Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja hijrahan terhutang budi atas bantuan relawan S'pura mengatur rawatan barah

Bayangkan mempunyai enam kumpulan sembang WhatsApp untuk menguruskan hal perbankan, perubatan dan perkara lain bagi seorang pekerja hijrahan yang mempunyai ketumbuhan dalam otak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja hijrahan terhutang budi atas bantuan relawan S'pura mengatur rawatan barah

Pekerja hijrahan Abdul Mannan (kiri) pulang ke pangkuan keluarganya setelah beliau disahkan menghidap barah. (Gambar ihsan: Abdul Mannan)

Diterbitkan : 25 Jul 2021 08:14PM Dikemas Kini : 25 Jul 2021 08:19PM

SINGAPURA: Bayangkan mempunyai enam kumpulan sembang WhatsApp untuk menguruskan hal perbankan, perubatan dan perkara lain bagi seorang pekerja hijrahan yang mempunyai ketumbuhan dalam otak.

Atau meluangkan masa selama sebulan untuk mencari beg stoma atau kantung tempat pengumpulan najis dan air kencing dan menghantarnya ke Bangladesh untuk seorang bekas pekerja binaan yang menghidap barah. Keadaan disukarkan lagi dengan semua ini dilakukan ketika pandemik COVID-19 melumpuhkan rantaian bekalan.

Namun, inilah yang dilakukan Encik Akash Mohapatra, 53 tahun, relawan dari Singapura sejak 15 bulan lalu. Di luar waktu bekerja, perunding undang-undang di sebuah bank pelaburan itu sibuk mencari huraian bagi membantu pekerja hijrahan memerlukan yang sudah meninggalkan Singapura.

Kes-kes tersebut melibatkan pekerja yang sudah meninggal dunia atau mengalami kecederaan serius. Encik Mohapatra serta relawan dari ItsRainingRaincoats memberi bantuan kepada individu itu dan keluarga mereka bagi tempoh panjang.

Mereka menawarkan kaunseling kewangan dan emosi serta bantuan praktikal bagi membantu keluarga pekerja hijrahan yang meninggal dunia.

Bagi pekerja yang mengalami kecederaan serius atau menghidap penyakit serius, mereka membantu dalam memastikan pekerja itu dihantar pulang dengan selamat di samping mendapat akses kepada rawatan dan bekalan perubatan di negara asal mereka.

Bagi kedua-dua penerima bantuan itu, para relawan tersebut menawarkan jalinan persahabatan, dorongan serta bantuan untuk mencari sumber pendapatan jangka panjang.

Pertubuhan bukan pemerintah (NGO) bagi pekerja hijrahan di Singapura lazimnya membantu pekerja di sini yang menghadapi masalah seperti tidak dibayar gaji, kurang akses kepada jagaan kesihatan dan penderaan.

Dalam beberapa kes tertentu, para relawan mendapati tugas mereka tidak berhenti di Singapura atau apabila pekerja itu tidak lagi berada di sini.

Menghulurkan bantuan kepada pekerja ketika mereka berada di Singapura membentuk hanya "separuh daripada perjalanan" tersebut, kata pengarah Pusat Bantuan Kemalangan SG Eric Lee, 53 tahun.

(Gambar ihsan: Eric Lee)

Antara 2016 dengan tahun lalu, jumlah kes kematian di tempat kerja yang dilaporkan dalam setahun berjumlah antara 30 dengan 66, menurut Laporan Kesihatan dan Keselamatan di Tempat Kerja Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2020. Industri binaan yang menggajikan ramai pekerja hijrahan bergaji rendah, adalah penyumbang utama.

Sebahagian besar kes kecederaan di tempat kerja dalam setahun adalah antara 463 dengan 629 bagi tempoh yang sama. Kecederaan utama termasuk hilang daya penglihatan, anggota tubuh dikodongkan dan menjadi lumpuh.

Terdapat juga kematian dan kecederaan yang tidak berkaitan kerja, lantas tidak layak bagi sebarang pampasan kecederaan di tempat kerja.

Encik Lee, yang pernah bekerja di HealthServe iaitu satu lagi NGO, memutuskan untuk memberi tumpuan pada usaha pemulihan pekerja. Maka itu, tertubuh Pusat Bantuan Kemalangan SG pada 2017.

Ia menyediakan terapi fizikal dan pekerjaan serta rawatan perubatan tradisional Cina (TCM) bagi pekerja hijrahan di sini. Setiap sesi adalah percuma bagi pekerja yang cedera atau S$5 bagi mereka yang masih bekerja.

Ia juga membantu beberapa pekerja yang dihantar pulang setiap tahun, dengan lima kes sedemikian dibantu sejak dua tahun lalu. Ini termasuk pekerja yang menjadi lumpuh akibat kemalangan di jalan raya atau di tempat kerja.

Apabila melakukan kunjungan ke negara-negara seperti China dan Bangladesh, Encik Lee akan memastikan pekerja itu terus menjalani rawatan serta hubungan mereka sekeluarga.

(Gambar ihsan: Eric Lee)

Pekerja yang cedera mungkin tidak memberitahu kisah penuh tentang kecederaan yang dialami kepada keluarga masing-masing, dan ini menyebabkan isteri mungkin tidak memahami sebab suami mereka kerap berada di rumah atau tidak dapat melakukan pekerjaan seperti sebelumnya, kata Encik Lee.

Bagi ItsRainingRaincoats pula, ia telah membantu sekitar 15 hingga 20 kes pekerja hijrahan yang dihantar pulang kerana cedera teruk atau sakit, atau anggota keluarga pekerja itu meninggal dunia, menurut pengasas kumpulan itu, Dipa Swaminathan, 49 tahun.

PANGGILAN DOKTOR

Relawan NGO akan dimaklumkan tentang kes kecederaan serius menerusi pekerja hijrahan yang lain atau doktor di hospital yang mungkin berjumpa majikan yang ingin menghantar pulang pekerja mereka yang belum lagi disahkan cukup sihat untuk melakukan perjalanan tersebut. Justeru mereka akan mendapatkan izin pekerja untuk berkongsi nasib mereka bersama relawan, kata Encik Mohapatra.

Menerusi saluran itu, beliau mendapat tahu tentang nasib pekerja binaan dari Bangladesh, Abdul Mannan, yang menghidap barah.

Setelah memahami keadaan Encik Mannan, beliau membuat aturan yang perlu bagi pekerja itu menjalani rawatan barah di Bangladesh. Melalui seorang kenalan temannya di negara itu, Encik Mohapatra menghubungkan Encik Mannan dengan sebuah badan amal yang membantu pesakit barah.

Apabila Encik Mannan dan Encik Mohapatra bertemu melalui panggilan telefon buat kali pertama.

Kenalannya itu juga berjaya mengaturkan rawatan kemoterapi bagi Encik Mannan di Bangladesh, bahkan mengaturkan bagi sebuah kenderaan untuk membawanya ke sebuah hospital di Dhaka, yang terletak sekitar 95 kilometer dari rumahnya.

Encik Mannan memberitahu Mediacorp beliau merasa seakan tidak lagi ada harapan untuk hidup setelah mendapat tahu beliau menghidap barah. "Dengan bantuan dari Akash, saya rasa lebih baik sekarang," katanya.

"Saya tidak dapat bayangkan bantuan sebegini... Anggota keluarga sendiri pun mungkin tidak akan bantu sampai begini untuk saya."

'SUKAR, NAMUN HARUS DILAKUKAN'

Apabila ditanya bagaimana untuk memperbaiki keadaan pekerja yang mereka bantu, Encik Mohapatra berkata sokongan emosi sama pentingnya dengan bantuan kewangan dan pemulihan. Khidmat terjemah bahasa di hospital juga penting.

Bagi membantu keluarga pekerja yang meninggal dunia atau kecacatan selama-lamanya akibat kejadian bukan berkaitan pekerjaan, beliau mencadangkan pelan insurans hayat yang membayar S$30,000 hingga S$50,000 bagi keadaan sedemikian.

Bayaran premium boleh dibahagikan antara majikan, pihak berkuasa dan orang awam kerana "ketiga-tiganya adalah penerima hasil kerja yang dilakukan pekerja itu", katanya.

Bagi Cik Dipa, kumpulannya mengagihkan makanan serta menganjurkan kegiatan bagi pekerja hijrahan.

Menurut beliau, membantu keluarga yang hilang penyara utama mereka adalah sesuatu yang amat menyayat hati, tetapi harus dilakukan.
"Mereka datang ke sini untuk menyara keluarga masing-masing, dan juga membantu membangunkan negara kita. Mereka meninggal dunia ketika sedang bekerja atau semasa berada di sini. Jadi kita terhutang budi terhadap mereka," ujarnya. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan