Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja hijrahan 'tak turun' ke Geylang Serai pada hari pertama program lawatan masyarakat

Buat pertama kali dalam masa lebih setahun setengah, para pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori dibenarkan melawat kawasan Geylang Serai di bawah program lawatan masyarakat yang diperluas bermula Sabtu (30 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Buat pertama kali dalam masa lebih setahun setengah, para pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori dibenarkan melawat kawasan Geylang Serai di bawah program lawatan masyarakat yang diperluas bermula Sabtu (30 Okt).

Namun, tinjauan BERITAmediacorp ke tempat-tempat popular di kawasan itu pada hari pertama mendapati suasana di sana tidak banyak dikunjungi golongan tersebut berbanding hujung-hujung minggu sebelum pandemik.

PASAR, MASJID ANTARA TEMPAT BOLEH DIKUNJUNGI

Antara tempat yang dibenarkan untuk dilawati termasuk Masjid Khadijah yang biasanya dikunjungi jemaah yang bertugas di kawasan sekitar Geylang Road termasuk para pekerja hijrahan.

Namun hanya kira-kira 10 jemaah sahaja yang hadir mendirikan solat Zohor dan tiada seorang pun pekerja hijrahan dalam kalangan mereka.

BERITAmediacorp juga difahamkan bahawa Masjid Khadijah merupakan satu-satunya tempat ibadah di kawasan Geylang Serai yang boleh dikunjungi para pekerja hijrahan apabila mereka ke sini di bawah program lawatan masyarakat itu.

Di bawah program tersebut, sehingga 3,000 pekerja hijrahan yang lengkap di vaksin boleh melawat ke kawasan Little India dan Geylang Serai sehingga lapan jam. .

Hanya mereka yang menetap di blok dormitori yang bukan kelompok COVID-19 layak bagi program lawatan itu.

Mereka juga diwajibkan menjalani Ujian Pantas Antigen (ART) COVID-19 sebelum dan selepas lawatan mereka.

Menurut Pusat Pekerja Hijrahan (MWC), selain Masjid Khadijah, para pekerja hijrahan juga boleh ke lokasi-lokasi tertentu sahaja termasuk Pasar Geylang Serai dan kawasan sekitar Joo Chiat.

Mereka juga hanya dibenarkan ke sana pada setiap hari Isnin, Sabtu dan Ahad, dan dibahagikan kepada dua sesi kumpulan - 9 pagi hingga 5 petang dan 12 tengah hari hingga 8 malam.

'PORT' PEKERJA HIJRAHAN LENGANG

Sungguhpun demikian, semasa kunjungan BERITAmediacorp selama tiga jam ke kawasan-kawasan di Geylang Serai yang sering menjadi tempat berkumpul bagi para pekerja hijrahan termasuklah di luar stesen MRT Paya Lebar dan Tanjong Katong Complex, tiada seorang pun yang dilihat di sana.

Kami juga meninjau keadaan di kawasan luar Geylang Serai iaitu hingga ke Aljunied Road di mana sebelum pandemik, kawasan itu sering dikunjungi para pekerja hijrahan bagi mendapat keperluan makanan dan berkumpul dengan teman-teman.

Salah seorang pekedai barangan runcit memberitahu BERITAmediacorp bahawa pekerja hijrahan membentuk sebanyak 70 peratus daripada pelanggannya.

Lantaran itu, beliau berharap pemerintah boleh memberi kelonggaran kepada golongan tersebut.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan memantau perkembangan lawatan masyarakat ini dan mempertimbangkan untuk memperluaskannya pada masa yang sesuai.

Pada bulan September lalu, di bawah program perintisnya selama sebulan, sekitar 700 pekerja hijrahan dari 30 dormitori dibenarkan mengunjungi kawasan Little India dan maklum balas yang diterima adalah positif dan menggalakkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan