Skip to main content

Singapura

Pekerja BlueSG salah guna sistem, pandu tanpa lesen sebanyak 150 kali

Seorang ejen khidmat pelanggan dengan firma BlueSG menggunakan akaun rakannya untuk menyewa kenderaan milik syarikat tersebut sebanyak 150 kali dan memandu walaupun tidak mempunyai lesen memandu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja BlueSG salah guna sistem, pandu tanpa lesen sebanyak 150 kali

Muhammad Fadhli Anuar di Mahkamah Negara pada 13 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang ejen khidmat pelanggan dengan firma BlueSG menggunakan akaun rakannya untuk menyewa kenderaan milik syarikat tersebut sebanyak 150 kali dan memandu walaupun tidak mempunyai lesen memandu.

Sebanyak lapan kali, dia juga menyalahgunakan akses kepada pangkalan data dalaman BlueSG dan mengubah tempoh sewa kepada sifar minit, supaya dia boleh memandu secara percuma.

Muhammad Fadhli Anuar, 24 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan dan enam minggu pada Rabu (13 Ogos) dan dilarang mendapatkan sebarang lesen memandu selama tiga tahun.

Fadhli mengaku bersalah atas empat tuduhan secara tidak jujur mendapatkan khidmat BlueSG, memandu tanpa lesen dan perlindungan insurans, dan menghalang keadilan dengan memberitahu rakannya supaya berbohong kepada polis. Dua lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Fadhli mempunyai akses kepada pangkalan data dalaman BlueSG dalam peranannya sebagai ejen khidmat pelanggan.

Ini membolehkannya mengubah tempoh sewa dan masa perjalanan, serta mengeluarkan baucar muhibah kepada pelanggan.

Pada sekitar 20 Ogos 2023, Fadhli mencadangkan kepada rakannya supaya dia membuka akaun BlueSG dan menyewa kenderaan untuk memandu apabila mereka bertemu.

Dia membuka akaun bagi pihak rakannya, menggunakan lesen memandu dan kad pengenalannya, dan menyerahkan dokumennya kepada rakan sekerjanya untuk mengesahkan langganan BlueSGnya.

Fadhli kemudian memuat turun aplikasi BlueSG di telefonnya, menghubungkan kad kreditnya dengan akaun BlueSG rakannya dan menggunakannya untuk menyewa kenderaan.

Rakannya tahu bahawa Fadhli telah membuka akaun atas namanya, tetapi tidak tahu bahawa dia menggunakannya untuk menyewa kenderaan untuk dirinya sendiri.

Antara 20 Ogos 2023 dan 1 Jun 2024, Fadhli menyewa kenderaan sebanyak 150 kali menggunakan akaun rakannya, walaupun tidak mempunyai lesen memandu atau perlindungan insurans yang sah.

Sebanyak lapan kali antara Januari 2024 dan Jun 2024, Fadhli mengakses pangkalan data dalaman BlueSG dan mengubah tempoh sewa kenderaan kepada sifar minit.

“Ini membolehkan tertuduh menyewa kenderaan secara percuma,” menurut pendakwa raya.

Fadhli tidak berniat untuk membuat bayaran sepenuhnya. Akibatnya, BlueSG mengalami kerugian kira-kira S$650, yang kemudian dipotong oleh syarikat itu daripada gajinya selepas mengesan kesalahannya.

Pada 28 Mei 2024, seorang pegawai sumber manusia dari BlueSG membuat aduan polis yang menyatakan bahawa dua kakitangan telah membuat pengubahsuaian tanpa kebenaran pada perjalanan kenderaan sewa syarikat itu, membolehkan pelanggan mengelak daripada membayar untuk penggunaan kenderaan syarikat.

Kakitangan itu dikenali sebagai Fadhli dan orang kedua, Nabila Nurayla Putri Saifudin.

Pada 4 Jun 2024, Fadhli menghantar mesej kepada rakan yang akaunnya digunakannya, memintanya memberitahu polis bahawa akaun itu adalah miliknya, dan dia mempunyai akses kepada akaun tersebut.

Dia juga memintanya mengatakan bahawa dia tidak menyedari bahawa perubahan telah dibuat pada tempoh sewa kenderaan yang disewa menggunakan akaun BlueSG miliknya.

Rakan itu tidak memberikan keterangan palsu kepada polis.

KESALAHAN BENTAN

Pendakwa raya mengusulkan hukuman penjara anatar lapan hingga 10 bulan, denda S$1,000 dan larangan memandu tiga hingga empat tahun terhadap Fadhli.

Beliau menyifatkannya sebagai "pesalah bentan" yang mengambil langkah untuk mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

Sekalipun jumlah yang ditipu sekitar S$650, ia boleh menjejas reputasi BlueSG, kerana Fadhli telah mengeksploitasi proses dalaman syarikat untuk keuntungan peribadi, kata pendakwa raya.

Beliau menambah bahawa terdapat penyalahgunaan kepercayaan yang ketara di pihak Fadhli, kerana dia diamanahkan dengan akses kepada sistem dalaman BlueSG untuk membantu pelanggan, tetapi mengeksploitasi akses itu untuk keuntungan peribadi.

Selain itu, Fadhli juga telah menipu rakan sekerjanya untuk menggunakan akses sistemnya untuk mengubah tempoh sewa, dengan alasan dia membantu rakan Fadhli menjimatkan kos sewa.

“Sebenarnya, rakan sekerja tertuduh membantunya menjimatkan kos sewa,” kata pendakwa raya.

Fadhli tidak diwakili peguam. Dia meminta hukuman terhadapnya diringankan, mengatakan dia telah "mematuhi segala-galanya" semasa kes mahkamah sedang berjalan.

Dia juga meminta penangguhan kerana dia mempunyai seorang warga emas di rumah yang keperluannya perlu diuruskan.

Semasa menjatuhkan hukuman, hakim berkata Fadhli "tidak menghiraukan undang-undang" dengan memandu sebanyak 150 kali tanpa lesen.

Kesalahan seperti itu tidak mudah dikesan melainkan dia dihalang atau mengalami kemalangan, katanya.

Keadaan bertambah buruk kerana dia memandu tanpa perlindungan insurans, kata hakim.

Fadhli akan memulakan hukuman penjaranya pada September.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita