Skip to main content

Singapura

Pekerja maut selepas terjatuh 9 meter di tapak binaan MRT Laluan Daerah Jurong

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja maut selepas terjatuh 9 meter di tapak binaan MRT Laluan Daerah Jurong
Sebuah tapak kerja Laluan Daerah Jurong dekat 202 Pandan Gardens. (Gambar: Google Earth)
Diterbitkan : 15 Nov 2025 09:53PM Dikemas Kini : 15 Nov 2025 09:54PM
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian di sebuah tapak kerja Laluan Daerah Jurong, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Pekerja itu jatuh dari ketinggian kira-kira 9 meter ketika sedang turun daripada struktur perancah di tapak kerja berhampiran 202 Pandan Gardens pada Khamis (13 Nov) pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Beliau dibawa oleh pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana beliau disahkan meninggal dunia, menurut LTA pada Sabtu.

Majikan pekerja itu adalah Leze Construction, anak syarikat kepada subkontraktor kontraktor utama Daewoo-Yongnam Joint Venture.

"Kami sangat sedih atas kejadian ini, dan mengutuskan takziah sedalamnya kepada keluarga mendiang yang terkorban.

"Kami sedang bekerjasama dengan kontraktor itu untuk menyediakan sokongan dan bantuan," menurut LTA.

LTA menegaskan ia memandang serius terhadap semua insiden keselamatan.

"Terdapat prosedur keselamatan kerja di ketinggian yang ditetapkan di tapak kerja kami, dan siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku."

LTA mengeluarkan perintah henti kerja ke atas tapak kerja tersebut dan mengarahkan supaya semua aktiviti kerja dari ketinggian bagi seluruh projeknya dihentikan untuk menyemak semula pematuhan terhadap prosedur keselamatan.

Ia juga menyokong Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam siasatan ke atas insiden berkenaan.

Pada Januari 2024, seorang pekerja binaan di tapak kerja Laluan Daerah Jurong maut selepas terjatuh dari ketinggian 7.5 meter, dari pinggir platform yang belum siap dibina.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita