Skip to main content

Singapura

Pekerja binaan mengaku gigit hujung jari rakan kerja hingga putus

Seorang pekerja binaan menggigit hujung jari kelengkeng rakan kerjanya setelah dalam keadaan mabuk menuduh lelaki itu meniduri para pekerja lain di dormitori mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan mengaku gigit hujung jari rakan kerja hingga putus

Gambar: CNA

Diterbitkan : 24 Nov 2021 05:33PM Dikemas Kini : 24 Nov 2021 05:35PM

SINGAPURA: Seorang pekerja binaan menggigit hujung jari kelengkeng rakan kerjanya setelah dalam keadaan mabuk menuduh lelaki itu meniduri para pekerja lain di dormitori mereka.

Warga India Logan Govindaraj, 31 tahun, hari ini (24 Nov) mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan yang teruk.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Logan dan mangsa - iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun - merupakan pekerja binaan yang tinggal di sebuah dormitori pekerja hijrahan di Kranji Crescent.

Pada 6 Disember 2020, mangsa berada dalam sebuah lori bersama seorang teman apabila Logan menyertai mereka. Tertuduh sudah meminum sekurang-kurangnya tiga tin bir pada masa itu dan berada dalam keadaan mabuk.

Ketika di dalam lori, Logan mula memarahi mangsa dan membuat dakwaan palsu tentang lelaki itu. Tertuduh berkata mangsa meniduri pekerja-pekerja lain di dormitori mereka.

Mangsa menyuruh Logan untuk tidak membuat dakwaan sedemikian tetapi Logan tetap meneruskannya. Mangsa kemudian membuka pintu lori dan meminta Logan keluar, sebelum dia juga keluar tidak lama kemudian kerana ingin menjauhkan diri daripada Logan.

Tertuduh, yang memekik dalam keadaan mabuk berdiri di hadapan mangsa. Mangsa kemudian menaikkan tangannya untuk menolak Logan, meletakkan tangannya dekat dengan bahagian mulut tertuduh.

Logan kemudian menggigit jari kelengkeng kiri mangsa, yang mula berdarah dengan banyak. Menurut pendakwa raya, mangsa bertindak dengan menepis tangan Logan dan menarik bajunya.

Selepas itu mangsa menyedari bahawa sebahagian jari kelengkengnya hilang dan berlari untuk mencuci tangannya. Lelaki itu meminta rakan-rakannya untuk memanggil ambulans dan beliau dibawa ke hospital.

Bahagian jari yang terputus ditemui berhampiran tempat kejadian tetapi doktor tidak dapat mencantumkannya kembali.

Mangsa terpaksa menjalani prosedur pembedahan dan terapi cara kerja (occupational therapy) serta diberi cuti sakit.

Proses mengemukakan rayuan dan menjatuhkan hukuman ditangguhkan kerana kedua belah pihak berbeza pendapat mengenai sejauh mana mangsa terjejas oleh kecederaan tersebut.

Logan akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada Disember.

Bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan teruk, dia boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun dan didenda atau dirotan.

Sumber : CNA/IH/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita