Pekerja ladang ikan dijel; pukul rakan kerja dengan tukul kerana berjalan sambil bogel
Gara-gara marah melihat rakan kerjanya sekali lagi berjalan di ladang ikan dalam keadaan berbogel, seorang lelaki mengambil sebatang tukul kayu dan memukul rakan kerjanya itu.
Gambar: Istock
SINGAPURA: Gara-gara marah melihat rakan kerjanya sekali lagi berjalan di ladang ikan dalam keadaan berbogel, seorang lelaki mengambil sebatang tukul kayu dan memukul rakan kerjanya itu.
Mangsa, lelaki Myanmar berusia 38 tahun, mengalami luka di bahagian dahinya dan retak tulang hidungnya.
Penyerangnya, Saw Paing Soe Thu, 35 tahun, yang juga seorang warga Myanmar dijatuhi hukuman penjara 13 bulan pada Selasa (6 Jul). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja kepada mangsa dengan menggunakan tukul kayu.
Mahkamah diberitahu bahawa Saw Paing Soe Thu bekerja di sebuah ladang ikan dekat Lim Chu Kang bersama mangsa.
Sebulan dua sebelum April tahun ini, mangsa berjalan di kawasan ladang dalam keadaan bogel. Saw Paing Soe Thu menyuruh mangsa agar tidak berbuat demikian.
Sekitar jam 6 petang pada 9 April, Saw Paing Soe Thu sedang memasak sementara mangsa mandi.
Selesainya mandi, mangsa tidak memakai pakaiannya dan sebaliknya langsung ke tempat memasak untuk mematikan gas dapur di mana beliau sedang memanaskan air dalam cerek.
Apabila mangsa menghampiri Saw Paing Soe Thu dari belakang dalam keadaan telanjang, Saw memarahinya. Dia berasa marah kerana mangsa berjalan begitu dekat dengannya ketika berbogel.
Saw Paing Soe Thu kemudian menghabiskan setengah botol wain beras. Menurutnya dia menjadi marah setiap kali teringat insiden tersebut.
Saw Paing Soe Thu kemudian mengambil sebatang tukul kayu dari stor dan menghampiri mangsa yang sedang berbual di telefon.
Dia memukul mangsa sekali di dahi. Mangsa rebah dan mengalami perdarahan yang banyak dari kepalanya. Mangsa tidak cuba melawan dan meminta tolong dari pemilik ladang ikan tersebut.
Pemilik ladang berkenaan menghubungi Polis Pengawal Pantai untuk mendapatkan bantuan, dan mangsa dibawa ke jeti Lim Chu Kang dengan bantuan pekerja-pekerja lain sebelum dikejarkan ke hospital.
Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami luka sepanjang 6sm di dahi serta retak tulang hidung. Beliau perlu menjalani pembedahan dan dibenarkan keluar hospital pada 12 Apr dengan cuti sakit hingga 2 Mei.
Sampel darah dan air kencing tertuduh diambil setelah dia diberkas. Ujian mendapati kandungan 48mg etanol bagi setiap 100ml dalam darahnya, dan 116mg etanol bagi setiap 100ml air kencing.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya, Saw Paing Soe Thu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat, atau gabungan hukuman-hukuman tersebut.
Mediacorp sudah menghubungi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menanyakan sama ada tindakan akan diambil ke atas mangsa yang berbogel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.