di IPS dan penulis bersama kajian itu.

APA YANG WARGA SINGAPURA SANGGUP KORBANKAN?

Para responden juga ditanya sama ada mereka pernah menerima gaji lebih rendah atau melepaskan peluang pekerjaan yang lebih baik demi kebajikan keluarga atau kehidupan peribadi mereka.

Responden lebih tua yang berusia 55 tahun ke atas menjawab 'ya' (37 peratus) berbanding golongan muda (32 peratus daripada mereka berusia 35 hingga 54 tahun dan 22 peratus daripada mereka yang berusia 21 hingga 34 tahun).

Responden juga ditanya jika mereka sanggup menerima gaji lebih rendah atau peranan yang lebih kecil bagi pekerjaan yang menyumbang kepada sesuatu yang lebih penting atau bermakna.

Tinjauan itu mendapati kesediaan untuk berbuat demikian meningkat mengikut usia, dengan lebih ramai responden berusia 55 tahun ke atas bersetuju untuk berbuat demikian (59 peratus) berbanding mereka yang berusia antara 35 hingga 54 tahun (44 peratus) dan mereka yang berusia antara 21 dengan 34 tahun (40 peratus).

SEJAUH MANA WARGA SINGAPURA BERSEDIA UNTUK PEKERJAAN MASA HADAPAN?

Kira-kira dua pertiga responden berpendapat bahawa pekerjaan yang dilakukan mereka sekarang akan berubah dengan ketara dalam masa beberapa tahun akan datang.

ADAKAH WARGA SINGAPURA MEMILIKI KEMAHIRAN ASAS YANG KRITIKAL?


Tinjauan itu mendapati bahawa kaum wanita menilai diri mereka lebih rendah dari segi kepercayaan terhadap kemahiran kreatif dan minat pada pekerjaan yang memerlukan sentuhan kreatif.

79 peratus responden lelaki berpendapat bahawa mereka berupaya menghuraikan masalah dengan cara yang kreatif di tempat kerja berbanding 69 peratus responden wanita.

APA YANG PENTING BAGI WARGA SINGAPURA DI TEMPAT KERJA?

Tinjauan itu turut menyenaraikan 15 aspek pekerjaan berbeza dan meminta responden menilai sejauh mana mereka menganggap setiap aspek itu penting dalam pekerjaan mereka.

Secara purata, gaji yang memadai, etika dan persekitaran tempat kerja adalah tiga aspek pekerjaan yang dianggap paling penting, manakala pengiktirafan, kemajuan kerjaya dan kepelbagaian tugas adalah antara aspek yang paling kurang diberikan perhatian.

Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan