Pekerja Jollibean dakwa gaji, caruman CPF tidak dibayar di tengah-tengah penutupan cawangan secara mendadak
Beberapa cawangan Jollibean dilaporkan ditutup sepanjang tahun lalu, dengan sekumpulan pekerja mendakwa mereka tidak dibayar gaji dan caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) selama beberapa bulan.
Cawangan Jollibean di Stesen MRT Lavender sudah diambil alih semula oleh SMRT Trains pada 30 Jun 2025, berdasarkan notis yang dilihat pada pintu premis itu pada 8 Julai 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Jollibean sebelum ini salah satu jenama F&B yang terkenal di Singapura dengan lebih 30 cawangan di seluruh negara ini.
Namun, ia kini hanya mempunyai lima cawangan fizikal yang masih beroperasi.
Apabila ditanya mengenai gaji pekerjanya yang tertunggak, Pengarah Jollibean Foods Shahrul Nazrin Mohd Dahlan berkata syarikat itu mempunyai pemilik baharu dan ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu berhubung gaji selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.
Encik Shahrul Nazrin, yang masih disenaraikan dalam rekod perniagaan awam sebagai pengarah syarikat itu, berkata penutupan salah satu cawangan Jollibean adalah sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.
Namun beliau tidak mendedahkan mengapa syarikat itu gagal membayar gaji pekerja tepat pada masanya.
Bercakap kepada Mediacorp, beberapa bekas pekerja Jollibean berkata mereka tiba di tempat kerja masing-masing namun dimaklumkan bahawa cawangan mereka ditutup tanpa sebarang makluman oleh syarikat itu.
“Pada mulanya, kami bekerja keras tetapi tidak dibayar, jadi kami sangat beremosi. Sekarang saya fikir, lupakan sahajalah. Saya anggap saja ia sebagai amal jariah,” kata salah seorang pekerja yang masih belum dibayar gaji bagi bulan terakhir beliau bekerja.
Kesemua lapan pekerja Jollibean yang masih bertugas dengan syarikat itu yang ditemui Mediacorp enggan dikenal pasti kerana tidak mahu menjejas peluang mereka dibayar gaji yang tertunggak.
Ada yang katakan mereka akan tetap terus bekerja di Jollibean kerana berharap akan dibayar gaji yang tertunggak.
Daripada lapan cawangan Jollibean yang tersenarai di lamannya, tiga tidak lagi beroperasi.
Cawangan-cawangan berkenaan yang terletak di Stesen MRT Lavender, Stesen MRT Raffles Place dan Hospital Besar Ng Teng Fong sudah ditutup setakat Selasa (8 Jul).
Cawangan Jollibean di Hospital Besar Ng Teng Fong dan Stesen MRT Raffles Place ditutup dengan papan penghadang, manakala cawangan di stesen MRT Lavender memaparkan notis yang menyatakan premis tersebut sudah diambil alih semula oleh SMRT Trains sejak 30 Jun.
Menjawab pertanyaan yang dikemukakan, Kesatuan Sekerja Makanan, Minuman dan Sekutu (FDAWU) menyatakan bahawa Jollibean adalah syarikat bukan berkesatuan.
“Pekerja terjejas boleh menghubungi Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) untuk membuat janji temu bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung pertikaian pekerjaan,” kata jurucakap FDAWU dalam kenyataannya kepada Mediacorp pada Rabu (9 Jul).
Mediacorp sudah menghubungi TADM dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi mendapatkan komen.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.