Skip to main content

Singapura

Pekerja maut dalam kemalangan forklift di Keat Hong Link

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pekerja berusia 35 tahun meningal dunia dalam satu kemalangan forklift di sebuah tapak binaan projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Keat Hong Link pada Khamis (7 Jul). 

Kematiannya sekali gus membawa jumlah kemalangan maut di tempat kerja pada 2022 kepada 29. 

Warga India itu sedang berdiri di bahagian belakang forklift berkenaan semasa mengikat kabel elektrik apabila forklift itu tiba-tiba bergerak ke belakang,  menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat (8 Jul). 

Lelaki itu yang merupakan pekerja dari syarikat Mega Engineering dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong di mana beliau kemudian meninggal dunia. 

MOM menyatakan sebagai langkah keselamatan am, forklift hanya boleh digunakan untuk "tujuan-tujuan tertentu". 

Ia sedang menyiasat kejadian itu dan mengarahkan syarikat Teambuild Engineering & Construction untuk menghentikan semua kerja di tapak binaan tersebut. 

Syarikat-syarikat yang diberi arahan hentikan kerja atau pernah  berlaku kecederaan serius dikehendaki mendapatkan khidmat  audit luaran untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap proses-proses mereka. 

Terdapat 28 kematian di tempat kerja pada enam bulan pertama 2022, berbanding 17 pada tempoh yang sama pada 2019, sebelum pandemik COVID-19, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng semasa menjawab pertanyaan di Parlimen pada Isnin (4 Jul). 

Denda lebih berat bagi syarikat yang mencatat prestasi keselamatan dan kesihatan yang teruk di tempat kerja mula dikenakan bulan lalu. 

Pada Mei, MOM, Majlis WSH, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan-rakan industri menggesa syarikat supaya melaksanakan tempoh rehat di tengah-tengah jumlah kematian di tempat kerja yang "membimbangkan" di pelbagai industri. 
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita