Pekerja hijrahan juarai adu bakat, persembahkan seni bela diri tradisional India
Seorang pekerja hijrahan yang mereka tari dan mempersembahkan seni bela diri tradisional dari India, yang dipanggil Silambam, memenangi hadiah utama dalam sebuah pertandingan adu bakat pada Isnin malam (5 Jul).
(Gambar ihsan Ganesan Sandhirakasan)
SINGAPURA: Seorang pekerja hijrahan yang mereka tari dan mempersembahkan seni bela diri tradisional dari India, yang dipanggil Silambam, memenangi hadiah utama dalam sebuah pertandingan adu bakat pada Isnin malam (5 Jul).
Encik Ganesan Sandhirakasan dipilih sebagai juara pertandingan itu setelah mendapat jumlah tanda suka dan tontonan paling banyak bagi videonya di akaun TikTok @sg4mw, mengalahkan beberapa lagi peserta yang disenarai pendek untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak S$1,000.
Pertandingan itu diadakan sebagai sebahagian daripada siri rancangan Tamil Chill Pannu Maappi!, yang ditugaskan oleh Kementerian Perhubungan dan Penerangan dihasilkan oleh Cosmic Ultima Pictures.
Silambam sudah diamalkan di India sejak abad keempat sebelum masihi.
Pekerja hijrahan berusia 33 tahun yang mengajar seni mempertahankan diri Taekwondo, mula menjalani latihan seni bela diri pada usia 12 tahun dan pernah memenangi pingat perak bagi India di Kejuaraan Dunia Silambam yang pertama pada 2010.
"(Saya memutuskan untuk mengambil bahagian) setelah melihat iklan (bagi pertandingan) itu di lamannya. Tempat kerja saya ditutup semasa tempoh COVID," katanya tentang pertandingan adu bakat yang diadakan di Singapura itu.
"Saya ingin meluangkan masa secara bermanfaat dengan melakukan sesuatu. Justeru, saya mereka tari (pertunjukan) seni mempertahankan diri India Silambam."
Siri itu dihasilkan untuk pekerja hijrahan di Singapura dan episod terakhir disiarkan Isnin malam.
Para pekerja hijrahan dipelawa untuk mengirimkan video menonjolkan bakat masing-masing dan rancangan itu menerima lebih daripada 600 penyertaan, kata penerbit eksekutif rancangan itu S S Vikneshwaran.
Daripada jumlah itu, 20 peserta termasuk Encik Ganesan disenarai pendek oleh pelakon pemenang anugerah Aishwarya Rajesh. Para finalis di tiga tempat utama ditentukan melalui jumlah tontonan dan tanda suka pada video masing-masing di TikTok.
Encik Ganesh berkata beliau menghantar video itu dengan niat memperkenalkan lebih ramai orang kepada seni bela diri itu dan menggalakkan orang ramai supaya kekal aktif, katanya.
"Ia memerlukan tumpuan, kecergasan dan latihan untuk mempersembahkan gerakan berterusan Silambam. Para pelatih meraih manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental," katanya.
Encik Ganesan sudah menetap di Singapura selama tujuh tahun dan mengajar Taekwondo di sini sejak lima tahun lalu.
Menurut Encik Ganesan, beliau "gembira dan teruja" apabila mendapat tahu bahawa beliau memenangi tempat pertama. Beliau merancang untuk menyimpan separuh daripada hadiah wang tunai itu untuk kegunaan peribadi manakala selebihnya akan didermakan kepada kampung halamannya di Mayiladuthurai, India.
Derma itu akan disalurkan kepada sebuah yayasan di kampungnya dan menyediakan sekurang-kurangnya 500 makanan bagi warga emas.
Encik Ganesan berkata beliau berharap wang itu akan membantu para individu yang sedang berdepan "masa-masa sukar" disebabkan pandemik COVID-19, terutama sekali bagi mereka yang terpaksa bergelut demi mencari sesuap nasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.