Skip to main content

Singapura

Pekerja maut selepas terjatuh 7.5 meter di tapak binaan MRT Laluan Daerah Jurong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan di sebuah tapak kerja Laluan Daerah Jurong meninggal dunia pada awal pagi Khamis (4 Jan) selepas dia terjatuh dari ketinggian 7.5 meter, dari pinggir platform yang belum siap dibina.

Kemalangan tersebut berlaku pada kira-kira 2.30 pagi di Jurong West Street 75, di mana terletaknya stesen Gek Poh yang akan datang.

Pekerja itu, warga Myanmar berusia 27 tahun, dikejarkan ke Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana dia meninggal dunia disebabkan kecederaan yang dialaminya.

Semua aktiviti kerja di tapak berkenaan, diarah dihentikan dengan segera, nyata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam menjawab pertanyaan pada Sabtu (6 Jan). LTA menambah bahawa ia "memandang serius" terhadap insiden-insiden keselamatan sedemikian.

"Tempoh masa keselamatan juga dikenakan ke atas semua tempat kerja. Kami juga sedang membantu Kementerian Tenaga Manusia dengan siasatan yang dijalankan ke atas kemalangan tersebut," tambahnya.

"Kami menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang pekerja tersebut dan sedang bekerja dengan kontraktor kami untuk menyediakan sokongan dan bantuan kepada mereka."

Dalam kenyataannya, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendedahkan bahawa pekerja tersebut sedang membina sebuah platform apabila dia terjatuh.

Ia menambah bahawa sebagai langkah keselamatan umum, pekerja seharusnya dilengkapi dengan kelengkapan keselamatan pada setiap masa apabila terdapat risiko jatuh dari tempat tinggi.

Kontraktor utama bagi tapak kerja yang terjejas itu adalah CES_SDC, yang telah diberikan kontrak bernilai sekitar S$226.6 juta pada 2020 untuk mereka bentuk dan membina stesen Gek Poh dan Tawas, serta dua jejambat.

Majikan mendiang pekerja itu adalah Jiangxi Construction Development.

Laluan Daerah Jurong, iaitu laluan MRT ketujuh di sini, dijangka dibuka dalam tiga fasa mulai 2027.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita