Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja GrabFood terima sumbangan muhibah S$70,000 setelah koma akibat kecederaan otak

Pekerja GrabFood terima sumbangan muhibah S$70,000 setelah koma akibat kecederaan otak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja GrabFood terima sumbangan muhibah S$70,000 setelah koma akibat kecederaan otak

Encik Mohammed Ali terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada tengkoraknya bagi melepaskan tekanan serta darah beku di dalam otak akibat kesan teruk di kepalanya. (Gambar: Elfy Andriann/Facebook)

Diterbitkan : 02 May 2021 11:51PM Dikemas Kini : 03 May 2021 01:01AM

SINGAPURA: Selepas satu nahas jalan raya awal bulan ini, pekerja penghantaran sambilan bersama GrabFood, Mohammed Ali, mengalami kecederaan otak dan dibebani yuran perubatan mencecah S$100,000. Berkat belas ihsan orang ramai, beliau menerima sumbangan hampir S$70,000.

Bapa beliau, Encik Mohammed Kamarruhadi, 46 tahun, memberitahu TODAY bahawa wang itu akan digunakan untuk membiayai bil perubatan anaknya itu yang berusia 18 tahun. Ini tidak termasuk satu prosedur untuk memperbaiki kecacatan pada tulang tengkorak Ali yang boleh menelan belanja antara S$15,000 hingga S$30,000.

Bapa tunggal dengan dua orang anak itu, hilang pekerjaannya sebagai seorang teknisyen pada Januari lalu.

"Saya amat bersyukur. Ucap terima kasih sahaja tidak mencukupi. Saya minta maaf jika saya tidak dapat mengucapkanterima kasih kepada setiap seorang penderma," katanya.

Ali baru sahaja tamat pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan sedang menanti untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS) ketika terlibat dalam satu kemalangan di Toh Guan Road pada malam 10 April. Akibatnya, beliau mengalami beberapa kecederaan - putus urat dan saluran serta patah tulang.

Beliau dirawat di unit jagaan rapi (ICU) selama 10 hari, di mana beliau terlantar dalam keadaan koma selama tujuh hari.

Pada Isnin (26 Apr), abang beliau, Encik Elfy Andriann, membuat rayuan di Facebook untuk mengumpul wang bagi membantu membiayai bil perubatan Ali.

Encik Elfy, 22 tahun, menulis dalam catatan Facebook tersebut - yang kini sudah tular bahawa adiknya terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian daripada tengkoraknya bagi melepaskan tekanan dan darah beku dalam otaknya akibat kesan parah di kepalanya.

"Doktor juga berkata jika tiada keputusan dibuat, Ali tidak akan bertahan lama. Begitu serius keadaannya. Bayangkan keadaan mental serta tekanan yang dilalui bapa saya dan saya ketika ini," tulis beliau.

Encik Elfy, yang juga bekerja sebagai seorang pekerja penghantaran makanan bersama GrabFood, berkata pembedahan itu berjalan dengan lancar dan adiknya sudah sedarkan diri pada hari kelapan setelah dimasukkan ke dalam hospital. Beliau kemudian dipindahkan ke wad neurologi pembedahan.

Encik Kamarruhadi berkata anak bongsunya itu tidak lagi berada dalam ICU dan kini sudah boleh bercakap, bahkan juga, meminta untuk dibelikan McDonald's. Ali juga sudah menjalani sesi fisioterapi pertamanya dan sedang beransur pulih di Hospital Ng Teng Fong (NTFH).

Mengimbas kembali saat-saat perit menantikan Ali untuk tersedar dari komanya, Encik Kamarruhadi berkata: "Apabila beliau akhirnya membuka matanya buat kali pertama (sejak kemalangan itu), saya rasa itulah saat paling bahagia dalam kehidupan saya."

Dalam respons kepada pertanyaan TODAY, Grab menyatakan ia sudah menghubungi waris Ali dan akan menghulurkan sokongan dalam pelbagai cara termasuk membantunya dengan proses tuntutan insurans.

ANAK YANG BERDIKARI

Encik Kamarruhadi berkata Ali mula melakukan tugas menghantar makanan secara sambilan dengan menaiki basikal sejak enam bulan lalu untuk membantu keluarganya sebelum beliau mendapat lesen motosikalnya pada Januari lalu. Ali juga mahu menabung sedikit simpanan sebelum menjalani NS.

"Ali sudah lama berdikari. Jika beliau mahukan sesuatu, beliau akan bekerja keras untuk mendapatkannya. Malah beliau juga membeli motosikal dengan menggunakan wangnya sendiri."

Ketika mengingati semula perbualannya bersama kedua-dua anak beliau setelah pelbagai usaha mencari kerja tidak membuahkan hasil, Encik Kamarruhadi menambah: "Kami adalah kawan baik. Apabila saya tidak boleh bekerja, mereka memberitahu saya supaya jangan bimbang dan bahkan berjanji bahawa mereka akan menjaga saya."

Meskipun kini beban yang paling berat ditanggung sudahpun berlalu, Encik Kamarruhadi berkata beliau mengingatkan Ali setiap hari tentang baik budi dan semangat murah hati masyarakat yang sudahpun banyak membantu mereka sekeluarga.

Tambahnya, beliau amat tersentuh dengan sambutan yang luar biasa itu dan masih membalas satu-persatu ucapan yang dititipkan oleh orang ramai.

"Hari ini, orang menolongnya. Pada masa depan, saya mahu beliau menolong orang, sesiapa sahaja yang memerlukan."

Sumber : Today/FZ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan