Skip to main content

Singapura

Pekerja maut setelah jatuh 7 tingkat ketika pindahkan barangan di unit kediaman

Seorang pekerja maut pada awal bulan ini setelah terjatuh ketika sedang memindahkan barang-barangan dari sebuah unit kediaman, menurut Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja dalam satu buletin pada Isnin (12 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja maut setelah jatuh 7 tingkat ketika pindahkan barangan di unit kediaman

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 13 Apr 2021 09:40AM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 09:44AM

SINGAPURA: Seorang pekerja maut pada awal bulan ini setelah terjatuh ketika sedang memindahkan barang-barangan dari sebuah unit kediaman, menurut Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja dalam satu buletin pada Isnin (12 Apr).

Kejadian itu yang disahkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), berlaku pada 5 April.

Lelaki itu yang identitinya tidak didedahkan dalam buletin tersebut, merupakan sebahagian daripada sekumpulan pekerja yang ditugaskan untuk membuang perabot dan peralatan elektrik dari tingkat 10 sebuah unit kediaman. Lokasi kejadian tidak didedahkan dalam buletin itu.

Majlis itu menyatakan bahawa pekerja itu sedang berdiri di atas tangga apabila beliau terjatuh ke belakang dari tembok tepi laman rumah berkenaan ke tingkat ketiga.

"Beliau disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik," menurut buletin tersebut.

Mediacorp cuba mendapatkan lebih butiran dari MOM, yang telah mula menyiasat kejadian itu.

Dalam buletin tersebut, majlis berkenaan menggesa para majikan dan penyelia terbabit dalam kerja-kerja sedemikian supaya melaksanakan langkah kawalan risiko sewajarnya.

Mereka juga harus memberi taklimat kepada para pekerja tentang sebarang bahaya, menyediakan peralatan sewajarnya dan langkah-langkah lain, menurut majlis itu.

Pada 10 Feb tahun ini, satu kejadian serupa berlaku apabila seorang pengarah syarikat binaan meninggal dunia ketika sedang menyelia kerja-kerja pengubahan di sebuah rumah sebandung di Dunearn Road.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa pekerja itu terjatuh dari pembukaan pada lantai ke sebuah tangga kira-kira 4.7 meter di bawah, dan beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita