Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejabat Mufti S'pura keluarkan panduan tentang cara hadapi virus korona Wuhan

 Di tengah-tengah cabaran virus korona Wuhan, Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menekankan bahawa Islam memberi keringanan atau fleksibiliti jika seseorang itu sedang sakit.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Di tengah-tengah cabaran virus korona Wuhan, Pejabat Mufti Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menekankan bahawa Islam memberi keringanan atau fleksibiliti jika seseorang itu sedang sakit.

Dalam satu irsyad atau panduan agama hari ini (30 Jan), ia menukil bahawa Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. "pernah melarang individu yang sakit berjangkit dari keluar dari tempatnya (Hadith riwayat Imam Muslim). Larangan ini bagi membendung penyakit yang berjangkit daripada merebak ke kawasan lain dan tidak menjejas individu lain", menurut Pejabat Mufti.

Umat Islam, tambah Pejabat Mufti, juga perlu memastikan mereka menuruti nasihat pakar dan petugas kesihatan.

"Ini termasuklah jika kita perlu meletakkan diri di bawah asingan (kuarantin) bagi kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat umum," menurut panduan yang dimuat naik di laman rasmi MUIS itu.

Pejabat Mufti menyatakan, Islam memberikan keringanan kepada seseorang pesakit dalam menghadapi kesukaran sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Fath, ayat 17, yang bermaksud: “Tidak ada kesulitan (yang diletakkan) ke atas orang buta, dan tidaklah ada kesulitan (yang diletakkan) ke atas orang tempang, dan tidaklah (harus) ada kesulitan (yang diletakkan) atas orang sakit.”

Dalam erti kata lain, panduan itu menasihati orang ramai supaya mengelak tempat-tempat sesak sekiranya mereka berasa kurang sihat.

Ini sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan virus korona Wuhan yang sudah merebak ke luar China, termasuk di Singapura.

Lantaran itu, sekiranya seseorang mempunyai simptom-simptom seperti demam, batuk, selesema mahupun sesak nafas atau dalam keadaan perlu dikuarantin, ia merupakan keuzuran yang diberikan keringanan untuk seseorang meninggalkan solat Jumaat.

Ini, menurut Pejabat Mufti, turut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Rauḍah Al-Ṭālibīn. Bagaimanapun, solat Jumaat perlu digantikan dengan solat Zohor, menurut panduan agam tersebut.

PASTIKAN SUMBER SAHIH, ELAK BUAT ANDAIAN

Sehubungan itu, dalam keadaan di mana banyak berita mengenai virus korona Wuhan disebarkan, panduan agama Pejabat Mufti juga mengingatkan masyarakat lslam supaya memastikan kesahihan berita yang dterima.

Orang ramai tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang belum pasti benar dan dapat mengakibatkan kekacauan dan kebingungan di sisi masyarakat.

Panduan itu juga menekankan ia merupakan sebahagian daripada peringatan Allah buat umat Islam.

Tambahan lagi, penting bagi orang ramai tidak mudah mengeluarkan kenyataan dengan sewenang-wenangnya, seperti membuat andaian bahawa musibah yang berlaku adalah disebabkan sesuatu kesilapan atau dosa, menurut Pejabat Mufti.

JAGA KEBERSIHAN DIRI, AWASI TAHAP KESIHATAN

Namun yang penting adalah umat Islam terus menjaga kebersihan diri dan mengawas tahap kesihatan, menurut irsyad tersebut.

Ini termasuk mengamalkan budaya membasuh tangan dengan sabun agar sebarang kuman yang mungkin berada di tangan tidak akan masuk ke dalam tubuh.

Panduan agama tersebut juga menarik perhatian bahawa Islam mengajar umat mengutamakan maslahat dan keselamatan masyarakat awam. Ini dapat dilakukan melalui kerjasama padu yang perlu diberikan supaya kesihatan awam dijaga.

Ini juga dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kita.

"Seandainya kita mengalami tanda-tanda kurang sihat seperti demam, batuk, selsema mahupun sesak nafas, gunakan pelitup hidung dan mulut dengan betul. Gunalah tisu untuk menutup mulut dan hidung semasa kita batuk atau bersin.

"Pada masa yang sama, segera dapatkan rawatan perubatan dan elakkan dari bersentuhan secara fizikal dengan orang ramai, termasuk bersalaman, sebagai contoh," jelas Pejabat Mufti.

Sebagai Muslim yang bertanggungjawab, menurut panduan tersebut, orang ramai turut dianjurkan agar menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke China disebabkan situasi virus korona yang tidak menentu.

Namun jika perlu, pastikan individu itu mengambil langkah-langkah berjaga, di samping memastikan beliau tidak menghampiri haiwan hidup tanpa perlu. Selain itu, orang ramai juga harus memastikan makanan disediakan dengan bersih dan dimasak dengan cukup dan sempurna.

Yang pasti, masyarakat Islam Singapura mempunyai peranan penting untuk memastikan keadaan virus korona Wuhan dapat terus dikawal serta penularan dapat dibendung.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan