Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja maut terhimpit antara tiang, bas bergerak di Kranji

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pekerja berusia 43 tahun maut pada 3 Ogos setelah beliau terhimpit antara tiang dengan sebuah bas yang sedang bergerak di Kranji.

Ini merupakan nahas ke-32 yang membawa maut di tempat kerja, dilaporkan dalam 2022 setakat ini.

Dalam satu makluman yang dimuat naik oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) pada Rabu (10 Ogos), insiden itu berlaku pada 3 Ogos, apabila seorang pekerja sedang membantu bas tersebut mengundur sedang beliau berdiri di sebelah tiang.

"Selepas mengundur, pemandu itu menggerakkan bas tersebut ke hadapan untuk membetulkan kedudukannya tetapi ia menghimpit pekerja berkenaan pada tiang itu," menurut Majlis WSH.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa insiden itu berlaku di 60 Jalan Lam Huat sekitar pukul 11.00 pagi pada 3 Ogos. Alamat itu adalah di mana hab mega jualan kereta, Carros Centre, terletak.

Menurut MOM, pekerja yang meninggal dunia itu ialah warga China berusia 43 tahun, yang bekerja sebagai pemandu. Beliau sedang membantu bas tersebut mengundur pada kedudukan yang betul di sebuah pusat pertukaran bas, di mana Comfortdelgro Bus berasa.

Pekerja itu kemudian dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat di mana beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami, menurut MOM.

MOM menambah ia sedang menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut dan sudah mengarahkan majikan, Singapore Towing Equipments, supaya menghentikan semua operasi tunda kenderaan daripada jalan raya bukan awam dan premis bangunan.

"Sebagai langkah umum keselamatan, apabila memberi panduan bagi pergerakan kenderaan di tempat yang sempit, para majikan dan penyelia seharusnya menjalankan penilaian keselamatan dan berkomunikasi dengan jelas tentang penunjuk-penunjuk keselamatan kepada para pekerja yang melakukan tugas itu," menurut MOM.

Mereka juga perlu memastikan terdapat pelan pengurusan trafik dengan tempat meletak kenderaan yang "jelas ditandakan" serta pengurusan titik buta menggunakan cermin-cermin cembung, bonggol jalan serta papan-papan tanda.

Awal bulan ini di Parlimen, Anggota Parlimen (AP) Melvin Yong (PAP Radin MAS) menarik perhatian kepada kenaikan membinbangkan dalam jumlah kematian dan kecederaan di tempat kerja pasca pandemik.

Encik Yong berkata meskipun keselamatan di tempat kerja semakin baik dalam beberapa tahun sebelum penularan COVID-19, terdapat lonjakan kes kematian, kemalangan dan kecederaan sedang "syarikat-syarikat bergegas untuk menyelesaikan kerja-kerja yang tertunggak disebabkan pandemik".

Mendapat waktu minimum rehat bagi para pekerja dalam industri-industri berisiko tinggi dan memudahkan mereka membuat aduan tentang kesilapan-kesilapan keselamatan adalah antara saranan yang diutarakan di Parlimen untuk mempertingkat keselamatan di tempat kerja.

Encik Yong, yang juga penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mengakui bahawa MOM sudah mengambil langkah untuk menangani isu tersebut. Namun beliau menggesa agar lebih banyak lagi langkah diambil.
Sumber : CNA/NK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan