Pekerja Deliveroo suntik keceriaan 100 penghuni rumah tumpangan orang tua pada Ramadan ini
SINGAPURA: Seramai 60 kakitangan dan pekerja penghantaran makanan syarikat Deliveroo menggembleng tenaga bagi menceriakan sambutan bulan Ramadan bersama hampir 100 penghuni rumah tumpangan orang tua Jamiyah Darul Takrim pada Jumaat (15 Mac) .
Selain meluangkan waktu menyiapkan dan menikmati juadah berbuka puasa dengan warga emas di situ, para kakitangan dan pekerja penghantaran makanan itu juga menceriakan mereka dengan aktiviti permainan bagi membangkitkan semangat kebersamaan Ramadan ini.
Inisiatif yang dinamakan #ByYourSide itu bertujuan untuk memastikan semua insan di sini dapat meraikan bulan Ramadan dengan sempurna di samping masyarakat.
"Tidak semua warga emas dapat meraikan Ramadan atau Aidilfitri sebagai sebuah masyarakat. Deliveroo mengakui kepentingan interaksi sesama manusia terutamanya bagi golongan warga emas yang terpinggir dan kurang berkemampuan," kata Pengurus Operasi dalam Penglibatan Pekerja dan Kerjasama, Asraf Rahim.
Dalam pada itu, Encik Asraf menekankan komitmen Deliveroo untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dalam pelbagai cara dan meninggalkan kesan yang positif.
Acara itu merupakan kerjasama yang pertama seumpamanya antara Deliveroo dengan Jamiyah Darul Takrim.
Naib Presiden ketiga Jamiyah Singapura, Siraj Salman amat berbesar hati dengan kerjasama itu.
"Inisiatif Deliveroo #ByYourSide ini memperlihatkan semangat keihsanan dan kebersamaan dalam bulan Ramadan ini. Ia membawa kegembiraan dan rasa keakraban kepada para penghuni warga emas kami dan meningkatkan mereka bahawa mereka ada nilai yang dihargai dalam masyarakat.
"Kami harap kerjasama dan inisiatif seperti ini dapat diteruskan kerana ia memberikan kesan positif kepada penghuni Darul Takrim," kata Encik Siraj.
Meski sibuk bekerja, ia tidak menjadi penghalang bagi kakitangan dan pekerja penghantaran makanan syarikat itu untuk teruskan inisiatif tersebut.
Salah satu daripada mereka ialah Encik Indra Putra Roni Karno yang melahirkan rasa syukur dapat turun padang untuk menyuntik keceriaan kepada penghuni rumah tumpangan orang tua itu.
"Saya amat terhutang budi kepada masyarakat kerana dulu kecil-kecil saya orang susah, jadi sekarang saya hendak menyumbang kembali, kami hendak menolong mereka," kongsi Encik Indra.
Menariknya, inisiatif ini juga melibatkan para relawan berbilang kaum.
Antaranya ialah Encik Ong Yong Kang yang teruja diberi peluang untuk menabur bakti kepada masyarakat.
"Saya mula menjadi relawan ketika di sekolah menengah di mana saya terlibat dengan pelbagai aktiviti bersama masyarakat. Jadi ini sebagai usaha berterusan saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Jadi saya rasa beruntung kerana Deliveroo mengadakan acara ini," kata Encik Ong.
Menurutnya rasa empati terhadap warga emas mendorongnya untuk terlibat dalam acara itu.
DELIVEROO AKTIF JALANKAN INISIATIF MEMBANTU MASYARAKAT
Sebelum ini, Deliveroo juga pernah terlibat dalam pelbagai usaha dan inisiatif pada bulan Ramadan.
"Tahun lalu, kami meraikan kembalinya Ramadan dengan sepenuhnya sejak sekatan sosial pandemik dengan kerjasama Masjid Darul Makmur melibatkan lebih dari 1,000 jemaah masjid dalam tempoh empat hari.
"Pada tahun sebelumnya, secara berturut-turut kami bekerjasama dengan Pusat Pekerja Hijrahan untuk menyumbang lebih dari 7,000 juadah berbuka puasa," kongsi Encik Asraf.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.