Pekerja dewasa akan dapat lebih banyak peluang buru ijazah melalui program dibiayai MOE
SINGAPURA: Golongan dewasa yang bekerja mungkin mendapat lebih banyak peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sedang Kementerian Pendidikan (MOE) memulakan kajian untuk meningkatkan "kadar penyertaan kohort seumur hidup", kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Isnin (7 Mac).
Kadar penyertaan kohort merujuk kepada peratusan kohort yang diberikan tempat dalam program ijazah yang dibiayai oleh MOE.
Singapura buat masa ini mempunyai 40 peratus kadar penyertaan kohort bagi mereka yang baru meninggalkan bangku sekolah dan peruntukan lagi 10 peratus bagi pelajar dewasa, kata Encik Chan semasa Dewan membahaskan peruntukan Belanjawan 2022 bagi kementeriannya.
Meningkatkan kadar penyertaan kohort seumur hidup akan memberi lebih banyak peluang kepada orang dewasa yang bekerja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pada "masa yang sesuai" dalam kehidupan mereka dan menyokong bidang-bidang pertumbuhan utama dalam ekonomi Singapura, kata Encik Chan.
"MOE bersama dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan mengkaji lebih lanjut tentang campuran tempat yang dinaikkan jumlahnya untuk memenuhi keperluan pelajar kita dan ekonomi Singapura."
Program Peralihan Kerjaya SkillsFuture (SCTP) yang baru akan menggantikan Kemahiran SGUnited dan Program Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited yang diperkenalkan semasa pandemik untuk membantu pekerja pertengahan kerjaya berpindah ke sektor atau peranan pekerjaan baru.
Menurut Encik Chan, kursus-kursus di bawah program ini akan mendapat subsidi yang tinggi.
"Program ini akan menyokong keperluan peralihan kerjaya warga Singapura dengan latihan yang relevan dengan industri dan bakal majikan, di samping memudahkan kemasukan ke dalam sektor-sektor yang mempunyai peluang pengambilan pekerja yang baik," kata Encik Chan.
Lebih 22,000 rakyat Singapura sudah mendaftar dalam program Kemahiran SGUnited dan Laluan Pertengahan Kerjaya SGUnited, dedah Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia Gan Siow Huang di Parlimen pada Isnin (7 Mac).
Kadar penyertaan sangat 'menggalakkan' dan menurut Cik Gan, kedua-dua program berkenaan akan digabungkan untuk menjadi program SCTP yang baru mulai April ini.
SCTP akan ditawarkan oleh institut-institut pengajian tinggi dan beberapa penyedia latihan terpilih.
Program itu adalah antara tiga hingga 12 bulan dan akan dilancarkan dalam sektor-sektor yang mempunyai "peluang pengambilan pekerja yang baik"
seperti teknologi infokom serta pengilangan maju.
Program ini akan diberikan subsidi SkillsFuture pada kadar semasa, dengan pembiayaan dana dipertingkatkan sehingga 90 peratus untuk warga Singapura yang berusia 40 tahun dan ke atas," kata Cik Gan.
MOE dan kementerian-kementerian lain sedang mengkaji bagaimana untuk meningkatkan sokongan struktur untuk rakyat Singapura yang berusia antara 40-an hingga 50-an tahun yang mungkin memerlukan kemahiran yang dipertingkatkan untuk membantu menyuntik kesegaran pada kerjaya mereka," kata Encik Chan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.