Skip to main content

Singapura

Pekerja binaan dipenjara kerana rogol budak perempuan 12 tahun

Seorang pekerja binaan dikenakan hukuman penjara 22 tahun dan 18 kali sebatan rotan pada Jumaat (12 Apr) kerana merogol budak perempuan 12 tahun tiga kali 

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja binaan dipenjara kerana rogol budak perempuan 12 tahun

Kolam Air Lower Pierce.

Diterbitkan : 13 Apr 2019 12:03AM Dikemas Kini : 13 Apr 2019 12:05AM

SINGAPURA: Seorang pekerja binaan dikenakan hukuman penjara 22 tahun dan 18 kali sebatan rotan pada Jumaat (12 Apr) kerana merogol budak perempuan 12 tahun tiga kali di Kolam Air Lower Pierce setelah mengeksploitasi dia untuk berkelakuan seksual.

Das Ratan Chandra, warga Bangladesh berusia 41 tahun, pertama kali melihat budak perempuan itu di dalam kereta api MRT pada Februari 2017. Ketika itu, datuk dan nenek budak perempuan itu ada bersamanya.

Sepanjang perjalanan, Chandra memerhatikan budak perempuan itu dan mengerling ke arahnya berulang kali, menurut Timbalan Pendakwa Raya Winston Man.

Chandra kemudian mengekori budak perempuan itu serta datuk dan neneknya apabila turun di stesen MRT Choa Chu Kang. Chandra menulis dua nombor telefon pada sekeping kertas lalu memberikannya kepada budak perempuan itu tanpa pengetahuan datuk dan neneknya.

Budak perempuan itu menghubungi Chandra pada hari yang sama dan mereka mula bersembang menerusi SMS, WhatsApp dan Facebook Messenger.

PEROGOL TIPU MANGSA TENTANG USIA SEBENAR

Chandra, yang tahu usia budak perempuan berkenaan, menipu mangsa bahawa dirinya berusia 25 tahun meskipun ketika itu dia berumur 38 tahun.

Chandra kemudian memulakan perbualan seksual dengan budak perempuan itu, mengirimkan gambar-gambar lucah dan meminta budak itu untuk menghantar beberapa gambar dirinya.

Walaupun pada awalnya budak berkenaan keberatan dia akhirnya menghantar gambar-gambar dirinya yang berunsur seksual.

Perbuatan itu kemudian berlanjutan kepada perbualan tentang aksi seks. Mereka bertemu untuk melakukan kegiatan seksual sekurang-kurangnya lima kali antara Februari hingga April 2017 sepanjang tempoh itu dan membuat hubungan kelamin sebanyak tiga kali.

Pada malam hubungan seks terakhir mereka, ibu mangsa menyedari anaknya berkelakuan mencurigakan ketika membuat panggilan video bersama seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Beliau memberitahu bekas suaminya serta ibu tiri mangsa tentang perkara itu. Mereka bertiga kemudian membuat laporan di balai polis dua hari selepas kejadian tersebut.

Polis memberkas Chandra pada 26 April 2017 dan dia dalam tahanan sejak bulan itu.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita