Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejabat Ubisoft S'pura disiasat atas dakwaan perkauman, gangguan seksual

Dua wanita mendakwa berlaku gangguan seksual di Ubisoft Singapore manakala seorang lagi pekerja berkata "jurang gaji antara pekerja tempatan dan ekspatriat tidak masuk akal."

Anggaran Waktu Membaca:
Pejabat Ubisoft S'pura disiasat atas dakwaan perkauman, gangguan seksual

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 18 Aug 2021 05:35PM Dikemas Kini : 18 Aug 2021 05:47PM

SINGAPURA: Pejabat Ubisoft di Singapura kini sedang disiasat berhubung dakwaan gangguan seksual dan diskriminasi berbaur perkauman.

Demikian menurut Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan yang Adil dan Progresif (TAFEP).

Siasatan tersebut yang terbaru membabitkan firma Perancis itu yang merupakan sebuah syarikat gergasi permainan video.

Beberapa kakitangan kanan penerbit judul popular Assassin's Creed dan Far Cry itu meletak jawatan tahun lalu setelah timbul dakwaan salah laku seksual.

Laman media permainan Kotaku bulan lalu menerbitkan dakwaan mengenai gangguan, perbuatan buli dan jurang gaji berdasarkan kaum menyusuli temu bual dengan 20 pekerja sedia ada dan bekas kakitangan di Ubisoft Singapore.

Badan pemantau TAFEP menyatakan pada Selasa (17 Ogos) bahawa pihaknya mula menjalankan siasatan selepas menerima "maklum balas tanpa nama yang mengandungi pautan ke artikel media mengenai dakwaan gangguan di tempat kerja dan layanan tidak adil di Ubisoft Singapore".

Ia juga menggesa sesiapa yang mengetahui mengenai tingkah laku jenayah seperti gangguan seksual dan serangan untuk melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Bekas kakitangan dan pekerja syarikat yang dinukil dalam laporan Kotaku itu bercakap atas syarat nama mereka tidak didedahkan.

Dua wanita mendakwa menjadi mangsa sentuhan dan komen tidak senonoh, manakala seorang pekerja berkata: "Jurang gaji antara pekerja tempatan dan ekspatriat tidak masuk akal."

Ubisoft Singapore dalam satu kenyataan kepada AFP menyatakan pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang dibangkitkan kepada badan pemantau berkenaan.

"Oleh kerana perbincangan sedang berlangsung, kami tidak ada sebarang maklumat untuk dikongsikan setakat ini," tambah kenyataan itu.

"Setiap studio Ubisoft, termasuk Ubisoft Singapore, berusaha untuk menyediakan dan memupuk budaya yang dapat dibanggakan oleh anggota pasukan dan rakan kongsi. Kami tidak dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang salah laku atau diskriminasi."

Akhbar Straits Times melaporkan Ubisoft mempunyai sekitar 500 pekerja di sini, yang sedang dikembangkan sebagai hab serantau untuk syarikat-syarikat teknologi.

Industri permainan global sejak sekian lama dibelenggu kritikan mengenai cara ia memperlakukan golongan wanita dan minoriti dalam dunia permainan dan realiti.

Tahun lalu pengurus di Ubisoft Toronto dan Montreal dituduh melakukan salah laku seksual.

Kakitangan kanan di Brazil, Bulgaria dan Amerika Syarikat juga menghadapi tuduhan, dengan beberapa insiden didakwa berlaku bertahun-tahun yang lalu.

Awal bulan ini, sebuah lagi gergasi permainan, Activision Blizzard mengumumkan rombakan barisan pengurusan ekoran tunjuk perasaan pekerja dan tuntutan mahkamah di California yang mendakwa syarikat itu membenarkan keadaan tempat kerja yang toksik dan mendiskriminasi terhadap wanita.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan