Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja hijrahan dari India bakal masuk S'pura menerusi program rintis

Pekerja hijrahan dari India akan dibawa masuk ke Singapura mulai Julai ini di bawah satu program rintis yang diterajui beberapa syarikat dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja hijrahan dari India bakal masuk S'pura menerusi program rintis

Tapak binaan di Sembawang. (Gambar: Cheryl Lin)

Diterbitkan : 07 Jul 2021 10:13PM Dikemas Kini : 07 Jul 2021 10:19PM

SINGAPURA: Pekerja hijrahan dari India akan dibawa masuk ke Singapura mulai Julai ini di bawah satu program rintis yang diterajui beberapa syarikat dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan.

Ia akan dijalankan "secara kecil-kecilan" dan "tersusun", menurut persatuan-persatuan perniagaan yang mewakili industri-industri tersebut pada Rabu (7 Jul).

"Proses dari mula hingga akhir itu ditumpukan pada ujian secara proaktif ke atas pekerja menerusi rejim ujian COVID-19 sepanjang tempoh 14 hari di kemudahan-kemudahan yang dikhususkan di tempat keberangkatan negara asal mereka sebelum berlepas ke Singapura," menurut kenyataan media dari persatuan-persatuan itu.

Ia merangkumi Persatuan Kontraktor Singapura (SCAL), Persatuan Industri Marin Singapura (ASMI) dan Persatuan Industri Pemprosesan (ASPRI).

Setibanya di Singapura, pekerja itu akan tetap dikehendaki menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan mematui protokol kesihatan sedia ada serta langkah-langkah pengurusan selamat.

Dengan proses baru itu, majikan harus membayar sekitar S$2,000 hingga S$3,000 bagi setiap pekerja, selain kos kuarantin di Singapura, kata seorang jurucakap persatuan-persatuan itu.

"Beberapa ratus pekerja" dari India akan dilibatkan dalam program rintis bagi sektor marin dan binaan itu.

Program percubaan itu serupa dengan yang dijalankan untuk beberapa pekerja dari Malaysia bulan lalu untuk membantu mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam sektor marin. Sejauh ini, tidak ada kes COVID-19 dilaporkan dalam kalangan beberapa ratus pekerja yang terlibat dalam program perintis itu, dedah persatuan-persatuan tersebut.

"Program perintis itu bertujuan menyepadukan latihan, ujian dan proses menaiki pesawat di luar negara dengan ujian setibanya di Singpura serta protokol SHN demi memastikan kemaslahatan pekerja secara keseluruhannya sebelum mereka dibenarkan mula bekerja," menurut kenyataan itu lagi.

"Kami akan terus menjalankan program sedemikian secara kecil-kecilan dan tersusun, untuk menguruskan dengan lebih baik risiko berkaitan dan mengesahkan keteguhan proses yang diketatkan dari mula ke akhir.

"Sekiranya berjaya, model ini akan turut digunakan untuk memudahkan kemasukan pekerja secara selamat."

Sejak pandemik COVID-19, sektor-sektor binaan, marin dan pemprosesan terjejas oleh sekatan kemasukan pekerja dari beberapa negara.

Persatuan-persatuan perniagaan itu menambah bahawa sejak akhir 2019, bilangan pemegang pas pekerja dalam sektor binaan, marin dan pemprosesan berkurangan sebanyak lebih 60,000 atau lebih 15 peratus.

"Ini menyebabkan projek tertangguh dan kos tenaga kerja meningkat dengan ketara, yang turut menjejas daya maju perniagaan," menurut persatuan-persatuan itu.

Ini termasuk projek-projek perumahan dan prasarana tertunda. Kekurangan pekerja juga boleh menyebabkan keprihatinan meningkat dari segi kesihatan dan keselamatan di tempat kerja, tambahnya lagi.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan