Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejalan kaki 60 tahun bersyukur terselamat dari dihempap tembok kedai Stesen MRT Yew Tee

Anggaran Waktu Membaca:
Pejalan kaki 60 tahun bersyukur terselamat dari dihempap tembok kedai Stesen MRT Yew Tee

Gambar: Sakthimogan Sinnakannu

SINGAPURA: Ketika Saktimogan Sinnakannu yang berusia 60 tahun berjalan lalu sebuah kedai kosong yang sedang menjalani kerja-kerja ubah elok di Stesen MRT Yew Tee pada pagi Hari Krismas (25 Dis), beliau terdengar bunyi retak yang kuat sebelum penghadang besi di pintu masuk kedai itu runtuh.

"Saya sedang berjalan dengan perlahan apabila saya terdengar bunyi kuat seperti letupan bom. Saya rasa semua batu bata (di dalam kedai) runtuh jadi itulah yang menyebabkan tembok besi itu runtuh," kata beliau dalam wawancara menerusi telefon bersama dengan Mediacorp sehari selepas kejadian itu.

Encik Sinnakannu yang bekerja sebagai seorang pegawai logistik berada di sekitar kawasan itu bersama isterinya untuk membeli barang dapur setiap dua minggu di Pasar Yew Tee yang terletak bersebelahan dengan stesen MRT tersebut.

Beliau bersendirian ketika itu kerana isterinya masih membeli beberapa barangan daripada pasar berkenaan.

Mereka menetap di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terletak kira-kira sepuluh minit daripada pasar berkenaan.

Sebahagian daripada penghadang itu menimpa troli pasarnya yang berada antara beliau dan kedai tersebut.

Setelah menyedari apa yang berlaku, Encik Sinnakannu dengan pantas mengelaknya, nyaris-nyaris dihempap oleh tembok yang runtuh.

Ini bagaimanapun menyebabkannya terjatuh ke belakang. Mujur, beliau dapat menahan dengan tangannya, lantas dapat mengelakkan kepalanya daripada tercedera.

"Saya sangat terkejut dan saya panik selepas itu," katanya.

Encik Sinnakannu berkata para pegawai dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba sejurus selepas kejadian itu dan beliau dibawa ke jabatan kecemasan Hospital Ng Teng Fong di Jurong East.

SCDF memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai panggilan meminta bantuan di 21 Choa Chu Kang North 6 pada sekitar pukul 12.10 tengah hari.

Encik Sinnakannu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibenarkan pulang pada hari yang sama.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Ang Hang Guan, naib presiden kanan penyenggaraan landasan kereta api SMRT Trains berkata kejadian itu berlaku di dalam premis kedai yang disewakan kepada Ananas Food Market.

Penyewa "sedang menjalankan kerja-kerja ubah elok dan melaporkan bahawa tembok dalam kedainya runtuh," kata Encik Ang.

"Ubah elok di premis kedai itu sudah digantung dan kawasan sekitar kedai itu juga sudah ditutup sebagai langkah berjaga-jaga."

Beliau menambah bahawa perkhidmatan kereta api di stesen MRT Yew Tee tidak terjejas.

Encik Sinnakannu berkata beliau bersyukur tidak mengalami kecederaan akibat kejadian itu namun masih lagi cuba mengatasi rasa terkejut yang dialaminya.

"Saya tidak boleh tidur malam semalam. Saya masih memikirkan bagaimana tembok itu runtuh dari pintu masuk. Nasib baik saya tidak berada di dalamnya, jika tidak, tembok itu pasti akan menimpa saya," kata beliau.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan