Skip to main content

Singapura

Pekerja binaan maut dihempap konkrit di tapak kerja Laluan Rentas Pulau

Seorang pekerja binaan maut pada Khamis lalu (14 Mei) selepas dihempap konkrit di sebuah tapak kerja Stesen MRT bagi Laluan Rentas Pulau (CRL) yang akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan maut dihempap konkrit di tapak kerja Laluan Rentas Pulau

Ilustrasi artis yang menggambarkan stesen MRT Turf City. (Gambar: Penguasa Pengangkutan Darat)

Diterbitkan : 18 May 2026 03:23PM
SINGAPURA: Seorang pekerja binaan maut pada Khamis lalu (14 Mei) selepas dihempap konkrit di sebuah tapak kerja Stesen MRT bagi Laluan Rentas Pulau (CRL) yang akan datang.

Kejadian itu berlaku sekitar pukul 1.30 tengah hari di tapak kerja CR14, iaitu stesen Turf City yang akan datang di sepanjang Turf Club Road.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin menyatakan kejadian berlaku di sebuah kawasan di mana sebuah jengkaut sedang digunakan untuk menanggalkan konkrit di bawah dek konkrit.

“Peranan mangsa adalah untuk membimbing pengendali jengkaut dan mengawasi kawasan untuk mengelakkan orang lain daripada memasuki zon kerja,” tambah LTA.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberitahu Mediacorp bahawa mangsa berusia 23 tahun itu ditugaskan sebagai petugas isyarat (banksman) dan dihempap bahagian konkrit sementara (temporary concrete section) semasa proses memecahkan konkrit dijalankan.

Seorang petugas isyarat bertanggungjawab mengarahkan pergerakan kenderaan besar, kren dan jentera berat.

Pasukan paramedik diaktifkan dengan serta-merta, namun pekerja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau sebelum ini bekerja dengan Koh Kock Leong Construction.

MOM menyatakan ia sudah mengarahkan penghuni tapak kerja tersebut, Shanghai Tunnel Engineering Co (Singapore)-Obayashi CR203 Joint Venture, supaya menghentikan semua kerja penggalian di tapak berkenaan.

Polis dan MOM sedang menyiasat kejadian itu, dengan LTA membantu siasatan.

Polis menambah bahawa berdasarkan siasatan awal, ia tidak mengesyaki sebarang unsur khianat.

LTA menyatakan pihaknya amat bersedih dengan kejadian tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja yang meninggal dunia itu.

“Kami sedang bekerjasama dengan kontraktor untuk menghulurkan sokongan dan bantuan kepada keluarga mangsa.”

Sementara itu, MOM menyatakan sebagai langkah keselamatan umum, kerja memecahkan dan menanggalkan mana-mana bahagian konkrit sementara mesti dijalankan secara terkawal dan zon larangan perlu dikuatkuasakan dengan ketat.

“Selain itu, walaupun petugas isyarat bertanggungjawab melindungi orang lain dengan memantau bahaya dan mengawal akses, mereka juga perlu memastikan diri mereka tidak berada dalam zon yang berisiko runtuh,” tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita