Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja binaan dijel di S'pura, biayai entiti pengganas di Syria

Seorang warga Bangladesh yang datang ke Singapura untuk bekerja sebagai seorang pekerja binaan, menyokong kumpulan militan di Syria dan membuka beberapa akaun di Facebook untuk menyebarkan catatan yang menyokong propaganda jihad.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang warga Bangladesh yang datang ke Singapura untuk bekerja sebagai seorang pekerja binaan, menyokong kumpulan militan di Syria dan membuka beberapa akaun di Facebook untuk menyebarkan catatan yang menyokong propaganda jihad. Dia juga membeli beberapa bilah pisau sebagai persiapan untuk "melakukan jihad".

Namun, dia tidak berhasrat menggunakan pisau-pisau itu di Singapura kerana tidak mahu terbabit dalam sebarang salah laku dan masih mahu menyara keluarganya di Bangladesh dengan terus bekerja di sini.

Antara Februari dengan Oktober 2020, dia melakukan 15 pemindahan wang berjumlah sekitar S$892 kepada "kempen pengumpulan dana" yang dia tahu akan disalurkan kepada entiti pengganas Hay'at Tahrir Al-Sham (HTS).

Ahmed Faysal, 27 tahun, dihukum penjara dua tahun dan lapan bulan pada Isnin (21 Feb). Dia mengaku bersalah atas lima tuduhan di bawah Akta Pengganasan (Penyekatan Pembiayaan), dengan lagi 10 tuduhan diambil kira.

Jumlah tuduhan itu adalah yang tertinggi pernah dikenakan ke atas seorang pesalah di bawah Akta itu, menurut pendakwa tersebut.

Mahkamah diberitahu bahawa Ahmed bekerja sebagai seorang pekerja binaan di Singapura, dengan gaji bulanan antara S$900 dengan S$1,200.

Dia tertarik dengan matlamat ISIS untuk mewujudkan sebuah pemerintah Khalifah Islam di Syria, dengan mempelajari tentang jihad dan perang saudara Syria di Facebook.

Dia menggunakan beberapa akaun Facebook yang dibuka menggunakan alamat emel sementara dan nombor telefon lalu menulis catatan tentang jihad.

Dia juga mempertimbangkan untuk ke Syria dan membantu ISIS memusnahkan pemerintah Syria, namun tidak berbuat demikian kerana tidak mempunyai cukup wang untuk ke Syria kerana perlu menyara keluarganya di Bangladesh.

Pada pertengahan 2019, Ahmed mengalihkan kesetiaan kepada HTS, setelah menonton video beberapa ulama Islam mengkritik ISIS kerana membunuh orang awam.

Dia merasakan HTS "kurang kejam" dalam mencapai matlamatnya, kata mahkamah.

HTS disenaraikan sebagai sebuah lagi kumpulan militan yang ingin mewujudkan negara Islam di Syria dan menggulingkan rejim Assad.

Pada pertengahan 2019, Ahmed kerap melungsuri laman Facebook seorang doktor, asal Bangladesh dan mendakwa bekerja di sebuah hospital di Idlib, Syria.

Doktor itu memuat naik catatan di lamannya yang menyokong kempen untuk menggulingkan pemerintah Syria dan menyokong anggota HTS.

Dia juga melakukan penstriman video secara langsung untuk memohon dana dalam satu kempen mengumpul dana kononnya bagi sebuah hospital yang merawat anggota tentera HTS yang cedera.

Terpengaruh dengan catatan tersebut, Ahmed membuat 15 pemindahan wang berjumlah S$891.98 kesemuanya dan sedar wang itu akan memanfaatkan entiti pengganas.

Ahmed turut didapati memiliki tujuh bilah pisau ketika diberkas. Dia mengaku membeli pisau-pisau itu supaya "bersedia untuk melakukan jihad". Namun, mengaku kepada pihak berkuasa bahawa dia tidak merancang untuk menggunakan senjata itu di Singapura.

Pisau-pisau itu katanya untuk melakukan serangan di Bangladesh jika kaum Hindu menyerang penduduk Muslim dan pemerintah tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelakunya. Namun, ketika diberkas, dia belum lagi membuat sebarang rancangan khusus.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara 34 bulan, sambil berkata pembiayaan pengganasan akan dikenakan hukuman penjara yang lama.

Pengganasan adalah ancaman yang jelas dan nyata terhadap keselamatan Singapura, menurut pihak pendakwa, dan mengenakan hukuman pencegahan terhadap Ahmed akan bermakna Singapura "terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat global dan perjuangan berterusan memerangi pengganasan".

"Ini merupakan tugas berat yang tidak boleh dipandang ringan dan hukuman tegas yang dikenakan terhadap pesalah yang melakukan kesalahan membiayai kegiatan pengganasan bertujuan memajukan kedua-dua kepentingan awam Singapura dan mencegah individu berfikiran serupa daripada melakukan perbuatan serupa," tambahnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan