Pekerja hijrahan maut dihempap bahagian kren; kematian ke-27 di tempat kerja dalam 6 bulan
SINGAPURA: Seorang pekerja hijrahan berusia 32 tahun meninggal dunia pada Rabu (22 Jun) di tapak kerja selepas dihempap di antara bahagian kren bergerak.
Ia membawa jumlah kematian di tempat kerja di Singapura kepada 27 setakat tahun ini.
Ketika menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa kemalangan maut terkini di tempat kerja itu berlaku di 1 Mandai Quarry Road sekitar pukul 10.15 pagi pada Rabu.
Pekerja itu kemudian dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat tetapi meninggal dunia akibat kecederaannya.
Alamat Mandai Quarry Road adalah lokasi Pusat Taktikal Home Team, yang menempatkan kemudahan latihan untuk unit pakar di bawah Home Team seperti Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Notis mengenai kematian pekerja berkenaan dimuat naik ke laman Facebook Safety Watch - SG.
SPF dan SCDF menyatakan dalam kenyataan berasingan bahawa ia dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada 10.20 pagi.
Pekerja berkenaan dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedar selepas "kemalangan perindustrian" itu, tambah SPF.
"Berdasarkan siasatan awal, (kami) tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat. Siasatan polis sedang dijalankan."
MOM menyatakan bahawa pemaju tapak itu ialah SPF, manakala penghuninya ialah China Construction (South Pacific) Development Co dan majikan pekerja tersebut ialah Hwa Yang Engineering.
"(Kami) sedang menyiasat kemalangan itu dan sudah mengarahkan penghuninya untuk menghentikan semua kerja mengangkat di tapak kerja tersebut," menurut MOM.
"Sebagai langkah keselamatan am, penghadang fizikal serta tanda amaran harus dipasang semasa kren sedang beroperasi dan semua individu harus diingatkan supaya menjauhi kawasan bahaya seumpama itu."
Setakat separuh pertama tahun ini, 27 kematian di tempat kerja dilaporkan kesemuanya.
Ini dibandingkan dengan 23 kematian di tempat kerja bagi tempoh yang sama pada 2021, dengan 37 korban jiwa sedemikian dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata bulan lalu bahawa situasi mengenai kematian di tempat kerja "tidak boleh diterima" dan menggesa semua pihak untuk "membetulkan perkara ini".
Pada April lalu sahaja, 10 kematian berlaku di tempat kerja.
Beliau menyatakan bahawa dengan pembukaan semula ekonomi dan lebih banyak kegiatan kerja serta sosial disambung semula, "piawaian dan amalan keselamatan kelihatan sudah merosot" dan kadar kemalangan semakin meningkat.
Mulai 14 Jun, syarikat yang mempunyai prestasi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang teruk akan menghadapi hukuman lebih berat, menurut MOM minggu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.