Skip to main content

Singapura

Pejabat Mufti keluarkan fatwa baru mengenai pemakaian tudung dalam khidmat beruniform

Fatwa baru mengenai pemakaian tudung beri panduan bagi para jururawat Muslim atau para pegawai beruniform lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pejabat Mufti hari ini (26 Okt) mengumumkan fatwa baru oleh Jawatankuasa Fatwa, yang bertujuan memberi panduan bagi para jururawat Muslim atau para pegawai beruniform lain yang mungkin menghadapi kesukaran menutup aurat disebabkan dasar-dasar uniform di tempat kerja.

Fatwa tersebut dikeluarkan sedang para jururawat mula dibenarkan memakai tudung di hospital-hospital awam bermula 1 Nov ini. Sejak kebenaran tersebut diumumkan oleh pemerintah pada Ogos tahun ini, Pejabat Mufti menyatakan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima sebilangan pertanyaan.

Ini termasuklah mengenai ciri pemakaian tudung dan penutupan aurat dalam konteks klinikal seperti hospital serta isu penutupan aurat bagi wanita dalam perkhidmatan-perkhidmatan beruniform.

AMALAN AGAMA & KONTEKS

Menurut Jawatankuasa Fatwa, Islam dan syariahnya mengambil pertimbangan serius soal konteks (waqi) dan keadaan tertentu (ahwal) kerana ia mempunyai implikasi terhadap individu, masyarakat dan lingkungan lebih besar.

Lantaran itulah seandainya seseorang individu tidak dapat memakai tudung misalnya disebabkan waqi dan ahwal yang sukar, ini "tidak menjadikan seseorang itu Muslim yang lemah atau lalai", menurut fatwa tersebut.

Menurut fatwa itu lagi, ada sebilangan keadaan di tempat kerja di mana wanita Muslim mungkin tidak dapat menutup sepenuhnya aurat mereka, khususnya dalam perkhidmatan berpakaian seragam kerana dasar-dasar dan keperluan institusi.

Dalam keadaan seperti itu menurut fatwa tersebut, "kita hendaklah mengelak daripada mengambil jalan mudah mencegah wanita daripada bekerja" tanpa mengambil kira penilaian menyeluruh prinsip-prinsip agama.

Dalam sektor jagaan kesihatan, ia mempunyai dasar 'Bare Below Elbow' (BBE) yang mana bahagian siku ke bawah tidak boleh ditutup dan perlu bebas pakaian atau barang kemas. Ini demi mengelakkan risiko jangkitan yang boleh membahayakan pesakit mahupun jururawat sendiri.

"Keperluan sedemikian dibenarkan dalam Syariah. Dalam tradisi fiqih klasik, had aurat wanita sudah dibahaskan dan ada pandangan-pandangan yang membenarkan lengan wanita terdedah di luar solat, jika perlu," menurut Pejabat Mufti, yang turut menukil surah Al-Baqarah ayat 286 yang menekankan betapa "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya".

Jadi, jika tudung perlu digantikan dengan penutup kepala lain seperti topi pembedahan dalam bilik pembedahan, atau perlu dibuka ekoran keperluan klinikal atau keselamatan, ini juga dibolehkan menurut fatwa tersebut.

Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa berkata, pihaknya sudah mengadakan pelbagai perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk anggota masyarakat dan asatizah bagi mengkaji hukum-hukum Islam berhubung isu pemakaian tudung di tempat kerja.

"Isu pemakaian tudung di tempat kerja adalah sesuatu yang rumit bukan pada menyatakan hukum asal menutup aurat kerana hukum tersebut sudah jelas. Tetapi kerana ia sesuatu kewajipan agama yang berkait dengan pelaksanaannya di dalam situasi tertentu", jelas Dr Nazirudin.

BAGI PEKERJA BERUNIFORM LAIN SELAIN JURURAWAT

Menurut fatwa itu lagi, dalam konteks para pekerja dalam perkhidmatan-perkhidmatan berpakaian seragam yang lain, "para pegawai terjejas perlu membuat pertimbangan teliti masing-masing berdasarkan dasar-dasar kerja dan sebab-sebab bagi dasar tersebut, termasuk perlunya bekerja dan berkhidmat kepada masyarakat dan negara".

"Mereka berada dalam kedudukan lebih baik untuk menimbangkan kedudukan tertentu masing-masing dan membuat keputusan mereka sendiri berdasarkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai Syariah," menurut Pejabat Mufti lagi.

Antara prinsip tersebut ialah mengutamakan keperluan-keperluan yang lebih penting dan tanggungjawab-tanggungjawab dalam hidup.

"Sebagai contoh, bagi ramai individu, bekerja bukanlah suatu pilihan atau boleh diketepikan, tetapi suatu keperluan. Agama menyuruh kita supaya berdikari dalam menyara diri kita sendiri dan tidak mengharapkan bantuan orang lain.

"Agama menganggap bekerja sebagai suatu keperluan asas yang membolehkan kita menjaga diri kita dan tanggungan kita demi mewujudkan suatu kehidupan yang bermaruah dan seimbang. Dalam konteks ekonomi hari ini, keperluan ini bukan sahaja untuk jangka pendek, tetapi harus dipertimbangkan untuk jangka panjang," menurut fatwa itu.

Menurutnya lagi, sebahagian daripada konsep daruriyyat dalam Syariah ialah memastikan kehidupan yang selamat dan bermakna serta kestabilan dan kemakmuran negara.

"Apabila seseorang memenuhi daruriyyat tetapi malangnya tidak dapat menutup aurat sepenuhnya kerana dasar-dasar pekerjaan sedia ada, maka menurut prinsip-prinsip syariah, wanita berkenaan boleh memilih untuk kekal dalam pekerjaan tersebut selagi ini tidak membawa bahaya kepada dirinya ataupun orang lain," jelas fatwa tersebut.

Dr Nazirudin Nasir turut memberikan penjelasan berikut kepada pihak media:

"Bagi pegawai yang berada dalam perkhidmatan seragam lain yang tidak dibenarkan untuk memakai tudung, fatwa menggalakkan mereka untuk mempertimbangkan situasi mereka dengan teliti dan membuat keputusan yang bijak ialah kerana keadaan setiap individu mungkin berbeza termasuk keperluan seseorang untuk menyara kehidupan diri dan keluarga serta sifat pekerjaan dan sebab dasar yang terkait dengan menjaga kesejahteraan, kestabilan dan kemakmuran kehidupan dan negara.

"Maka terdapat situasi-situasi dan keadaan-keadaan di mana seseorang boleh terus bekerja walaupun tidak dapat menutup auratnya dengan sempurna berdasarkan garis pandu pekerjaan yang telah disediakan."

Empat daripada 24 anggota Jawatankuasa Fatwa adalah asatizah wanita.

Salah seorang Anggota Tetap Jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Rohana Ithnin menjelaskan mengapa pendekatan yang tidak pukul rata diambil dalam melakar fatwa tersebut.

"Darurat maknanya genting, terpaksa, betul-betul tak ada jalan lain, kita perlu melakukan sesuatu atas dasar darurat. Tapi daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat ia di bawah objektif syariah yang paling tinggi iaitu maqasid shariah. Jadi fatwa ini apabila kita lihat, kita tidak lihat dari sudut umum yang ada di luar sana tapi kita lihat dari prinsip syariat khazanah Islam yang sebelum ini. Yang mana dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan, melihat dari sudut maqasid shariah ini iaitu daruriyyat atau keperluan asas, kemudian hajiyyat apabila naik sedikit ke tahap kedua dan ketiga tahsiniyyat." kata Ustazah Dr Rohana.

"Jadi tidak ada satu ukuran untuk semua. Jadi sudah ada di kalangan jururawat, yang mereka melihat bahawa tugasan sebagai jururawat itu di peringkat tahsiniyyat. Ada yang melihat betul-betul inilah mata pencarian yang mereka perlu dan mereka tidak dapat nak elak dan perlu bertugas." 

FATWA BERTUJUAN MENGUPAYA

Secara keseluruhannya, fatwa tersebut berasaskan prinsip dan bertujuan mengupaya masyarakat Muslim - bukan untuk mengeluarkan huraian bersifat umum untuk semua orang, menurut MUIS.

Ia bermatlamat membimbing wanita Muslim untuk menimbangkan dengan teliti keadaan unik masing-masing dan mengupaya mereka dengan prinsip-prinsip Islam yang akan membolehkan mereka membuat keputusan yang seimbang dan baik bagi diri mereka sendiri.

Ini juga bermakna bahawa penting untuk memastikan bahawa wanita Muslim yang boleh memakai tudung jika dasar uniform tempat kerja membenarkan, harus berbuat demikian atas kerelaan diri mereka sendiri tanpa sebarang paksaan terhadap mereka, tambah MUIS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita