Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja binaan maut selepas jatuh dari bumbung; insiden maut ke-6 di tempat kerja tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan maut selepas jatuh dari bumbung; insiden maut ke-6 di tempat kerja tahun ini

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 03 Mar 2023 06:51PM Dikemas Kini : 03 Mar 2023 06:52PM
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan maut selepas jatuh dari ketinggian empat meter semasa melakukan kerja-kerja pengalisan air pada sebuah bumbung.

Ini sekali gus menjadikannya insiden maut keenam di tempat kerja yang dilaporkan tahun ini.

Kemalangan itu berlaku pada sekitar pukul 9.00 pagi di 2 Marsiling Lane pada 26 Februari, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat.

Lelaki itu dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat di mana beliau meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami pada Rabu.

MOM menyatakan pihaknya sedang menyiasat kemalangan itu dan sudahpun mengeluarkan arahan berhenti kerja sepenuhnya ke atas majikan pekerja itu, Guan Teck Construction 2000, yang juga penghuni bangunan tersebut.

Kelemahan dalam amalan keselamatan syarikat itu turut dikesan.

"Syarikat itu diharamkan daripada mengambil pekerja hijrahan baru selama tiga bulan dan pihak pengurusan serta kakitangan keselamatan perlu memberi keterangan secara peribadi atas kemalangan itu kepada MOM," menurut kementerian itu.

MOM juga menyatakan tindakan lanjut boleh diambil, bergantung kepada kesimpulan siasatan penuh.

"Kami akan terus mengambil tindakan tegas ke atas syarikat yang gagal melaksanakan langkah-langkah yang perlu demi memastikan keselamatan para pekerja mereka," menurut MOM.

Semasa bekerja di tempat yang tinggi, syarikat mesti memastikan langkah-langkah yang mencukupi dilaksanakan bagi mencegah insiden jatuh.

Para pekerja juga mesti diberikan latihan dan arahan yang secukupnya, serta dilengkapi dengan peralatan sewajarnya bagi mencegah jatuh, menurut MOM.

Bulan lalu, MOM melanjutkan tempoh keselamatan dipertingkat yang dikenakan ke atas syarikat dalam industri berisiko lebih tinggi selama tiga bulan mulai 1 Mac sehingga hujung bulan Mei, dengan langkah-langkah tambahan seperti denda lebih berat bagi pelanggaran peraturan keselamatan di tempat kerja.

Tempoh keselamatan itu diperkenalkan pada September 2022 selama enam bulan demi menangani "kenaikan yang membimbangkan" dalam jumlah kemalangan maut di tempat kerja.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan