Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja hijrahan ditipu S$24.9 juta tahun lalu dalam kes penipuan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas meraih pendapatan hasil daripada meningkatkan penjualan di aplikasi jualan, seorang pekerja hijrahan, yang mahu dikenali sebagai "Mohammad", menzahirkan harapan agar beliau dapat menjana lebih banyak pendapatan daripada platform tersebut sebagai tambahan kepada gajinya.

Sebaliknya, penyelias binaan itu mengalami kerugian S$3,900 gara-gara ditipu.

Sedang laporan berhubung kes penipuan terus melonjak ke paras rekod, para pekerja hijrahan di Singapura juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan. Mereka hilang wang berjumlah S$24.9 juta secara keseluruhannya kepada para penipu tahun lalu, naik 5.5 kali ganda berbanding 2019.

PEKERJA HIJRAHAN LEBIH MUDAH DITIPU

Janji manis untuk membolehkan para pekerja hijrahan memperoleh wang dengan cepat menjadi helah yang kerapkali digunakan para penipu apabila menyasarkan mangsa mereka. Ini selain kesungguhan para pekerja hijrahan untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

Cik Dipa Swaminathan, pengasas badan amal ItsRainingRaincoats, berkata pekerja hijrahan lebih terdedah kepada penipuan sedemikian kerana mereka "lebih mudah tertipu berbanding orang biasa" disebabkan sifat mudah percaya serta keadaan teruk pekerjaan mereka.

"Rintangan bahasa juga memainkan peranan dan hakikatnya, mereka cenderung untuk mempercayai orang lain dengan sepenuhnya. Mereka mungkin tidak mempunyai keraguan seperti kita semua. Itu menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah," tambah beliau.


Memandangkan seorang pekerja hijrahan menerima gaji purata hanya S$450 sebulan, Cik Dipa menarik perhatian bahawa jumlah yang lesap di tangan para penipu sekali gus menunjukkan bilangan pekerja yang sudah ditipu.

POLIS, NGO PERTINGKAT USAHA DAMPINGI PEKERJA

Untuk mencegah para pekerja hijrahan daripada terperangkap dengan penipuan, polis dan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) giat mengadakan sesi mendampingi mereka di dormitori-dormitori dan menerusi kempen-kempen di tempat popular seperti Little India.

Misalnya, Pasukan Polis Singapura (SPF) bekerja rapat dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada April tahun ini untuk mengendalikan program pendampingan bagi para pekerja di Pusat Rekreasi Terusan. Para pegawai mendampingi para pekerja di reruai polis sambil memberi nasihat dalam bahasa yang digunakan pekerja hijrahan.

PEKERJA HIJRAHAN KEBERATAN HUBUNGI POLIS

Sungguhpun demikian, NGO menjelaskan bahawa para pekerja hijrahan seringkali keberatan untuk menghubungi polis atau mana-mana pegawai pihak berkuasa. Mereka sebaliknya, lebih cenderung untuk mendapatkan bantuan agensi mahupun sukarelawan yang mereka percayai.

Meskipun agensi-agensi cuba untuk menghulurkan bantuan, mereka selalunya tidak dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani sebarang pertanyaan atau aduan mengenai penipuan. Malah, para pekerja akhirnya tetap akan dirujuk kepada polis.

Dalam pada itu, mereka berusaha untuk menghubungkan para pekerja dengan pihak polis.

Meskipun agensi Cik Dipa sudah dapat meyakinkan beberapa mangsa untuk membuat aduan polis, beliau berkata bahawa ia sangat susah untuk mendapatkan semula wang mereka, sejurus selepas ia diberi kepada penipu.

PEKERJA HIJRAHAN TAKUT UNTUK TAMPIL

Para pekerja hijrahan juga secara umumnya, takut untuk menyuarakan kes penipuan sebegitu kerana mereka takut kehilangan pekerjaan atau permit kerja mereka dibatalkan - semua ini walaupun mereka sendiri sudahpun menjadi mangsa penipuan, kata Cik Dipa.

Cik Dipa menambah: "Saya rasa mewujudkan satu rangka kerja, di mana mereka dapat bersuara dan berkongsi pengalaman mereka - mungkin juga sebuah kumpulan sokongan pekerja hijrahan - tanpa sebarang campur tangan luar - mungkin dapat membantu."

Beliau juga menyarankan agar disediakan platform untuk para pekerja menyemak sama ada sesuatu itu adalah benar, seperti talian hotline.

Pihak polis juga menggesa para pekerja hijrahan untuk memanfaatkan aplikasi ScamShield, di samping bekerja rapat dengan MOM untuk membantu dalam mengeluarkan makluman dalam bahasa natif rakan sekerja mereka. 

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan