Pekerja Gen Z di Asia guna AI untuk tingkatkan produktiviti, namun jangkaan majikan juga ikut bertambah
Sejak kecerdasan buatan (AI) menjadi sebahagian daripada kehidupannya, Cik Ayushi Raghuwanshi, yang bekerja dalam bidang pemasaran digital di Gurugram, India, mendapati bahawa menyiapkan kerja dengan lebih cepat bukanlah satu masalah.
AI membantu pekerja Gen Z di seluruh Asia bekerja dengan lebih pantas dan memikul lebih banyak tugas, namun ramai berkata peningkatan produktiviti itu turut menaikkan jangkaan di tempat kerja. (Gambar: CNA/Clara Ho)
- Pekerja muda di Asia kini menghadapi jangkaan kerja lebih tinggi akibat penggunaan AI, walaupun masa kerja tidak berkurang.
- Tinjauan Money Mind mendapati ramai pekerja menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti, tetapi ganjaran kewangan tidak semestinya meningkat seiring.
- Kebimbangan utama termasuk risiko kehilangan pekerjaan dan keperluan mengembangkan kemahiran baharu, namun ramai kekal optimis terhadap manfaat AI.
- Pakar menekankan pentingnya gabungan kemahiran manusia dan AI, serta perlunya latihan dan sokongan agar pekerja dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Wanita berusia 26 tahun itu berkata AI mengurangkan masa yang diperlukan untuk menyelesaikan tugas rutin kerana teknologi tersebut dapat membantunya menganalisis data kempen, menyediakan bahan pengiklanan dan menghasilkan slaid pembentangan dalam tempoh yang jauh lebih singkat.
Namun, masa yang dijimatkan tidak mengurangkan beban kerjanya.
"Sebagai contoh, sebelum ini saya mengendalikan tiga hingga lima tugasan sehari. Sekarang, untuk memastikan waktu kerja dan tugasan saya sepadan, saya melakukan sehingga lapan tugasan dalam tempoh yang sama," kata beliau kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa beliau masih menghabiskan lapan jam sehari di pejabat.
"Apabila tugasan yang dahulunya mengambil masa berjam-jam kini boleh diselesaikan dalam beberapa minit, lebih banyak yang diharapkan daripada saya. Bagi baki waktu kerja, saya berasa tertekan untuk menunjukkan apa lagi yang saya lakukan kerana tugas itu tidak lagi memerlukan usaha atau masa sebanyak dahulu."
Para perunding dan pakar tenaga kerja berkata trend jangkaan yang semakin tinggi ini, yang bukan hanya berlaku di Asia, berkemungkinan menjadi semakin lazim apabila AI semakin diterapkan dalam pekerjaan seharian, sekali gus mengubah penakrifan prestasi kerja yang dianggap biasa.
Encik John Hazan, rakan kongsi dan ketua global bagi amalan penghuraian bakat di Bain and Company, berkata AI "cenderung meningkatkan intensiti kerja dan bukannya mengurangkannya", kerana para pekerja dapat bekerja dengan lebih pantas dan memikul skop tugasan yang lebih luas.
"Keupayaan yang lebih tinggi membawa kepada hasil kerja yang lebih banyak. Ini pula meningkatkan jangkaan, yang seterusnya mendorong peluasan skop kerja. Para pekerja memberi tumpuan kepada apa yang kami sebutkan sebagai 'kegiatan nilai tambah', dengan masa yang terhad untuk berehat dan peluang yang terhad untuk menjauhkan diri seketika daripada pekerjaan mereka."
Di Shanghai, China, seorang perunding pengambilan pekerja berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Shi berkata beliau melihat corak yang sama berlaku di syarikatnya.
Syarikatnya sedang melakukan penjenamaan semula sebagai sebuah syarikat pengambilan pekerja yang dikuasakan AI, dengan menjanjikan para pelanggan senarai pendek calon dalam tempoh 22 hingga 72 jam, berbanding seminggu sebelum ini.
Walaupun petunjuk prestasi utama (KPI) beliau sendiri tidak berubah secara rasmi, Cik Shi berkata arahan daripada pihak atasan adalah jelas: gunakan AI untuk mempercepat proses pengambilan pekerja.
"Saya rasa ia bagus apabila kerja dapat diselesaikan dengan lebih cepat, tetapi pada masa yang sama ia juga tidak munasabah kerana pelanggan akan mempunyai jangkaan yang lebih tinggi, dan para pengurus juga akan mengharapkan anda menyelesaikan sesuatu dengan lebih cepat."
Di Bangkok, Thailand pula, Cik Pitchaya Liewchanpatana, 28 tahun, yang menguruskan pembangunan produk perbankan digital daripada peringkat perancangan hingga pelancaran, berkata beliau sebelum ini mengendalikan dua produk tetapi kini menguruskan tiga dengan bantuan AI.
Ketua beliau juga menggalakkan penggunaan alat AI untuk menangani pelbagai tuntutan kerja, meskipun menurutnya peningkatan jangkaan tersebut berlaku secara beransur-ansur dan bukannya menerusi pengumuman rasmi.
"Kadangkala saya mempunyai dua mesyuarat yang berlangsung serentak. Ketua saya akan berkata: 'Tidak mengapa, anda boleh lakukannya. Anda boleh menghadiri satu mesyuarat dan meminta Copilot (alat AI) untuk merumuskan mesyuarat yang satu lagi'."
Pengalaman para pekerja muda ini mencerminkan dapatan tinjauan Money Mind melibatkan 3,628 warga dan penduduk tetap berusia antara 21 h ingga 29 tahun di tujuh pasaran Asia: Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, China dan India. Para responden sama ada sudah bekerja atau sedang mencari pekerjaan.
Tinjauan tersebut dijalankan sempena pelancaran semula Money Mind CNA, sebuah program berita kewangan peribadi dan perniagaan, pada 1 Julai.
Dalam kalangan responden yang bekerja dan menggunakan AI di tempat kerja, sebahagian besar berkata penggunaan alat AI meningkatkan jangkaan terhadap mereka untuk menghasilkan lebih banyak kerja dalam tempoh yang sama.
Peratusannya paling tinggi di China, dengan 85 peratus bersetuju dengan kenyataan tersebut. India menyusul rapat pada 82 peratus, manakala Singapura dan Indonesia masing-masing mencatat 69 peratus.
Namun, tinjauan tersebut juga mendapati ramai pekerja muda kekal optimis terhadap AI. China dan India, dua pasaran dengan tahap penggunaan AI di tempat kerja paling tinggi, turut mencatatkan peratusan tertinggi responden yang berpendapat bahawa AI memberi manfaat kepada kerjaya mereka, masing-masing sebanyak 88 peratus.
Penolong Profesor Jack Tong dari Sekolah Perniagaan Nanyang di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata China dan India berkemungkinan menonjol kerana kedua-dua ekonomi sedang beralih dengan pesat daripada pertumbuhan yang dipacu sektor pengilangan kepada industri berteraskan inovasi dan pengetahuan. Dalam sektor-sektor tersebut, AI sudah menjadi alat untuk meningkatkan produktiviti bagi tugasan-tugasan seperti menjana idea, menulis kod, menganalisis data dan menghasilkan kandungan.
Justeru, para pekerja muda yang berpendidikan tinggi lebih terdedah kepada penggunaan AI berbanding pekerja-pekerja dalam sektor yang lebih tradisional, kata Penolong Profesor Tong, yang mengkhusus dalam kerjasama antara AI dengan manusia serta penerimaan teknologi.
Persaingan sengit bagi mendapatkan bakat dalam kedua-dua pasaran itu juga bermakna para pekerja semakin tertekan untuk menunjukkan bahawa mereka mampu menggunakan AI bukan sahaja untuk bekerja dengan lebih pantas, malah menghasilkan kerja yang lebih bermutu, menyelesaikan masalah yang lebih rumit dan mewujudkan nilai perniagaan yang lebih besar, tambah beliau.
Mediacorp mendapati keadaan yang bercanggah itu turut tercermin dalam temu bual bersama 16 pekerja Gen Z di pasaran-pasaran yang ditinjau. Ramai berkata AI membolehkan mereka bekerja dengan lebih pantas, namun masa yang dijimatkan sering digunakan untuk melakukan tugasan yang lebih rumit, menghasilkan kerja yang lebih bermutu atau memenuhi jangkaan baharu untuk terus menimba ilmu dan kemahiran.
Namun dari segi gaji, tiada seorang pun pekerja yang diwawancara Mediacorp menyatakan bahawa penggunaan AI di tempat kerja membawa kepada kenaikan langsung dan ketara dalam gaji asas mereka. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka percaya AI boleh membantu secara tidak langsung dengan memudahkan mereka mencapai KPI, yang berpotensi membawa kepada penilaian prestasi lebih baik, gaji lebih tinggi dan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah.
Para pakar berkata sikap optimis itu berasas, namun beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu.
Dr Vivien Shan Wen, pensyarah kanan dalam pengurusan sumber manusia di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berkata organisasi lebih berkemungkinan memberi ganjaran kepada para pekerja yang menggunakan AI untuk mewujudkan nilai, berbanding mereka yang sekadar menggunakannya sebagai jalan pintas.
"Dua pekerja mungkin sama-sama menggunakan ChatGPT, tetapi seorang sekadar menggunakannya untuk menghasilkan teks, manakala seorang lagi mereka bentuk semula aliran kerja, meningkatkan mutu keputusan atau menyelesaikan masalah perniagaan yang menjimatkan banyak masa atau wang organisasi," kata beliau.
"Perbezaan itulah – bukan penggunaan AI itu sendiri – yang berkemungkinan mendorong kemajuan kerjaya."
JANGKAAN SEMAKIN TINGGI
Namun, pada peringkat awal kerjaya mereka, ramai pekerja muda yang ditemu bual Mediacorp berkata mereka sekadar diminta untuk menghasilkan lebih banyak kerja yang sama dengan menggunakan AI, dan bukannya digalakkan atau diajar untuk mewujudkan nilai bagi perniagaan.
Di Gurugram, yang terletak berhampiran ibu negara India, New Delhi, penulis kandungan Ridhi Anand, 24 tahun, yang memberi tumpuan kepada kandungan berkaitan insurans dan pengoptimuman enjin carian (SEO), berkata AI meningkatkan dengan ketara jumlah kandungan yang perlu dihasilkannya.
Sebelum AI digunakan secara meluas di syarikatnya, beliau biasanya menulis antara 500 dengan 2,000 perkataan sehari. Kini, dengan alat-alat seperti ChatGPT, Gemini dan Claude, beliau diminta menghasilkan kira-kira 6,000 perkataan sehari, termasuk draf yang dihasilkan dengan bantuan AI yang kemudiannya perlu ditulis semula supaya ia kedengaran "lebih seperti tulisan yang dihasilkan oleh manusia".
Walaupun AI membolehkannya bekerja dengan lebih pantas, beliau berkata tugasnya juga menjadi lebih membosankan dan memberikan tekanan yang lebih tinggi, terutamanya kerana kandungan yang dijana AI masih perlu ditulis semula dan disesuaikan untuk carian Google.
"Produktiviti meningkat, tetapi tahap tekanan saya juga meningkat. Ketua saya gemar melihat lebih banyak kandungan dihasilkan dan kadangkala, semua beban itu jatuh kepada saya," kata Cik Anand.
Namun, keadaan tersebut tidak semestinya berlaku di semua tempat. Encik Sean Tan, ketua amalan kerjaya di Mercer Singapore, berkata AI tidak semestinya menjadikan pekerja lebih sibuk "dalam erti kata tradisional", tetapi ia telah mengubah tahap prestasi yang dianggap biasa.
"Jika sesuatu alat dapat membantu menghasilkan draf pertama dengan lebih pantas atau mengautomasikan sebahagian daripada tugasan yang diberikan, jangkaannya sering berubah sehingga pekerja kini perlu menghasilkan kerja yang lebih kemas, memberi respons dengan lebih cepat atau memikul tanggungjawab yang lebih rumit," kata beliau.
"Tekanan yang dihadapi selalunya tidak disebabkan oleh jumlah kerja semata-mata, tetapi tahap prestasi asas yang semakin tinggi."
Keadaan tersebut mungkin lebih mencabar bagi para pekerja yang baru memulakan kerjaya mereka. Dr Shan dari SUSS berkata para majikan wajar mengharapkan graduan baharu yang celik AI, tetapi bukan pakar dalam AI, kerana pekerja muda masih memerlukan masa dan sokongan untuk mempelajari cara untuk menilai kandungan yang dijana AI, dan menggunakan pertimbangan profesional.
Para pakar menambah bahawa jika AI sekadar membawa kepada jangkaan lebih tinggi tanpa latihan, sokongan atau pengiktirafan yang lebih jelas, ia boleh menjadi punca kekecewaan dan bukannya membantu meningkatkan prestasi serta perkembangan kerjaya.
Seorang guru sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia, yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Shay, mengalami sendiri keadaan tersebut.
Guru berusia 28 tahun itu, yang mengajar Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, mengakui AI banyak menjimatkan masanya dalam melaksanakan tugasan rutin, seperti menulis laporan sekolah, merancang pelajaran dan membalas emel ibu bapa.
Namun pada masa yang sama, pihak sekolah turut menambah keperluan berkaitan AI dalam sasaran kerja para guru. Ini termasuk pemeriksaan laporan dengan bantuan AI serta projek teknologi pendidikan yang memerlukan guru menunjukkan bagaimana mereka menggunakan AI di dalam kelas.
Cik Shay berkata pihak sekolah menyedari para guru mempunyai lebih banyak masa dan mula memberikan mereka lebih banyak kegiatan, tugasan berkaitan kurikulum serta tanggungjawab lain. "Sekarang, kadangkala kami perlu melakukan sesuatu kerana orang lain menganggap kami mempunyai terlalu banyak masa yang terluang."
Di Jakarta, Indonesia, Cik Septiani Rahayu, 28 tahun, seorang pakar media sosial di sebuah klinik estetik, berkata AI sudah menjadi sebahagian daripada aliran kerja hariannya dalam menghasilkan kandungan. Beliau menggunakannya untuk mencetuskan idea, mendapatkan saranan berhubung kandungan dan menghasilkan draf awal bagi skrip video dan kapsyen yang diperlukan.
"Sekarang saya menggunakan AI hampir setiap hari untuk menyokong penjanaan idea atau sebagai rakan untuk berbincang, tetapi saya masih menyunting dan menyesuaikan sendiri hasil akhirnya. AI sama seperti seorang rakan kerja dan bukannya sesuatu yang melakukan segala-galanya untuk saya."
AI juga telah meningkatkan jangkaan terhadap kelajuan dan mutu kerja yang perlu dihasilkan para pekerja, kata Cik Septiani.
"Jadi, kami masih memerlukan kemahiran untuk menyemak, menyunting dan memastikan kerja yang dijana AI benar-benar memenuhi keperluan kami," kata beliau.
MENANTIKAN PULANGAN DARIPADA AI
Jika AI meningkatkan jangkaan majikan terhadap para pekerja, maka secara logiknya, peningkatan produktiviti seharusnya disertai dengan gaji yang lebih tinggi. Namun, adakah perkara tersebut benar-benar berlaku?
Bagi ramai pekerja Gen Z yang ditemu bual Mediacorp, jawapannya adalah tidak. Walaupun AI membolehkan mereka menjadi lebih produktif, ia tidak membawa kepada kenaikan gaji asas. Namun, sebahagian daripada mereka percaya manfaatnya mungkin diraih secara tidak langsung, menerusi penilaian prestasi yang lebih baik atau komisen yang lebih tinggi.
Cik Raghuwanshi, yang bekerja dalam pemasaran digital di India, berkata beliau sudah memikirkan pertukaran tersebut daripada kedua-dua sudut. Sebagai pekerja, beliau mengakui reaksi awalnya adalah berasa kurang senang apabila diharapkan untuk melakukan lebih banyak kerja dengan gaji yang sama.
"Tetapi apabila saya memikirkan sama ada saya akan melakukan perkara yang sama terhadap para pekerja saya jika saya memiliki perniagaan, jawapannya adalah ya. Jika keupayaan mereka tidak digunakan sepenuhnya, atau jika mereka mendapat bantuan daripada seseorang (atau dalam kes ini, AI), maka saya akan mengharapkan mereka untuk melakukan lebih banyak."
Individu lain pula melihat kaitan yang lebih tidak langsung antara AI dengan peluang untuk meraih pendapatan lebih tinggi.
Cik Dinda Amalia Julyandri, 24 tahun, seorang perunding pinjaman kewangan di Surabaya, Indonesia, berkata AI membantunya memproses dokumen para pelanggan dengan lebih pantas dan mengendalikan lebih banyak permohonan, sekali gus memberinya peluang lebih baik untuk mencapai sasaran bulanan yang dikaitkan dengan penilaian prestasi dan insentif.
Buat masa ini, bagaimanapun, harapan untuk meraih manfaat kewangan tersebut masih belum menjadi kenyataan.
Di Manila, Filipina, Encik Julian Ang, 26 tahun, seorang eksekutif akaun jualan teknologi, berkata ia masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada kemahiran AI yang dipelajarinya sendiri selama lebih setahun akan memberi kesan kepada gajinya. Beliau belum menjalani penilaian rasmi kerana baru menyertai syarikat tersebut beberapa bulan lalu.
"Tetapi dalam penilaian-penilaian tidak rasmi ... pengurus saya menggalakkan saya menjadi pakar AI dalam pasukan, jadi saya berharap ia akan membawa kepada gaji yang lebih tinggi apabila tiba masanya."
Dapatan tinjauan menunjukkan kesan penggunaan AI terhadap gaji masih tidak sekata di seluruh rantau ini.
Dalam kalangan responden yang bekerja dan menggunakan AI di tempat kerja, China mencatatkan peratusan tertinggi yang mengatakan bahawa AI membawa kepada gaji lebih tinggi, iaitu 42 peratus. India dan Indonesia menyusul, masing-masing pada 34 peratus.
Namun, di pasaran-pasaran lain, kebanyakan pekerja yang menggunakan AI berkata gaji mereka tidak berubah. Ini melibatkan 67 peratus responden di Filipina, 61 peratus di Singapura, 60 peratus di Malaysia dan 58 peratus di Indonesia.
Di Singapura, hanya 12 peratus pekerja yang menggunakan AI berkata teknologi itu membawa kepada gaji lebih tinggi, manakala 27 peratus berkata ia menyebabkan gaji lebih rendah. Di Thailand, 35 peratus berkata AI membawa kepada gaji lebih rendah, peratusan tertinggi antara tujuh pasaran yang ditinjau.
Dapatan tersebut menunjukkan dilema yang mungkin dihadapi para pekerja sedang penggunaan AI menjadi semakin meluas di tempat kerja. Mereka mungkin diharapkan untuk menghasilkan lebih banyak kerja, tetapi ganjaran kewangan tidak semestinya terjamin.
Encik Marcus Lam, pengerusi eksekutif firma perakaunan PwC Singapore, berkata satu kemungkinan adalah para majikan semakin menganggap kemahiran menggunakan AI sebagai kemahiran asas di tempat kerja dan bukannya keupayaan khusus yang secara automatik melayakkan seseorang untuk menerima gaji lebih tinggi. Perkembangan tersebut serupa dengan kecelikan digital, yang sepanjang dua dekad lalu berubah daripada satu kelebihan kepada kemahiran asas yang dijangkakan daripada para pekerja.
Encik Tan dari Mercer Singapore berkata ramai majikan masih belum mengaitkan secara langsung peningkatan produktiviti hasil penggunaan AI dengan gaji. Sebaliknya, para majikan mereka bentuk semula peranan serta meningkatkan jangkaan terhadap jumlah dan mutu kerja serta skop tugasan.
Namun, jika syarikat-syarikat terus menuntut lebih banyak daripada para pekerja tanpa mengiktiraf sumbangan mereka yang semakin besar, ia berisiko menimbulkan kekecewaan dan menyebabkan pekerja-pekerja semakin tidak bersemangat dalam melakukan pekerjaan, kata beliau.
Para pakar turut menekankan bahawa majikan perlu menjelaskan dengan lebih baik bagaimana peningkatan produktiviti hasil penggunaan AI akan dipertimbangkan dalam penilaian prestasi dan kenaikan pangkat, di samping memastikan para pekerja menerima latihan serta sokongan yang diperlukan untuk memenuhi jangkaan yang lebih tinggi.
Bagi ramai pekerja muda, kesediaan mereka menerima AI dan manfaatnya turut disertai kebimbangan terhadap risiko yang dibawa teknologi tersebut.
Di kesemua tujuh pasaran yang ditinjau, lebih lapan daripada 10 responden berkata mereka mempunyai kebimbangan berhubung AI di tempat kerja. Kebimbangan paling lazim adalah AI boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan atau menjadikan kemahiran mereka tidak relevan. Filipina mencatatkan tahap kebimbangan tertinggi mengenai kemahiran yang menjadi lapuk, iaitu pada 48 peratus.
Bagi Cik Colleen Barcelona, 28 tahun, seorang pereka multimedia di Filipina, AI berguna kerana ia membantu mempercepatkan beberapa proses kerja, tetapi pada masa yang sama meningkatkan kebimbangannya bahawa beliau mungkin digantikan.
Cik Barcelona berkata beliau sebelum ini bekerja sebagai seorang pereka ilustrasi bagi sebuah jenama tetapi diberhentikan selepas syarikat tersebut memutuskan bahawa khidmatnya untuk menghasilkan ilustrasi tambahan tidak lagi diperlukan dengan adanya AI.
Pengalaman tersebut menyebabkan beliau bimbang pekerjaannya suatu hari nanti boleh digantikan dengan mudah oleh AI. Sebagai persediaan, beliau mula mengembangkan kemahiran dalam bidang-bidang lain seperti pemasaran media sosial, pengoptimuman enjin carian (SEO), analitik dan reka bentuk laman web.
Di Kuala Lumpur, Encik Jeffrey Tang, 27 tahun, berkata kebimbangan bahawa beliau akan ketinggalan dalam penggunaan AI menjadi antara faktor utama yang mendorong beliau meninggalkan pekerjaan terdahulunya sebagai penyelidik pengalaman pengguna (UX).
Syarikat lamanya menggalakkan para pekerja menggunakan alat AI seperti ChatGPT, Gemini dan Figma AI, tetapi menurutnya, pekerja-pekerja sebahagian besarnya dibiarkan mempelajari AI dengan sendirinya, dengan kebanyakan daripada mereka memanfaatkan ChatGPT dan Gemini menerusi arahan-arahan yang mudah.
Pada masa yang sama, para pelanggan mula mengharapkan kerja disiapkan dengan lebih pantas kerana AI sudah tersedia. Encik Tang berkata keadaan itu membuatnya bimbang bahawa dirinya akan ketinggalan atau digantikan jika beliau tidak mengembangkan mengukuhkan kemahiran AInya.
Beliau sejak itu berpindah ke sebuah syarikat yang menyediakan sesi latihan AI setiap minggu kepada kakitangannya dan mempunyai individu yang bertanggungjawab untuk mempertingkatkan aliran kerja menggunakan AI.
Perasaan bercampur baur ini turut tercermin dalam tinjauan tersebut, yang bertanya kepada para responden bagaimana mereka membuat persediaan bagi masa depan yang semakin dibentuk AI. Apabila ditanya kemahiran yang paling baik untuk mempersiapkan mereka bagi pekerjaan masa depan, ramai responden tidak memilih kemahiran AI semata-mata.
Di Singapura, 48 peratus responden mengenal pasti pemikiran kritis dan penyelesaian masalah sebagai antara kemahiran paling penting bagi pekerjaan masa depan. Pandangan yang sama dikongsi 49 peratus responden di Malaysia dan 54 peratus di Filipina.
Di India dan Thailand, kemahiran AI dan automasi lebih menonjol, masing-masing dipilih oleh 64 peratus dan 41 peratus responden.
Sebaliknya, kreativiti dan inovasi lebih menonjol dalam kalangan responden di China (54 peratus) dan Indonesia (57 peratus).
Walaupun para pakar mengakui kebimbangan pekerja berhubung AI berasas, mereka berkata, sekadar menggunakan alat AI tidak mencukupi. Apa yang penting adalah untuk menggunakan teknologi tersebut dengan bijak dan menggabungkannya dengan pertimbangan manusia yang baik.
Encik Hazan dari Bain and Company berkata kemahiran asas memberikan arahan kepada AI dan menggunakan alat AI tidak lama lagi akan dianggap sebagai keupayaan minimum yang dijangkakan daripada setiap karyawan. Apa yang semakin penting adalah keupayaan para pekerja untuk mengesahkan hasil yang dijana AI, merangka masalah dengan jelas dan menggunakan pertimbangan dengan sewajarnya apabila berdepan keadaan yang tidak mempunyai penyelesaian yang jelas.
Begitu juga, Encik Lam dari PwC Singapore berkata meskipun kemahiran menggunakan AI penting, ia tidak seharusnya menjejaskan pemikiran kritis, kebolehan untuk berkomunikasi, bekerja secara berpasukan dan melakukan pertimbangan.
"Individu-individu yang akan berkembang maju ialah mereka yang dapat menggabungkan keupayaan AI dengan kelebihan unik yang dipegang manusia."
Indonesia juga menarik perhatian dalam tinjauan tersebut atas sebab yang berbeza: Negara itu mencatatkan peratusan responden tertinggi (44 peratus) yang mengatakan bahawa mereka sudah menggunakan atau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan AI bagi memulakan pekerjaan sampingan atau menjana sumber pendapatan baharu.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding Thailand pada 35 peratus, India pada 31 peratus, Filipina pada 24 peratus, Malaysia pada 12 peratus, China pada sembilan peratus dan Singapura pada tiga peratus.
Cik Velisia Serenada, 27 tahun, seorang pakar strategi kreatif dan kandungan di Jakarta, menggunakan AI untuk membantu mengendalikan seuah perniagaan kecil yang menjual hamper perayaan semasa bulan Ramadan tahun lalu. Idea perniagaan tersebut dicetuskannya sendiri, tetapi beliau menggunakan AI untuk membantu menetapkan harga, menulis kandungan katalog, mendapatkan idea promosi dan menjalankan kajian pasaran.
Walaupun AI bukanlah teras perniagaannya, beliau berkata teknologi itu berguna sebagai pembantu berkos rendah yang membolehkannya menguji idea dengan lebih mudah.
PENDEKATAN HIBRID UNTUK MASA DEPAN
Walaupun ramai pekerja muda menyedari AI akan menjadi sebahagian daripada masa depan mereka, tinjauan itu mendapati tidak semua menunjukkan tahap keterbukaan yang sama terhadap penggunaannya.
Responden Singapura paling kurang berminat terhadap pekerjaan masa depan yang melibatkan AI. Lebih separuh daripada responden, atau 54 peratus, berkata mereka mahukan pekerjaan pada masa depan yang melibatkan AI, paling rendah antara tujuh pasaran yang ditinjau.
Sebaliknya, peratusannya paling tinggi di India pada 75 peratus, diikuti China pada 69 peratus dan Thailand pada 68 peratus. Singapura juga mencatatkan peratusan tertinggi responden yang mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang pilihan khusus, iaitu pada 20 peratus.
Bagi rakyat Singapura Tan Ming Chuan, yang "tidak mempunyai sebarang pilihan khusus", kemungkinan AI menjadi sebahagian daripada pekerjaan pada masa depan tidak membuatnya berasa teruja mahupun bimbang.
"Saya rasa ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan, jadi saya tidak mempunyai perasaan yang kuat mengenainya," kata eksekutif sumber manusia berusia 27 tahun itu. Walaupun AI boleh membantu mengautomasikan tugasan, kebergantungan berlebihan terhadapnya serta salah faham mengenai keupayaannya merupakan "masalah sebenar yang semakin ketara", tambah beliau.
Baginya, pendekatan terbaik bukanlah untuk memilih antara AI dengan kemahiran manusia, tetapi mengembangkan kedua-duanya. Beliau berkata AI boleh menjimatkan masa dengan mengautomasikan tugas-tugas operasi yang memerlukan sedikit atau langsung tidak memerlukan keputusan manusia, tetapi ia tidak dapat menggantikan pertimbangan manusia dalam "kes luar biasa dan rumit yang melibatkan manusia".
Begitu juga, Cik Ong Si En, 25 tahun, bekas penyelaras penyelidikan di Singapura yang sebelum ini bekerja dengan para pesakit yang menyertai kajian penjagaan kesihatan, berkata beliau terbuka untuk menggunakan AI bagi tugas pentadbiran, tetapi bukan bagi aspek pekerjaannya yang memerlukan interaksi manusia.
"AI tidak dapat bercakap dengan pesakit, berinteraksi dengan mereka, menerangkan kajian kepada mereka semasa proses saringan atau mengambil darah," kata beliau. Beliau kini sedang mencari pekerjaan.
Perbezaan tersebut juga dapat dilihat pada cara para responden merancang untuk mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi masa depan.
Singapura merupakan satu-satunya pasaran di mana "laluan manusia" menjadi pilihan paling popular. Kira-kira 24 peratus responden berkata cara terbaik untuk membuat persediaan bagi masa depan adalah dengan menceburi pekerjaan kolar putih yang memerlukan tahap empati yang tinggi atau strategi yang rumit.
Di China dan India, para responden lebih cenderung memilih "laluan AI", yang ditakrifkan sebagai kecenderungan terhadap pekerjaan yang tertumpu kepada pembangunan, pengurusan atau penggunaan AI.
Para pakar berkata perbezaan tersebut mencerminkan keadaan pasaran buruh yang berbeza, dan bukan sekadar perbezaan antara pekerja yang menerima AI dengan mereka yang menolaknya.
Dr Karthik Nachiappan, felo penyelidik di Institut Pengajian Asia Selatan di Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata India mungkin lebih cenderung kepada "laluan AI" kerana teknologi itu dilihat sebagai satu cara untuk maju dalam pasaran buruh dan ekonomi yang sangat kompetitif dan berteraskan kemahiran.
Dr Nachiappan turut menarik perhatian bahawa industri khidmat teknologi maklumat (IT) India yang besar bermakna AI sudah digunakan secara meluas di banyak tempat kerja, menjadikan penggunaannya "bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan".
Bagi China, Dr Luna Lai, felo pelawat di badan pemikir ISEAS-Institut Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura, berkata kecenderungan terhadap "laluan AI" berpunca daripada gabungan dasar pemerintah, pasaran pekerjaan yang "amat" kompetitif dan kebiasaan masyarakat menggunakan AI dalam kehidupan seharian.
"Di China, AI (sudah menjadi) keutamaan di peringkat negara. Pemerintah sudah menetapkan rancangan yang jelas dan apabila terdapat isyarat sedemikian daripada pihak atasan, masyarakat secara semula jadi merasakan bahawa menguasai AI bukan lagi satu pilihan, tetapi kemahiran yang diperlukan untuk terus bertahan."
Beliau turut merujuk kepada pasaran pekerjaan negara itu yang sangat kompetitif, di mana seseorang "perlu meningkatkan kemahiran atau akan menjadi ketinggalan", di samping penggunaan AI secara meluas dalam perkhidmatan seperti membeli-belah, penghantaran makanan dan perancangan perjalanan.
Bagi Singapura pula, para pakar berkata kecenderungan terhadap "laluan manusia" tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda para pekerja menolak AI kerana ia mungkin mencerminkan pandangan yang lebih seimbang dan praktikal tentang kesan AI terhadap pekerjaan.
Penolong Profesor Tong dari NTU berkata dapatan itu mencerminkan pemikiran yang menarik dalam kalangan pekerja Singapura. Daripada melihat AI dan kemahiran manusia sebagai dua pilihan yang saling bersaing, ramai pekerja Singapura dilihat menganggap daya tahan kerjaya jangka panjang sebagai bergantung pada keupayaan yang kurang berkemungkinan digantikan AI.
Singapura merupakan sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang sangat maju, dengan banyak pekerjaan memerlukan proses membuat keputusan yang rumit, pengurusan pihak berkepentingan dan pemikiran strategik. AI boleh membantu dalam bidang-bidang tersebut, tetapi pertimbangan manusia, kebertanggungjawaban dan kemahiran sesama manusia kekal penting dan tidak dapat digantikan, kata beliau.
Berkongsi pandangan tersebut, Encik Lam dari PwC Singapore berkata mungkin terdapat kesedaran lebih tinggi di Singapura bahawa penerapan AI bukan sekadar menggunakan alat baharu, tetapi turut melibatkan perubahan terhadap pekerjaan, jangkaan, kemahiran dan tanggungjawab.
"Keadaan itu secara semula jadi boleh menimbulkan sikap berhati-hati, terutamanya jika para pekerja masih berusaha untuk membina keyakinan berhubung cara AI mengubah peranan dan laluan kerjaya mereka," kata beliau.
"Pada pandangan saya, ini tidak semestinya menjadi sesuatu yang negatif. Sikap berhati-hati pada tahap yang wajar boleh membawa manfaat jika ia mendorong penerapan AI secara bertanggungjawab, tadbir urus yang lebih kukuh dan pelaburan yang lebih baik terhadap tenaga kerja."
Namun, para pakar berkata para pekerja tidak seharusnya menjauhkan diri daripada AI atau terlalu bergantung kepadanya.
Dr Shan dari SUSS berkata para pekerja tidak perlu menjadi pakar AI dalam sekelip mata, tetapi perlu mempunyai tahap kecelikan AI yang mencukupi untuk memahami kelebihan teknologi itu, batas keupayaannya dan cara untuk menggunakannya bagi melengkapi kepakaran mereka sendiri.
Tambah beliau, sikap terlalu optimis terhadap AI berisiko menjadikan parka pekerja pengguna pasif yang menerima jawapan yang dijana AI tanpa mempersoalkan ketepatan atau kesesuaiannya.
"AI boleh menghasilkan jawapan, tetapi manusia tetap bertanggungjawab untuk mengemukakan soalan yang tepat dan menentukan jawapan mana yang wajar dipercayai."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.