Skip to main content

Singapura

Pekerja, belia dan asatizah perlu tingkat kemahiran, rebut peluang dalam ekonomi berubah: Zaqy Mohamad

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja, belia dan asatizah perlu tingkat kemahiran, rebut peluang dalam ekonomi berubah: Zaqy Mohamad

Pekerja pejabat berjalan di kawasan Daerah Pusat Bandar Singapura. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 03:53PM Dikemas Kini : 02 Sep 2026 03:54PM
SINGAPURA: Perubahan ekonomi dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) menuntut masyarakat Melayu/Islam, daripada pekerja dan belia hingga golongan asatizah supaya terus meningkatkan kemahiran, memperluas jaringan dan menyesuaikan diri dengan peluang baharu.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, berkata usaha itu perlu digerakkan secara bersama oleh pemerintah, pertubuhan masyarakat dan rakan industri agar sokongan yang disediakan benar-benar dapat diterjemahkan kepada peluang dan hasil yang nyata.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama pihak media di Hab Islam Singapura pada Isnin (24 Ogos), selepas pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2026.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad, dalam wawancara bersama pihak media di Hab Islam Singapura di Braddell Road pada Isnin (24 Ogos).
JAWATANKUASA DAYA EKONOMI PERKASA BANTUAN BUAT PEKERJA HADAPI PERUBAHAN EKONOMI

Menyentuh mengenai penubuhan Jawatankuasa Daya Ekonomi, Encik Zaqy berkata inisiatif tersebut dapat memainkan peranan dalam membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.

Menurut beliau, jawatankuasa yang diterajui Anggota Parlimen Dr Wan Rizal Wan Zakariah dan Saktiandi Supaat perlu memastikan cadangan yang diberikan dapat diterjemahkan kepada program yang boleh membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi.

“Apa yang penting adalah bukan analisis yang telah diberikan oleh jawatankuasa itu, tetapi bagaimana dapat melaksanakan program-program untuk kita membantu pekerja. Tetapi bukan sahaja pekerja muda tetapi juga pekerja yang lebih matang yang mungkin memerlukan menyesuaikan diri dalam ekonomi yang sedang berubah," kata Encik Zaqy.

Beliau turut menekankan bahawa perkembangan AI sedang mengubah landskap pekerjaan dan memerlukan pekerja untuk terus meningkatkan kemahiran.

PERLU SOKONG BELIA UNTUK FAHAMI PERUBAHAN DALAM DUNIA PEKERJAAN

Bagi golongan belia, Encik Zaqy berkata mereka perlu dibantu untuk memahami perubahan dalam dunia pekerjaan dan mengenal pasti peluang kerjaya baharu.

“Hari ini kita juga mengetahui akan kesan AI di mana ada yang mungkin merasakan pekerjaan itu sedang berubah. Apakah kerjaya yang masih ada untuk mereka," kata Encik Zaqy.

Menurutnya, kerjasama antara institusi Melayu/Islam dan agensi pemerintah seperti SkillsFuture, Workforce Singapore, MENDAKI dan NTUC e2i perlu terus diperkukuh bagi mendekati mereka yang memerlukan sokongan.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap skim peningkatan kemahiran yang tersedia.

"Hari ini kita mempunyai program dan kerjasama yang baik dan bagaimana dapat membantu dan mendekati mereka yang memerlukan bantuan tersebut. Tapi apa yang juga penting adalah kesedaran.

"Pemerintah juga mempunyai banyak skim. Skim hari ini yang mungkin tidak diketahui ataupun ramai mengatakan mungkin tidak mempunyai masa untuk meningkatkan ilmu," kata Encik Zaqy.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif seperti Langkah Digital, yang diterajui MENDAKI dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), dapat membantu masyarakat membina keyakinan menggunakan teknologi baharu dan AI.
BELIA PERLU DIBERI RUANG UNTUK BENTUK MASA HADAPAN

Masyarakat, kata Encik Zaqy perlu melihat belia bukan sekadar sebagai penerima manfaat sesuatu program, tetapi sebagai rakan yang turut mempunyai peranan dalam membentuk masa depan masyarakat.

Beliau merujuk kepada inisiatif di bawah M³+, termasuk Festival Belia M³+ yang melibatkan lebih 2,600 belia bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai keprihatinan dan aspirasi masing-masing.
“Ini menunjukkan bukan sahaja pemerintah yang harus prihatin dengan belia-belia tadi. Tapi ini satu inisiatif di mana masyarakat datang bersama untuk mereka melakarkan bersama pemerintah, program-program baru, skim-skim baru supaya mereka mendekati belia lain dan juga memberi sumbangan kepada masyarakat.

"Belia kita hari ini mereka berkebolehan, mereka mempunyai bakat. Mereka mempunyai pendedahan. Mereka mempunyai keupayaan juga untuk bukan saja menjalankan aktiviti untuk mereka sendiri, tapi bagaimana mereka dapat melihat masyarakat menyumbang dan juga pada masa yang sama juga membina masa depan bersama dengan pemerintah untuk mereka," kata Encik Zaqy.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan usaha membangunkan belia dilakukan secara bersama, dengan mengambil kira pandangan dan keperluan mereka.

KERJASAMA PERGAS-ASME BERI ASATIZAH PENDEDAHAN KEPADA INDUSTRI

Satu kerjasama antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) dengan Persatuan Syarikat-Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME) turut diketengahkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2026.

Melalui inisiatif itu, perusahaan yang dimiliki golongan asatizah boleh memanfaatkan khidmat nasihat, alat digital dan rangkaian perniagaan.

Encik Zaqy menyifatkan kerjasama tersebut sebagai perkembangan positif kerana ia menghubungkan badan Melayu/Islam dengan persatuan industri.

“Bagi saya ini satu perkembangan yang baik di mana ia menunjukkan semangat kolaborasi di antara satu badan Melayu/ Islam dan pada yang sama ia bergabung tenaga dengan satu persatuan industri.”

Menurut beliau, platform ASME juga memberi peluang kepada asatizah untuk berinteraksi dengan pemimpin industri daripada pelbagai sektor dan mempelajari cara mengembangkan perniagaan.

"Bagi asatizah kita yang mungkin mahu mengetahui lebih banyak, lebih baik tentang bagaimana mereka ingin menjalankan atau membesarkan memperkembangkan perniagaan mereka, ini satu- satunya cara di mana selain daripada industri Melayu tetapi juga dapat memperkembangkan kepada industri yang lain, industri pembuatan dan sebagainya dan memberi mereka pendedahan dan kesedaran yang mungkin lebih berlainan," kata Encik Zaqy.

Menurut beliau, pendekatan melalui kerjasama rentas institusi itu selari dengan usaha untuk memastikan masyarakat Melayu/Islam terus mempunyai akses kepada pengetahuan, peluang dan rangkaian yang lebih luas dalam menghadapi perubahan ekonomi dan sosial.
Sumber : BERITA Mediacorp/ak
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita