Pekerja dengan keputusan positif ujian ART layak dapat cuti sakit berbayar: MOM
Mereka yang diuji positif COVID-19 menerusi ujian pantas antigen (ART) harus dibenarkan untuk bekerja dari rumah jika mereka boleh berbuat demikian, menurut kenyataan nasihat perikatan tiga pihak yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (25 Sep).

(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Mereka yang diuji positif COVID-19 menerusi ujian pantas antigen (ART) harus dibenarkan untuk bekerja dari rumah jika mereka boleh berbuat demikian, menurut kenyataan nasihat perikatan tiga pihak yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (25 Sep).
Jika aturan bekerja dari rumah tidak boleh dilakukan, para majikan harus menganggap tempoh ketidakhadiran itu sebagai cuti sakit berbayar.
Ini boleh dilaksanakan seperti cuti sakit berbayar bagi pesakit luar atau cuti sakit berbayar kerana dimasukkan ke hospital, tanpa memerlukan sijil perubatan, menurut penasihat itu.
Para pekerja yang menerima keputusan ART yang positif harus segera memaklumkannya kepada majikan dan mula menjalani pengasingan kendiri di rumah.
"Para pekerja tidak harus disuruh mengambil cuti tidak berbayar bagi tempoh pengasingan kendiri. Para pekerja boleh pulang ke tempat kerja apabila mereka menerima keputusan negatif ART selepas 72 jam," menurut penasihat itu.
Para majikan juga tidak seharusnya meminta para pekerja tersebut untuk ke tempat kerja walaupun mereka sihat secara fizikal.
Garis panduan itu dilakarkan menyusuli perubahan dalam pendekatan oleh pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 dalam menangani individu yang diuji positif melalui ujian ART namun tidak mempunyai simptom jelas.
Seperti diumumkan pada 17 September, individu sedemikian dinasihatkan supaya menjalani pengasingan kendiri dan memantau kesihatan mereka di rumah dan bukan bergegas ke klinik GP berhampiran atau hospital kerana mereka berisiko mendedahkan diri kepada jangkitan lain.
"Ini adalah pendekatan berdasarkan penilaian risiko yang membolehkan Singapura untuk menumpukan penggunaan jagaan utama dan sumber jagaan kesihatan yang lain kepada para pesakit COVID-19 yang berisiko lebih tinggi mengalami sakit teruk," menurut kenyataan nasihat itu.
MOM menambah bahawa kebanyakan pekerja tidak perlu menjalani ujian pengesahan tindak balas berantai polimerase (PCR) setelah mendapatkan keputusan positif ART yang pertama.
"Setelah menjalani pengasingan kendiri selama 72 jam, para pekerja boleh mengulangi semula ujian ART. Jika keputusannya adalah negatif, pekerja itu boleh kembali ke tempat kerja dan menyambung semula kegiatan harian.
"Bagaimanapun, jika keputusannya positif, pekerja itu harus terus menjalani pengasingan kendiri dan mengambil ujian ART setiap 24 jam sehingga dia menerima keputusan negatif ART."
MOM juga menerbitkan laman FAQ bagi menjawab beberapa soalan lazim oleh para majikan dan pekerja.
Sebagai pengecualian, berikut adalah kumpulan individu yang disarankan untuk mengambil ujian pengesahan PCR setelah diuji positif melalui ART:
- Pekerja dalam sekitaran jagaan kesihatan dan jagaan warga emas
- Pekerja atau murid di sekolah rendah atau prasekolah
- Individu di bawah perintah kuarantin (QO), notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau mereka yang menerima amaran risiko kesihatan (HRW)
- Individu berusia 80 tahun dan ke atas dan sudah menerima vaksin, atau berusia 70 tahun dan ke atas dan belum divaksin
Ujian pengesahan PCR mungkin perlu dilakukan jika timbul simptom jangkitan COVID-19.
Mereka yang mempunyai keputusan ujian PCR akan dikenakan perintah pengasingan kendiri atau kuarantin, sama seperti anggota keluarga mereka.
"Di bawah Akta Pekerjaan, para pekerja akan diberikan cuti berbayar apabila dimasukkan ke hospital semasa tempoh menjalani kuarantin," menurut MOM.
"Para pekerja yang diuji negatif PCR dan sihat secara fizikal boleh kembali bekerja namun mereka yang masih berasa kurang sihat harus berjumpa doktor bagi penilaian lanjut."
Tentang sama ada para pekerja boleh diberikan cuti tidak berbayar, MOM menyatakan para majikan "harus menunjukkan belas ihsan dan fleksibiliti" dalam menyokong keperluan pekerjanya.
"Setiap pekerja yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga bulan layak mendapatkan cuti sakit berbayar sehingga 60 hari, termasuk cuti apabila dimasukkan ke hospital, yang lazimnya mencukupi untuk merangkumi tempoh pengasingan kendiri," tambah MOM.
Para pekerja yang merupakan anggota keluarga individu yang diuji positif ART namun sihat secara fizikal harus memantau kesihatan mereka selamat 10 hari dan melakukan ujian kendiri ART secara kerap.
Kontak rapat di tempat kerja bagi para pekerja yang positif ART dinasihatkan agar berbuat demikian.
"Tiada sekatan pergerakan dikenakan ke atas para pekerja itu selagi keputusan ujian kendiri ART mereka adalah negatif. Ini bermakna mereka boleh pulang ke tempat kerja jika mereka tidak boleh bekerja dari rumah.
"Namun mereka harus hadkan pergaulan dengan orang lain seberapa mungkin," menurut kenyataan nasihat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.