Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja kedai kopi didenda S$2,000 ceroboh masuk kawasan larangan SAF untuk kutip daun pandan

Seorang lelaki berusia 63 tahun didenda S$2,000 pada Isnin (2 Ogos) oleh sebuah mahkamah daerah kerana membantu seorang lelaki lain menceroboh sebuah kawasan larangan tentera semata-mata untuk mengutip daun pandan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja kedai kopi didenda S$2,000 ceroboh masuk kawasan larangan SAF untuk kutip daun pandan

Ng Kiong Hoe (kiri) berkata dia diminta kawannya, Cheng Lee Meng (kanan) untuk menemaninya ke tempat larangan di Lim Chu Kang. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 02 Aug 2021 11:08PM Dikemas Kini : 02 Aug 2021 11:10PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 63 tahun didenda S$2,000 pada Isnin (2 Ogos) oleh sebuah mahkamah daerah kerana membantu seorang lelaki lain menceroboh sebuah kawasan larangan tentera semata-mata untuk mengutip daun pandan.

Ng Kiong Hoe mengaku bersalah mempunyai niat sama dengan Cheng Lee Meng, 61 tahun, untuk memasuki tapak latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) secara haram di Lim Chu Kang.

Cheng, yang berdepan tuduhan sama, bagaimanapun mempertikaikan fakta dan menuntut untuk dibicarakan. Tidak dinyatakan di mahkamah apakah fakta yang tidak disetujui lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gabriel Choong memberitahu mahkamah bahawa Cheng didakwa meminta Ng untuk menemaninya ke Ama Keng Road Track 9, yang dikepung kepada orang awam dengan sebuah pagar bermangga, pada pagi 9 September tahun lalu.

Kedua-dua lelaki itu membuat perjalanan ke tapak latihan itu pada petang hari tersebut dengan menaiki van Cheng.

Setibanya mereka di sana, Ng keluar dari van untuk membuka pagar dengan menggunakan kunci yang diterimanya daripada Cheng. Ini dilakukan agar Cheng boleh memandu masuk ke tapak latihan berkenaan. Tidak dinyatakan bagaimana Cheng memperolehi kunci tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Ng mahu menutup pagar di belakangnya, seorang pegawai waran dari SAF menahan mereka.

DPP Cheng berkata Ng enggan memberitahu pegawai waran itu mengapa mereka berada di sana tetapi apabila disiasat polis, dia mendakwa mereka mahu menuai daun pandan.

Ng, yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukumannya diringankan dan memberitahu mahkamah menerusi seorang jurubahasa Mandarin bahawa dia bekerja sebagai pemungut pinggan mangkuk di sebuah kedai kopi dan "tidak ada banyak kerja untuk dilakukan kerana peraturan tidak boleh duduk makan di luar".

Hakim Daerah Luke Tan memberitahu Ng bahawa dia mungkin menganggu operasi ketenteraan atau membahayakan keselamatan kedua-dua dirinya sendiri dan yang lain dengan berada di kawasan larangan tersebut.

"Ada tanda-tanda jelas (memberi amaran kepada anda agar tidak masuk). Bahkan, ada sosok seorang askar memegang senapang," kata hakim itu.

Beliau merujuk kepada dua papan tanda yang didapati di sekitar kawasan tersebut yang bertulis: "Tempat Larangan. Dilarang masuk jika tiada kebenaran" dalam empat bahasa berbeza.

Ng hanya terdiam.

Pada awal pembicaraan kes itu, Hakim Daerah Tan bertanya kepada Cheng mengapa dia memilih untuk mempertikaikan fakta pada pagi itu sedangkan dia sudah dihadapkan ke mahkamah untuk perkara itu buat beberapa kali.

Cheng mendakwa ini adalah kali pertama dia mendengarnya dan akan kembali di mahkamah sekali lagi pada 19 Ogos.

Jika didapati bersalah, Cheng boleh didenda sehingga S$20,000, dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan