Skip to main content

Singapura

Pekerja binaan warga India didenda S$400 gara-gara buang air besar di pintu masuk MBS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan berusia 37 tahun didenda S$400 pada Khamis (19 Sep) kerana membuang air besar di pintu masuk The Shoppes di Marina Bay Sands pada tahun lalu.

Semasa dihadapkan ke mahkamah, Ramu Chinnarasa, lelaki warga India, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

Gambar Ramu melakukan perbuatan itu menjadi tular di Facebook pada Oktober lalu, mendapat lebih 1,500 tanda suka, 1,700 komen dan 4,700 perkongsian dalam masa kira-kira dua hari.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Adelle Tai berkata kejadian itu berlaku pada 30 Okt 2023.

Sebelum itu, Ramu telah meminum tiga botol minuman keras dan berjudi di dalam kasino Marina Bay Sands.

Sekitar pukul 5.00 pagi, dia meninggalkan kasino. Ramu tidak dapat pergi ke tandas kerana dia masih mabuk.

Ramu menanggalkan seluarnya, mencangkung dan membuang air besar di atas lantai di luar sebuah restoran berhampiran pintu masuk Marina Bay Sands pada pukul 7.01 pagi.

Dia kemudian meninggalkan bangunan itu dan tidur di salah satu bangku di luar Marina Bay Sands sehingga kira-kira pukul 11.00 pagi, sebelum pulang ke dormitorinya di Kranji.

DPP Tai berkata bahawa seorang pengawal keselamatan di Marina Bay Sands melihat satu kiriman yang mengandungi video Ramu membuang air besar pada hari itu dan membuat aduan polis.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah bahawa Ramu meninggalkan Singapura pada 31 Okt 2023 dan kembali ke sini "suatu masa kemudian".

Pada 4 Jun tahun ini, dia cuba memasuki kasino yang sama dan dikenal pasti sebagai "tetamu yang tidak diingini". Aduann polis dibuat dan dia diberkas.

Ramu memohon "denda paling rendah" daripada mahkamah.

Hakim Daerah Christopher Goh Eng Chiang berkata: "Adakah anda tahu bagaimana untuk mendapatkan denda paling rendah? Jangan lakukan ini di depan khalayak ramai.

"Lebih baik, jangan terlalu mabuk sehingga perkara ini berlaku. Saya mahu anda tahu jika ini berlaku lagi - saya harap tidak - denda lebih berat akan dikenakan terhadap anda."

DPP Kiera Yu memohon denda S$400 hingga S$500, dengan menyatakan bahawa Ramu telah membuang air besar di khalayak ramai selama kira-kira 10 minit.

"Pesalah tidak membuat sebarang percubaan untuk membersihkan diri sendiri, dan tidak memaklumkan mana-mana pembersih mengenai perbuatan itu," kata pendakwa raya.

"Jika tidak kerana kesalahannya dirakam oleh orang awam dan kemudiannya ditemui oleh pasukan keselamatan MBS, najis pesalah itu akan dibiarkan begitu sahaja bagi tempoh masa yang panjang, di pusat beli-belah awam dengan ramai pejalan kaki,” kata pendakwa raya.

Beliau menambah kerosakan pada kebersihan awam adalah "ketara".

Sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana membuang air besar di tempat awam yang bukan kemudahan kebersihan untuk tujuan tersebut boleh didenda sehingga S$1,000 untuk kesalahan pertama, dan denda lanjut sehingga S$100 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas disabit kesalahan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita