Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja hijrahan di S'pura dinasihati supaya berwaspada bantu misi kemanusiaan Afghanistan

Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Sabtu (11 Sep) mengeluarkan nasihat kepada para pekerja hijrahan mengenai keadaan di Afghanistan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) pada Sabtu (11 Sep) mengeluarkan nasihat kepada para pekerja hijrahan mengenai keadaan di Afghanistan.

Dalam catatan Facebooknya siang tadi, RRG menyatakan bahawa perkembangan krisis kemanusiaan dan keganasan di Afghanistan adalah sesuatu yang membimbangkan dan mungkin boleh menimbulkan ancaman keselamatan terhadap negara-negara dunia.

Situasi di Afghanistan mungkin menjadi tempat perlindungan bagi kumpulan-kumpulan pengganas rentas sempadan seperti Al-Qaeda dan ISIS di Iraq dan Syria untuk berkumpul dan memperluaskan pengaruh masing-masing.

Golongan pelampau dari Asia Tenggara juga mungkin terangsang untuk melakukan perjalanan ke Afghanistan untuk menyertai perjuangan kumpulan militan itu di sana, sama seperti yang dilakukan oleh sesetengah anggota Jemaah Islamiyah sebelum ini.

Justeru, RRG dengan kerjasama tiga agensi iaitu Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memutuskan untuk mengeluarkan makluman dan nasihat kepada para pekerja hijrahan berhubung situasi di Afghanistan.

Berikut adalah nasihat yang diberikan kepada pekerja hijrahan:

1. Jangan menyokong atau membawa masuk politik luar negara ke Singapura.

2. Berwaspada apabila membuat sumbangan derma bagi tujuan kemanusiaan. Jika anda ingin membantu mangsa, pastikan anda menyumbang dana melalui sumber-sumber yang sahih. Sesiapa saja yang didapati memberikan dana kepada kumpulan pengganas akan dikenakan tindakan di bawah Akta Pengganasan (Sekatan Pembiayaan) dan akan dihukum penjara dan/atau didenda.

3. Laporkan individu yang terjejas dengan krisis Afghanistan kepada pihak berkuasa

4. Jangan keluarkan sebarang kenyataan (termasuk catatan/komen atau berkongsi catatan tentang situasi Afghanistan/Taliban di Internet/media sosial) yang boleh mencetuskan keganasan atau menimbulkan perasaan sakit hati dan kemarahan di dalam atau luar negara.

5. Jika anda terjejas oleh kejadian di Afghanistan dan memerlukan bantuan kaunseling, anda boleh menghubungi pengurus domitori, majikan, duta penduduk di dormitori.

6. Selain itu, anda juga boleh melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau individu kepada Polis di talian 1800-255-0000 atau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan