Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja asing ini anggap S'pura seperti tanah tumpah darahnya; gigih bantu pasukan FAST lawan COVID-19

Golongan pekerja asing terus membentuk sebahagian besar daripada kes-kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura. Sungguhpun demikian, ramai daripada mereka sanggup tampil untuk menghulurkan bantuan sewaktu mengharungi masa-masa sukar ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja asing ini anggap S'pura seperti tanah tumpah darahnya; gigih bantu pasukan FAST lawan COVID-19

Encik Rajendran Raja (kiri) bersama Mejar Jonathan Ong, yang dikerahkan ke dormitori Homestay Lodge pada awal tahun ini. (Gambar-Gambar: PIONEER/Facebook)

SINGAPURA: Golongan pekerja asing terus membentuk sebahagian besar daripada kes-kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura. Sungguhpun demikian, ramai daripada mereka sanggup tampil untuk menghulurkan bantuan sewaktu mengharungi masa-masa sukar ini.

Bagi Encik Rajendran Raja, peluang untuk membantu para pekerja asing seperti beliau merupakan satu motivasi yang mendorongnya untuk melakukan usaha murni itu. Kisah Encik Rajendra mendapat perhatian ramai dan turut dikongsi di laman Facebook PIONEER, sebuah majalah terbitan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

"Bertanggungjawab. Bersikap positif. Iklhas." Itulah ciri-ciri yang dimiliki oleh anggota Pasukan Sokongan dan Jaminan ke Hadapan (FAST) itu.

Encik Rajendran, yang berasal dari Tamil Nadu di India, adalah salah seorang pekerja asing yang giat membantu pasukan FAST yang dikerahkan ke dormitori Homestay Lodge.

PIONEER menerusi catatan di laman Facebooknya pada 8 Jun mengongsi bahawa Encik Rajendran sejak pertengahan April sudah ditugaskan untuk menyelia pergerakan para penghuni yang sakit. Malah, oleh kerana Encik Rajendra fasih bertutur dalam bahasa Inggeris dan Tamil, beliau dapat membantu pasukan FAST berkomunikasi dengan para pekerja asing.

Encik Rajendran menggalas pelbagai tugas sebagai anggota FAST. Di pondok perubatan, misalnya, beliau akan mengambil maklumat peribadi pekerja asing dan tanda-tanda jangkitan yang dialami mereka, selain hasil ujian swab dan hospital mana mereka akan dimasukkan.

Di dormitori pula, Encik Rajendran memantau kemudahan-kemudahan pengasingan yang didiami oleh para pesakit buat sementara waktu sedang mereka beransur pulih daripada jangkitan COVID-19.

"Bantuannya berjaya mengurangkan masa yang diperlukan untuk mengumpul maklumat, sekali gus membolehkan kami untuk menumpukan perhatian kepada tugas-tugas yang lebih penting seperti memastikan agar kemudahan pengasingan dapat disediakan di dormitori-dormitori," kata Timbalan Ketua Pasukan FAST Mejar (MAJ) Jonathan Ong yang bekerja rapat dengan Encik Rajendran.

PELUANG UNTUK SUMBANG KEPADA MASYARAKAT

Lelaki warga India itu tiba di Singapura empat tahun lalu untuk bekerja dalam sektor binaan dan bertugas memasang paip, menurut catatan PIONEER.

Anak bongsu daripada dua orang adik beradik itu mengaku pada mulanya, ibu bapanya bimbang anak mereka itu akan bekerja di barisan hadapan dan bersentuhan secara langsung dengan para pesakit COVID-19.

Walau apa pun, Encik Rajendran tetap bertekad untuk menghulurkan bantuan.

"Saya sentiasa memberitahu ibu bapa saya bahawa saya mengambil langkah-langkah pencegahan dan selain itu, langkah-langkah keselamatan juga dilaksanakan," kata lelaki berusia 25 tahun itu.

Bagi Encik Rajendran, inilah cara untuk beliau menyumbang semula kepada Singapura, yang dianggap seperti tanah tumpah darahnya.

"Pemerintah Singapura telah memberikan kami bantuan perubatan, gaji dan makanan yang baik. Saya tidak tahu sama ada negara-negara lain akan menjaga pekerja asing dengan baik. Saya berasa berterima kasih dan oleh itu, saya melakukan ini untuk menunjukkan penghargaan saya," katanya kepada PIONEER.

SUMBANGAN ENCIK RAJENDRA TURUT DIHARGAI

Untuk menunjukkan penghargaan terhadap sumbangan dan pengorbanan Encik Rajendra, pasukan FAST dan pondok perubatan memberikan Encik Rajendran kejutan manis dengan menganjurkan sambutan ulang tahun untuk beliau pada 5 Jun.

"Saya sangat, sangat tersentuh kerana kali terakhir saya menyambut hari lahir saya dengan sebuah kek adalah ketika saya berumur 10 tahun!," katanya.

"Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada semua orang, terutama sekali MAJ Jonathan dan rakan-rakannya kerana menganjurkan sambutan ini walaupun kami semua sibuk melawan COVID-19.

"Saya hanya di sini untuk membantu, tetapi mereka menganggap saya seperti keluarga mereka sendiri," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan