Pek bateri PMD disyaki punca kebakaran di flat Bukit Merah
Siasatan awal menunjukkan pek bateri sebuah alat mobiliti peribadi (PMD) mungkin punca kebakaran di Jalan Bukit Merah pada Rabu (13 Jul).
Dua penghuni sebuah rumah sewa meninggal dunia manakala sekitar 60 penduduk dipindahkan oleh polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sebagai langkah berjaga-jaga.
Menurut SCDF, terdapat 20 insiden kebakaran akibat PMD pada enam bulan pertama tahun ini iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding 10 kejadian bagi tempoh yang sama tahun lalu.
"Terdapat lebih banyak tempat di mana orang ramai boleh membeli PMD, bukan sahaja di Singapura, tetapi juga di luar negara.
"Dan satu lagi sebab utama adalah sesetengah alat mobiliti peribadi (PMD) ini, mereka digunakan untuk beberapa tahun. Jadi, baterinya semakin usang. Justeru, risiko berlakunya kebakaran lebih tinggi," kata Pengarah Urusan King Fire, Kelvyn Ong.
Penduduk yang terjejas dilihat keluar masuk dari unit masing-masing untuk mengambil barangan mereka.
Namun, oleh kerana kerja-kerja pembaikan masih dijalankan, ramai penduduk masih tidak pasti bila mereka dapat pulang ke rumah.
Mediacorp difahamkan, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah menyediakan flat sewa alternatif kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran itu.
Majlis bandaran yang bertanggungjawab ke atas kawasan tersebut menyatakan, pihaknya sedang berusaha untuk memulihkan kawasan-kawasan terjejas secepat mungkin.
Mereka turut membantu dari segi keperluan tenaga kerja dan kerja-kerja mengalihkan barangan besar.
Sukarelawan dari kalangan masyarakat juga turut sedia membantu.
"Ketua blok kami kirim mesej tentang kebakaran yang berlaku dan beliau beritahu saya bahawa salah satu unit penerima bantuan terletak dua pintu bertentangan daripada unit yang terbakar itu. Sebab itu saya datang hari ini, untuk lihat apa yang saya boleh bantu, sama ada mereka perlukan pembersihan atau penggantian perabot," kata Pengasas Reach Out, Grace Chuah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.