Skip to main content

Singapura

Pekerja kesihatan didenda S$10,000; guna TraceTogether anak saudara semasa cuti ketidakhadiran

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja kesihatan didenda S$10,000; guna TraceTogether anak saudara semasa cuti ketidakhadiran

Gambar: Mediacorp

Diterbitkan : 25 Apr 2022 05:13PM

SINGAPURA: Seorang kakitangan khidmat pesakit di Institut Neurosains Nasional (NNI) menggunakan token TraceTogether milik anak saudaranya untuk masuk ke pusat beli-belah dan perpustakaan semasa cuti ketidakhadiran.

Kejadian tersebut berlaku tahun laluas sewaktu kes COVID-19 dilaporkan di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), di mana NNI terletak. Kelompok jangkitan tersebut meningkat kepada 48 kes dan meragut nyawa tiga orang.

Priscilla Tan Siew Sin, 34 tahun, dikenal pasti sebagai kontak rapat seorang doktor yang dijangkiti COVID-19. Namun dia tidak disahkan positif koronavirus.

Tan dikenakan denda S$10,000 hari ini (25 Apr) selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan membuat pernyataan palsu. Dua lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Pada 28 April 2021, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa seorang jururawat yang bekerja di Wad 9D di TTSH disahkan positif COVID-19.

Keesokan hari, pegawai pelapor Tan dimaklumkan bahawa seorang lagi doktor di NNI juga disahkan positif.

Pengesanan kontak dalaman menunjukkan bahawa Tan merupakan salah seorang pembantu klinik doktor berkenaan pada 23 April 2021. Dia menjalani ujian swab COVID-19, diberikan cuti ketidakhadiran dan dinasihatkan supaya duduk di rumah.

Mahkamah mendapati bahawa cuti ketidakhadiran bermakna bahawa Tan harus duduk di rumah dan mengurangkan hubungan sosial.

Dia masih boleh meninggalkan rumah bagi mendapatkan keperluan harian atau mengurus perkara penting, namun harus mengurangkan masa yang diluangkan di tempat awam.

Pada 30 April 2021, Tan ingin keluar rumah untuk membeli makanan.

"Namun, kerana beliau belum mendapat keputusan ujian swabnya, dia khuatir akan menyebabkan lebih banyak masalah jika diketahui positif COVID-19 namun sudah meninggalkan rumahnya," menurut dokumen mahkamah.

Tan juga khuatir "sekiranya seseorang dijangkiti COVID-19 di tempat yang ingin dia kunjungi dan dia kemudian akan dikenakan pengesanan kontak. Ini akan menyebabkan masalah kerana dia memilih untuk meninggalkan rumahnya".

Tan kemudian meminta anak saudaranya yang berumur 12 tahun sekiranya dia boleh menggunakan alat TraceTogether miliknya dan remaja itu bersetuju.

Tan meninggalkan rumahnya dan berjalan ke The Poiz Centre dan memeriksa masuk menggunakan token TraceTogether anak saudaranya pada pukul 7.50 malam.

Dia mengulangi perbuatan itu dua kali pada 2 Mei tahun itu dan pergi ke library@esplanade sebelum ke Marina Square.

Pda 3 September, Pegawai pelapor Tan memfailkan laporan polis bahawa dia sudah masuk ke The Poiz Centre menggunakan token milik orang lain.

Kejadian itu berlaku setelah lembaga disiplin dalaman menasihatkan agar perkara itu dilaporkan kepada polis.

MEMPERLEKEH USAHA PENGESANAN KONTAK

Timbalan Pendakwa Raya Wu Yu Jie mengusulkan denda sekurang-kurangnya S$10,000 dan menyifatkan tindakan Tan sebagai tidak bertanggungjawab.

Tindakan Tan dengan jelas memperlekehkan usaha pengesanan kontak yang dikuatkuasakan untuk memastikan penduduk selamat, kata pendakwa raya itu.

Peguam bela Joyce Khoo mengusulkan denda yang tidak lebih S$5,000.

Beliau berhujah bahawa keperluan untuk menghalang pesalah lain daripada melakukan kesalahan sama lebih rendah memandangkan perubahan-perubahan baru dalam menghentikan penggunaan SafeEntry dan TraceTogether mulai esok (26 Apr).

Namun Hakim Daerah, Ronald Gwee, menolak hujah tersebut. Beliau berkata bahawa, "sekatan yang dilonggarkan esok tidak bermakna ia pengakhiran kepada keadaan sepertimana yang kita ketahui.

Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Gwee berkata bahawa mahkamah harus menggunakan keadaan COVID-19 pada masa kesalahan dilakukan sebagai latar belakang kepada tindakan Tan.

"Kita tidak boleh lalai dengan keadaan di mana kita lupa bahawa kita perlu berwaspada terhadap virus ini,” kata beliau.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita