Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja binaan yang mati terjatuh di Tampines tidak pakai abah-abah keselamatan

Seorang pekerja binaan maut selepas terjatuh ke dalam lubang udara di tapak binaan Tampines pada 2017. Mangsa didapati tidak memasang abah-abah pada sebarang hujung mata abah-abah berkenaan, menurut dapatan koroner pada Selasa (29 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan yang mati terjatuh di Tampines tidak pakai abah-abah keselamatan

Seorang pekerja binaan memakai abah-abah. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 01 Feb 2019 03:15PM Dikemas Kini : 01 Feb 2019 03:17PM

SINGAPURA: Seorang pekerja binaan maut selepas terjatuh ke dalam lubang udara di tapak binaan Tampines pada 2017. Mangsa didapati tidak memasang abah-abah pada sebarang hujung mata abah-abah berkenaan, menurut dapatan koroner pada Selasa (29 Jan).

Encik Wu Sanyuan, 51 tahun, bekerja dengan syarikat China Jingye Engineering Cooperation di tapak binaan sebuah kondominium di Tampines Avenue 10 pada 18 Dis 2018 ketika kemalangan berlaku.

Rakyat China itu diarahkan oleh penyelia tapak binaan supaya membuka bingkai aluminium lubang udara mekanikal - saluran udara tegak bagi melancarkan peredaran udara - antara tingkat 10 dengan 11.

Mendiang seharusnya melakukan kerja itu bersama rakan kerjanya, Encik Liao Jigang, tetapi Encik Liao meninggalkan rakannya untuk membantu seorang lagi rakan pada sekitar 9.30 pagi.

Tidak seorang pun melihat Encik Wu terjatuh, dan beliau ditemui di atas papan kayu di tingkat empat lubang udara hanya selepas Encik Liao menyedari rakannya itu hilang pada sekitar 10.30 pagi.

Pasukan paramedik mengesahkan beliau mati pada sekitar 11.30 pagi dan hasil pemeriksaan forensik mengesahkan bahawa beliau meninggal dunia akibat beberapa kecederaan yang dialami selepas terjatuh.

MENDIANG SERING TIDAK MENGGUNAKAN PERALATAN KESELAMATAN

Menurut kenyataan Encik Liao, Encik Wu dan dirinya memakai abah-abah keselamatan semasa membuka bingkai tersebut.

Mereka seharusnya memasang abah-abah pada mana-mana hujung mata abah-abah (life line) tetapi tidak melakukan demikian kerana lubang udara kecil dan memasang abah-abah hanya akan "menghalang pergerakan mereka semasa bertugas".

Encik Liao juga mengatakan bahawa mereka tidak meletakkan papan kayu di setiap bahagian lubang udara sebagai sebahagian daripada prosedur-prosedur keselamatan syarikat. Beliau mengaku tindakan mereka itu salah.

Papan kayu seharusnya diletakkan pada lubang udara di setiap tingkat bagi melindungi para pekerja daripada terjatuh.

Encik Liao percaya papan kayu di tingkat empat, di mana Encik Wu ditemui, ditinggalkan oleh rakan kerja lain.

Beliau juga percaya Encik Wu kerap tidak mengikuti langkah-langkah keselamatan semasa bertugas.

Beliau menambah, rakan-rakan kerja lain turut tidak mengamalkan langkah keselamatan itu kerana ia menyusahkan.

MANGSA TERJATUH KERANA SALAH LANGKAH

Laporan siasatan oleh Kementerian Tenaga Manusia, yang mengeluarkan arahan berhenti kerja pada masa itu, mendapati terdapat beberapa senario tentang bagaimana Encik Wu mungkin terjatuh.

Beliau mungkin tersalah langkah ketika berdiri di atas kepingan batu lubang udara, atau ketika mencuba memanjat tangga untuk keluar dari lubang udara itu.

Selepas insiden berkenaan, satu pemberitahuan dikeluarkan kepada para pemain industri bagi meningkatkan kesedaran tentang kelemahan yang ada, bagi mencegah tragedi itu daripada berulang.

MOM hanya memansuhkan arahan berhenti bekerja itu pada 29 Jan 2018 selepas langkah-langkah keselamatan dipastikan dilaksanakan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan