Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja didenda secara tidak adil, jangan takut minta bantuan

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja didenda secara tidak adil, jangan takut minta bantuan

Gambar fail stesen minyak Caltex di Singapura. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Para pekerja tempatan dan hijrahan dilindung di bawah Akta Pekerjaan daripada potongan gaji yang tidak diluluskan dan tidak harus berasa takut untuk meminta bantuan jika berasa mereka "didenda secara tidak adil".

Demikian menurut Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM). 

TADM, yang menguruskan pertikaian antara para pekerja dengan majikan, memberi respons kepada laporan CNA, yang mana seorang atendan stesen minyak diberitahu beliau perlu membayar pampasan kepada seorang pelanggan atas satu kesilapan.

Pada hujung Januari, CNA menerima maklumat tentang insiden yang berlaku di stesen Caltex itu. 

Atendan pam tersebut secara tidak sengaja mengepam petrol ke dalam sebuah kenderaan diesel. Kemudian, pekerja itu diberitahu bahawa kos bagi kerja pembaikan adalah kira-kira S$400. Namun seminggu kemudian, beliau diberitahu perlu memberi pampasan lebih S$1,500 kepada pelanggan berkenaan. 

Jumlah tersebut termasuk kos kereta sewa, kos meletak kereta dan kesemua kos berhubung kait pengangkutan yang ditanggung pelanggan itu semasa kereta Kia miliknya dibaiki di bengkel. 

Atendan pam tersebut juga diberitahu bahawa S$1,500 akan dipotong daripada gajinya sekiranya gagal membuat bayaran wang tersebut. 

TADM menarik perhatian bahawa Chevron Singapore, yang menyelia jenama Caltex, sudah memberitahu atendan pam tersebut bahawa beliau tidak harus memberi wang pampasan kepada pelanggan itu. 

Sebelum itu, Chevron memberitahu CNA bahawa ia "memandang tegas amalan pekerjaan yang adil". 

KEHILANGAN KERJA MASIH KEPRIHATINAN UTAMA 

"Jika para pekerja berasa bahawa mereka didenda secara tidak adil, mereka boleh menghubungi TADM untuk mendapatkan bantuan. TADM akan memberi nasihat sebagai pengantara untuk membantu para majikan dan pekerja menghuraikan pertikaian berkenaan," menurut TADM. 

"Para pekerja yang menggunakan hak pekerjaan mereka, seperti membuat permohonan pengantaraan dengan TADM, dilindung daripada dipecat secara salah. Garis Panduan Perikatan Tiga Pihak berhubung kait Pemecatan secara Salah melarang para majikan daripada memecat pekerja mereka sebagai denda atas penggunaan hak pekerjaan mereka." 

Jika pekerja berkenaan merupakan anggota kesatuan, mereka boleh mendekati kesatuan tersebut untuk mendapatkan bantuan, tambah TADM. 

Badan amal tempatan Pertubuhan Kemanusiaan bagi Pekerja Asing (HOME) menyatakan bahawa apabila para pekerja hijrahan berdepan amalan pekerjaan yang tidak adil, ia akan menasihatkan pekerja tersebut supaya "meminta bantuan melalui saluran-saluran yang sedia ada", seperti melalui Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan "bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan". 

Meskipun terdapat saluran-saluran yang sedia ada, risiko kehilangan kerja bagi pekerja tersebut merupakan sebab utama mengapa para pekerja hijrahan mungkin "terus bertahan dengan keadaan bekerja yang tidak selamat, mengeksploitasi serta mendera pekerja," tambah HOME. 

Ia juga menyatakan bahawa para pekerja hijrahan tidak dapat menyertai sebarang kesatuan. 

POTONGAN GAJI YANG DIBENARKAN 

Sejak peristiwa atendan pam itu, CNA diberitahu bahawa pekerja tersebut pada awalnya mendapati S$1,500 itu dipotong daripada gajinya sementara siasatan dijalankan. Namun, jumlah itu dipulangkan kepadanya. 

Menurut laman web MOM, majikan "boleh memotong gaji pekerja atas sebab-sebab tertentu". Jika pekerja itu merupakan seorang pemegang pas kerja, majikan harus memaklumkan kepada MOM sebelum membuat kenaikan atau potongan baru kepada gaji pekerja tersebut. 

Satu sebab gaji dipotong adalah kerosakan atau kerugian wang atau barangan termasuk peralatan, uniform dan kenderaan kerja yang merupakan tanggungjawab pekerja, menurut kementerian itu. 

Namun, sebelum gaji pekerja dipotong, majikan tersebut harus menyiasat untuk menentukan sama ada pekerja itu "benar-benar bersalah", dan tidak membuat potongan sehingga pekerja itu sudah mendapat peluang menjelaskan sebab kerugian atau kerosakan itu. 

Syarikat tersebut juga tidak dibenarkan memotong lebih 25 peratus gaji bulanan pekerja dan potongan gaji harus dibuat sebagai "satu bayaran sekali gus". 

Exxonmobil dan Fairprice, yang merupakan rakan kepada stesen-stesen petrol Esso Singapore, memberitahu CNA bahawa kesilapan pekerja dinilai "mengikut kes". 

"Secara amnya, kami berpegang kepada tanggungjawab yang dikongsi, yang mungkin termasuk perlindungan insurans dan bayaran bersama. Ada juga saluran yang sedia ada untuk para pekerja di stesen memberikan maklum balas tentang keprihatinan mereka, tanpa mendedahkan identiti mereka," kata jurucakap syarikat-syarikat tersebut. 

"Kami berusaha untuk memastikan kebajikan dan keselamatan kakitangan stesen kami, sedang kami juga cuba mengekalkan mutu khidmat yang tinggi." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan