Pejabat baru Mentoring SG sasar cipta peluang, bantu 500,000 belia
(Gambar: PMO)
SINGAPURA: Sekitar 500,000 belia berpeluang mendapat pembimbing atau mentor yang membantu mereka dalam pembangunan peribadi, kerjaya mahupun pendidikan.
Ini menerusi sumber-sumber kebangsaan yang baru bagi bidang pementoran.
Pejabat Mentoring SG itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa Sidang Puncak Bimbingan Nasional pada Jumaat (9 Dis).
Usaha mendampingi belia oleh pejabat itu akan memanfaatkan kemajuan dibuat Perikatan bagi Tindakan Mentoring yang dimulakan pada Mac tahun lalu.
Ia mewujudkan sekitar 4,000 peluang bimbingan bagi golongan belia sejauh ini dengan bantuan lebih 1,000 pebimbing korporat.
DPM Wong berkata, pejabat baru itu akan membina kepakaran dan sumber, selain membantu peluang-peluang pementoran di peringkat kebangsaan.
Ini termasuk menubuhkan portal sehenti untuk membantu para mentor dan belia mencari peluang khusus bagi keperluan mereka.
Ia juga akan melatih para pebimbing dan meluaskan program bimbingan berstruktur bagi golongan belia.
DPM Wong juga menggesa syarikat-syarikat supaya meningkatkan usaha seperti menggalak kakitangan melakukan tugas bimbingan tidak rasmi atau menyertai program sedia ada.
Beliau juga mencadangkan sumber-sumber diikrarkan kepada masyarakat pembimbing atau bekerjasama dengan Pejabat Mentoring SG.
"Pada akhirnya, kami harap dapat menjadikan Singapura tempat yang penuh peluang bagi semua. Sebuah tempat dengan laluan yang pelbagai dan berpotensi bagi setiap rakyat Singapura bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi mereka tidak kira latar belakang. Sebuah negara yang mana belia kita boleh mengejar impian dan mencapai kejayaan luar biasa kerana mereka mempunyai sumber dan modal sosial untuk dimanfaatkan.
"Bimbingan adalah salah satu sumber ini dan ia memaparkan semangat persahabatan dan saling menyokong yang amat penting demi memajukan Singapura," ujar DPM Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.