Skip to main content

Singapura

Pekerja maut selepas kepala tersepit mesin, ciri keselamatan tidak dipatuhi: Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja maut selepas kepala tersepit mesin, ciri keselamatan tidak dipatuhi: Koroner

Ilustrasi kemalangan berkenaan yang berlaku. (Gambar: Majlis WSH)

Diterbitkan : 21 Nov 2023 05:49PM Dikemas Kini : 21 Nov 2023 05:50PM

SINGAPURA: Kematian seorang pekerja di sebuah syarikat pengilangan, selepas kepalanya tersepit pada sebuah mesin, boleh dielak jika langkah-langkah keselamatan dipatuhi.

Demikian menurut dapatan mahkamah koroner.

Dalam dapatan yang didedahkan minggu ini, Koroner Negara Adam Nakhoda menetapkan kematian seorang warga China berusia 34 tahun Sun Zaitao sebagai satu kemalangan berkaitan kerja.

Encik Sun meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepalanya pada 11 Februari tahun lalu, selepas membongkokkan dirinya ke dalam tingkap mesin pemprosesan kadbod untuk mengeluarkan sisa.

Kepalanya tersepit pada bahagian mesin itu dan tubuhnya terjatuh atau ditarik ke dalam mesin berkenaan.

Beliau disahkan mati di tempat kejadian.

Encik Sun bekerja sebagai pemasang pengeluaran bagi AMB Packaging, syarikat pembuat kertas serta kontena dan kotak kadbod di 17 Senoko Loop.

Mendiang dilatih untuk mengendalikan mesin yang meragut nyawanya, yang dipanggil mesin 'Tai Yi TGF High Speed Flexo Printer Slotter Rotary Die-Cutter Inline with Folder Gluer'.

Tugasnya khusus untuk mengendalikan mesin berkenaan sejak November 2021.

Pada sekitar 4.20 petang 11 Februari tahun lalu, Encik Sun dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), membongkokkan bahagian atas tubuhnya melalui tingkap mesin semasa ia beroperasi.

Koroner menyatakan berkemungkinan besar Encik Sun sedang cuba untuk membersihkan sisa kadbod.

"Kemungkinan kepala Encik Sun kemudiannya tersepit pada mekanisme yang bergerak," jelas koroner.

SIASATAN MOM

Berikutan kematian Encik Sun, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mendapati bahawa alat kunci pada mesin itu telah diganggu. Kuncinya dibiar dimasukkan ke dalam satu peranti, di sisi bingkai tingkap itu agar kekal terbuka walaupun semasa mesin beroperasi.

Pelanggaran langkah keselamatan itu dilakukan supaya mesin tersebut boleh terus beroperasi tanpa gangguan. Biasanya, sisa kadbod akan terkumpul dekat tingkap tersebut, memerlukan mesin berkenaan dimatikan sebelum pekerja dapat mengeluarkan sisa.

MOM menyemak semula rakaman CCTV dan mendapati bahawa Encik Sun dan seorang penyelia dilihat membongkokkan bahagian atas badan mereka ke dalam tingkap tersebut sebanyak lima hingga 11 kali antara Januari dan Februari 2022.

Menyusuli kematian Encik Sun, arahan berhenti kerja dikeluarkan dan syarikat tersebut diarah untuk memasang semula alat kunci tersebut, sambil memastikan ia berfungsi.


Koroner menegaskan bahawa kemalangan itu adalah sesuatu yang dapat dielakkan. Ini memandangkan mesin berkenaan dilengkapi dengan ciri keselamatan, yang dapat mencegah pekerja daripada mendekati bahagian jentera yang bergerak.


Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkepentingan, yang mengendalikan jentera yang serupa, agar melaksanakan saranan-saranan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) demi mengelak kemalangan yang sama daripada berlaku pada masa depan.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita