Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejuang muzik tradisional Melayu Hasnah Kana meninggal dunia

Penyanyi veteran Singapura, Hasnah Kana, yang banyak memperjuangkan lagu-lagu tradisional Melayu, meninggal dunia pada Isnin (9 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Penyanyi veteran Singapura, Hasnah Kana, yang banyak memperjuangkan lagu-lagu tradisional Melayu, meninggal dunia pada Isnin (9 Nov).

Allahyarhamha berusia 67 tahun.

Menurut keluarganya, Allahyarhamha Hasnah Kana meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan ginjal yang lemah.

(Gambar: Irma Yanti Mohd Nazir)

(Gambar: Irma Yanti Mohd Nazir)

Beliau dimasukkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) sejak dua minggu lalu kerana masalah kaki bengkak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh atau 'water retention'. Keadaan itu menjejas pergerakannya di rumah.

"Kami perasan di rumah kakinya nanti berair tapi cuma seolah-olah dia berpeluh di kaki. Jadi makin lama, saya cakap 'Jom Ma kita pergi doktor, pergi unit kecemasan'. Mak saya memang ada kencing manis. Jadi asalnya dari situlah. Doktor cuba keluarkan air dan mungkin saya pernah dengar doktor cakap paru-parunya pun ada berair juga sebab itu dia bernafas pun dalam keadaan lemah," kata anak Allahyarhamha, Cik Irma Yanti Mohd Nazir ketika dihubungi BERITAmediacorp.

Allahyarhamha menghembuskan nafas terakhirnya sekitar 10.00 pagi tadi semasa bersarapan di NUH.

Lebih memilukan, keluarganya tidak sempat berada di sisi beliau buat kali terakhir.

"Doktor suruh anak-anak semua bergegas ke sana. Jadi ayah saya sampai dulu lepas itu saya. Tapi keadaan ibu saya sudah tak adalah. Tak sempat. Ayah saya pun tak sempat," kata Cik Irma Yanti.

Allahyarhamha meninggalkan seorang suami, empat orang anak dan enam cucu. 

DIKENANG ATAS JASANYA UNTUK MELESTARIKAN MUZIK TRADISIONAL MELAYU

Allahyarhamha Hasnah Kana terkenal dengan suaranya yang lunak mendendangkan lagu-lagu bercorak Asli, Joget dan Keroncong.

(Gambar: Facebook/Orkes Melayu Mutiara)

(Gambar: Facebook/Orkes Melayu Mutiara)

Allahyarhamha aktif sejak tahun 1960-an lagi hinggalah ke tahun-tahun 80-an dan seangkatan dengan penyanyi seperti Rosiah Chik, SM Salim dan R Ismail.

Menurut pengasas syarikat rakaman Life Records, Encik Osman Ariffin, nyanyiannya pernah merantau jauh ke Malaysia, Brunei dan kepulauan Riau.

“Orang di Singapura atau di seberang, kenal Allahyarhamha Hasnah Kana ini sebagai penyanyi lagu-lagu tradisional. Lagu-lagu Melayu Deli, Asli dan beliau lebih cenderung atau kekuatannya adalah pada lagu-lagu sedemikian," kata Encik Osman yang pernah bekerjasama dengan Allahyarhamha bagi rakaman semula lagu-lagu 'Dayang Senandung' dan 'Bercerai Kasih'.

“Industri muzik, bukan sahaja Singapura kehilangan seorang bakat dan seseorang yang terus menerus memperjuangkan lagu-lagu Melayu Asli, lagu-lagu tradisional. Itu yang kita bangga dengan perjuangannya."

Pemergian Allahyarhamha Hasnah Kana turut dirasai aktivis mapan seni tempatan, Nadiputra, yang mengakui beliau sendiri salah seorang peminat nyanyian Allahyarhamha.

"Bakat besar dalam bidang seni suara, yang diberi anugerah semulajadi seni suara, yang tidak dibuat-buat. Memang tak dinafikan kita telah kehilangan seorang penyanyi dalam ruang seni suara yang tradisional ini. Satu kehilangan besar," jelas Nadiputra.

Penolong Naib Presiden, Eaglevision, Cik Azizah Malik yang mengenali Allahyarhamha sejak beliau berkecimpung dalam industri seni turut berkongsi memorinya: "Beliau dianugerahkan dengan suara lunak terutama bila menyanyikan lagu-lagu tradisional. Seorang yang baik dan lemah lembut budi bicara."

Rakan-rakan Allahyarhamha Hasnah Kana menyifatkannya sebagai penyanyi yang cukup berdisiplin dan setia memartabatkan muzik tradisional Melayu.

Beliau kali terakhir membuat persembahan bersama kumpulan irama tradisional Orkes Melayu Mutiara yang diasaskan beliau dan suaminya.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan