Pekerja Crowne Plaza kes ke-2 di S'pura diuji awal COVID-19 jenis B117
Seramai 23 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Jumaat (8 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Gambar fail Hotel Crowne Plaza. (Gambar: Facebook/Crowne Plaza Hotels & Resorts)
SINGAPURA: Seramai 23 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari Jumaat (8 Jan), menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Dua daripadanya adalah jangkitan tempatan dalam masyarakat dan sudah dikuarantin terlebih dahulu, menurut kementerian itu, sambil menambah bahawa tiada jangkitan baru yang ditemui di dormitori pekerja asing.
Kedua-dua kes masyarakat dikaitkan dengan kes COVID-19 yang disahkan sebelumnya.
Salah satunya adalah lelaki warga Singapura berusia 34 tahun yang bekerja sebagai malim pelabuhan PSA Marine. Kerjanya melibatkan menaiki kapal untuk mengemudinya melalui perairan yang sesak. Lelaki itu, yang dikenali sebagai Kes 59079, diuji negatif untuk COVID-19 semasa ujian rutin dijadual sebelumnya, yang terakhir adalah pada 28 Disember.
MOH menyatakan bahawa lelaki itu dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 58817, yang juga bekerja sebagai malim pelabuhan, dan dikuarantin pada 1 Januari di sebuah kemudahan khas.
Ujian swab yang dilakukan pada 3 Januari kembali negatif, namun ujian susulan pada 7 Januari kembali positif bagi jangkitan COVID-19 dan dia dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dengan menaiki ambulans. Dia mula mengalami gejala pada 8 Januari dan keputusan ujian serologinya belum selesai.
KAKITANGAN AZUR MUNGKIN DIJANGKITI COVID-19 JENIS B117
Satu lagi kes masyarakat adalah seorang lelaki warga Singapura berusia 20 tahun yang bekerja di Azur di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi. Lelaki itu, yang dikenali sebagai Kes 59084, menghantar makanan siap bungkus kepada anggota kru penerbangan dan tetamu hotel. Dia tidak berinteraksi dengan pelanggan di Azur, jelas MOH.
Hasil ujian rutin dijadual sebelum ini, yang terakhir pada 1 Januari, kembali negatif untuk jangkitan COVID-19.
Dia dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 59028, juga seorang pekerja di Azur, dan dikuarantin pada 5 Januari di sebuah kemudahan. Dia mengalami simptom jangkitan pernafasan akut pada 7 Januari, dan menjalani ujian swab pada hari yang sama. Ujiannya kembali positif bagi jangkitan COVID-19 dan dia dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dengan menaiki ambulans.
Hasil ujian serologinya kembali negatif, menunjukkan bahawa ini mungkin jangkitan semasa.
Dia juga diuji positif awal untuk COVID-19 jenis B117, dan sedang menunggu ujian pengesahan lebih lanjut, menurut MOH.
Dia adalah kes tempatan kedua yang dilaporkan awalnya positif untuk jenis B117 COVID-19.
MOH menyatakan pihaknya sedang menyiasat tiga kes yang bekerja di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi. Berdasarkan siasatan awal, kementerian itu menyatakan pihaknya tidak dapat mengecualikan bahawa penularan mungkin berlaku di hotel.
MOH menambah pihaknya sudah memulakan operasi pengujian khas untuk menguji 234 kakitangan yang bekerja di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi.
Setakat ini, 233 kakitangan hotel sudah diuji. Daripada jumlah tersebut, 129 hasil ujian sudah diproses, dan semuanya kembali negatif untuk jangkitan COVID-19 sementara 104 keputusan ujian belum selesai. Ujian sedang dilakukan bagi anggota kakitangan yang tinggal, tambah MOH.
4 AMAH ASING ANTARA KES DIIMPORT
Baki 21 kes adalah jangkitan yang diimport, yang semuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah setiba mereka di Singapura.
Antaranya adalah empat rakyat Singapura dan empat penduduk tetap yang pulang dari India, Indonesia dan Amiriah Arab Bersatu.
Lapan pula adalah pemegang permit kerja yang tiba dari Bangladesh, India, Indonesia dan Malaysia. Empat daripada mereka adalah pembantu rumah asing.
Terdapat seorang pemegang pas tanggungan yang tiba dari UAE serta seorang pemegang pas pelajar dan dua pemegang pas kerja yang tiba dari India.
Baki kes yang diimport adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari India untuk melawat pasangannya yang merupakan penduduk tetap Singapura.
MOH juga menambah dua lokasi baru ke senarai tempat-tempat yang dikunjungi oleh kes COVID-19 dalam tempoh berjangkit - Tampines Mall dan juga Gochi-So Shokudo di Tampines 1.
18 LAGI PESAKIT PULIH
MOH menyatakan jumlah kes baru dalam masyarakat merosot daripada 10 kes pada minggu sebelumnya kepada lapan kes pada minggu lalu.
Jumlah kes tanpa kaitan dalam masyarakat bagaimanapun meningkat dari empat kes pada minggu sebelumnya kepada lima kes pada minggu yang lalu.
Seramai 18 lagi kes dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah pemulihan Singapura sebanyak 58,580.
Terdapat 61 kes yang masih berada di hospital. Sebilangan besar daripadanya stabil atau beransur pulih, manakala seorang berada di unit jagaan rapi. 166 lagi diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat.
Sehingga Jumaat, Singapura melaporkan sebanyak 58,836 kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.