Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja binaan mengaku rosakkan 2 bas di depot ketika mabuk

Selepas menogok tujuh tin bir di rumah, seorang pekerja binaan berusia 32 tahun pergi ke sebuah depot bas dan menyebabkan kerosakan pada dua buah bas ketika ia memasuki depot berkenaan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan mengaku rosakkan 2 bas di depot ketika mabuk

Zhu Honglu di Mahkamah Negara pada 15 Nov 2021. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 05:37PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 07:09AM

SINGAPURA: Selepas menogok tujuh tin bir di rumah, seorang pekerja binaan berusia 32 tahun pergi ke sebuah depot bas dan menyebabkan kerosakan pada dua buah bas ketika ia memasuki depot berkenaan.

Zhu Honglu, warga China, mengaku bersalah hari ini (15 Nov) atas satu tuduhan melakukan perbuatan nakal dan satu tuduhan menimbulkan kegusaran di tempat awam ketika mabuk.

Selain dirinya dalam keadaan mabuk, dokumen-dokumen mahkamah tidak menyatakan mengapa Zhu mahu merosakkan dua bas SMRT Corporation itu.

Mahkamah diberitahu insiden tersebut berlaku pada 22 November tahun lalu sekitar jam 1.30 pagi di luar depot bas di Woodlands Industrial Park.

Ketika pemandu bas pertama membelok masuk ke depot, beliau ternampak Zhu berdiri di tengah-tengah jalan raya sebelum di berlari ke aras bas itu sambil menjerit.

Zhu kemudian menanggalkan pengelap cermin depan dan mengetuk cermin depan itu, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir.

“Dia kemudian cuba menarik pintu-pintu bas untuk membukanya tetapi gagal. (Zhu) meninggalkan tempat itu beberapa waktu selepas itu," tambah DPP Hidayat.

Dua puluh minit selepas itu, ketika bas kedua membelok masuk ke depot berkenaan, Zhu memecut ke depannya, menyebabkan pemandu menekan brek.

Dia mula menjerit ke arah pemandu bas itu sebelum menanggalkan cermin tepi bas di bahagian sebelah pemandu.

Zhu menggunakan cermin tepi itu untuk menghentak cermin depan lantas menyebabkan beberapa kesan calar.

Dia sekali lagi cuba untuk membuka pintu-pintu bas dengan menendangnya. "Setelah gagal berbuat demikian, dia menarik penutup getah yang dipasangkan pada pintu bas," kata DPP Hidayat.

Tiada kerja-kerja pembaikan diperlukan bagi bas pertama manakala cermin depan dan cermin bas kedua perlu menjalani kerja-kerja pembaikan bernilai S$6,200.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara tiga hingga lima minggu bagi Zhu dengan menarik perhatian bahawa tempoh penjara maksimum bagi perbuatan nakal sudahpun dinaikkan seganda selepas satu pindaan ke atas Kanun Keseksaan berkuat kuasa 2020.

Peguam Zhu, Cheryl Ng, bagaimanapun berhujah bahawa hukuman maksimum yang dinaikkan baru-baru ini tidak menangani sama ada Zhu sudah melepasi ambang untuk dipenjarakan bagi kesalahannya.

Cik Ng, dari firma undang-undang Zico Law, sebaliknya meminta denda S$4,000 dan dibayar secara ansuran.

Beliau berhujah bahawa tindakan Zhu bersifat tergesa-gesa dan dia tidak secara sengaja menyasarkan kedua-dua bas itu.

Hakim Daerah Wong Li Tein meminta penyerahan lanjut daripada pihak pendakwa dan menangguhkan hukuman selama seminggu.

Zhu bebas dengan ikat jamin yang ditetapkan pada S$2,000.

Bagi perbuatan nakal, Zhu boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi menyebabkan kegusaran di tempat awam ketika mabuk, dia boleh didenda sehingga S$1,000, dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan