Pekerja 74 tahun maut selepas jatuh dari platform ruang punggah di Century Square
Seorang pekerja berusia 74 tahun maut akibat kemalangan di tempat kerja selepas terjatuh dari platform setinggi sekitar satu meter di pusat beli-belah Century Square.
Pusat beli-belah Century Square. (Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Seorang pekerja berusia 74 tahun maut akibat kemalangan di tempat kerja selepas terjatuh dari platform setinggi sekitar satu meter di pusat beli-belah Century Square.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (25 Ogos) menyatakan bahawa rakyat Singapura itu sedang menarik troli tangan di ruang punggah apabila beliau terjatuh daripada bahagian terbuka sebuah platform bergerak di pusat beli-belah itu pada 13 Ogos.
Lelaki itu dikejarkan ke Hospital Besar Changi di mana beliau meninggal dunia akibat kecederaannya pada keesokan hari.
Pekerja tersebut bekerja dengan syarikat AST Logistics. MOM menyatakan ia sedang menyiasat kemalangan itu, yang merupakan kematian ke-26 di tempat kerja dalam tahun ini.
Satu makluman Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja pada Isnin (23 Ogos) menyatakan bahawa pekerja tersebut mungkin mahu "menggunakan tanjakan tetapi tersalah menaiki platform bergerak itu".
Gambar: Majlis WSH
Ia menambah bahawa para majikan sepatutnya memberi taklimat kepada para pekerja, terutamanya mereka yang baru atau bekerja sementara, tentang kawasan berbahaya di tempat kerja seperti bahagian terbuka di ruang punggah.
Langkah-langkah lain untuk mencegah daripada berlakunya kemalangan sedemikian termasuk memasang petanda amaran atau pelekat amaran berwarna terang di bahagian-bahagian terbuka platform-platform bertingkat untuk menarik perhatian kepada risiko jatuh.
"Sekiranya para pekerja mesti bergerak kebelakang sedang mereka mengalihkan barangan, mereka seharusnya kerap memeriksa bahagian belakang mereka untuk mengelak risiko tersungkur atau terjatuh," menurut makluman itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.