Pekerja kedua terlibat dalam kemalangan lori PIE meninggal dunia
Seorang lagi pekerja yang terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) pada awal minggu ini meninggal dunia, menurut Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) pada Jumaat (23 Apr).

SINGAPURA: Seorang lagi pekerja yang terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) pada awal minggu ini meninggal dunia, menurut Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) pada Jumaat (23 Apr).
Dalam satu kemas kini di Facebook, MWC menyatakan bahawa ia sedang berhubung dengan ibu pekerja itu, yang juga bekerja di Singapura, untuk "menghulurkan bantuan dan sedalam-dalam takziah kepada beliau dan keluarganya".
Pada Selasa (20 Apr), sebuah lori bertembung dengan sebuah trak yang tidak bergerak di PIE menghala ke Lapangan Terbang Changi di susur keluar Jalan Bahar.
Tujuh belas pekerja dibawa ke Hospital Universiti Nasional dan Hospital Besar Ng Teng Fong, di mana seorang daripada mereka yang berusia 33 tahun meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Pemandu lori berkenaan, 36 tahun, ditangkap kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian, menurut polis.
MWC menyatakan pada Jumaat bahawa mereka telah mengunjungi para pekerja yang cedera di hospital.
"Seorang pekerja itu telah dibenarkan pulang daripada hospital, seorang dipindahkan dari Unit Jagaan Rapi ke Unit Kebergantungan Tinggi manakala empat daripada mereka sedang menjalani pemulihan di hospital," katanya.
"Para pekerja berkongsi bersama kami bahawa syarikat mereka telah bercakap dengan mereka dan memberi jaminan bahawa mereka akan dijaga."
Pusat itu juga telah menghubungi adik kepada pekerja pertama yang meninggal dunia, Encik Tofazzal Hussain, "untuk lebih memahami situasi keluarganya dan bantuan yang mereka perlukan".
Encik Tofazzal merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya dan beliau meninggalkan ibu dan bapa, tiga adik perempuan, seorang adik lelaki, seorang isteri dan seorang anak lelaki berusia dua tahun, menurut MWC.
"Kami sedang berhubung dengan isteri Encik Tofazzal untuk mengetahui bagaimana lagi (kami dapat) membantu mereka mengharungi tempoh sukar ini, sehingga bayaran pampasan Akta Pampasan Kecederaan semasa Kerja diberikan," menurut MWC.
Orang awam yang ingin menghulurkan bantuan kepada para pekerja yang terjejas boleh menyumbang kepada Dana Bantuan Pekerja Hijrahan, yang merupakan cabang amal MWC, menurut pusat itu pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.