Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peguam sumbangkan $40,000; tubuhkan Biasiswa ETF-Bazul Ashbab bantu pelajar Muslim

Seramai 80 penuntut posmenengah Muslim akan menerima $500 setahun setiap seorang bagi tempoh empat tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Peguam sumbangkan $40,000; tubuhkan Biasiswa ETF-Bazul Ashbab bantu pelajar Muslim

Encik Bazul Ashhab, pengerusi ETF Encik Abdul Razak Maricar dan CEO Yayasan MENDAKI Zuraidah Abdullah. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

SINGAPURA: Seramai 80 penuntut posmenengah Muslim akan menerima $500 setahun setiap seorang bagi tempoh empat tahun akan datang.

Ini menerusi Biasiswa Dana Amanah Pendidikan - Bazul Ashbab (ETF-Bazul Ashbab) yang dilancarkan pada Isnin (23 Ogos).

Biasiswa itu dibiayai sepenuhnya oleh peguam Encik Bazul Ashbab dengan sumbangan bernilai $40,000.

Demikian menurut satu kenyataan media oleh Yayasan MENDAKI dan Oon & Bazul LLP.

YAKIN KEPADA MOBILITI SOSIAL

Encik Bazul melahirkan penghargaannya kepada MENDAKI dan ETF atas peluang untuk membantu masyarakat.

Encik Abdul Malik, Encik Bazul Ashhab, Encik Abdul Razak Maricar, Cik Zuraidah Abdullah (CEO Yayasan MENDAKI) dan Timbalan CEO MENDAKI Cik Zulaiha Yusuf. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Encik Abdul Malik, Encik Bazul Ashhab, Encik Abdul Razak Maricar, Cik Zuraidah Abdullah (CEO Yayasan MENDAKI) dan Timbalan CEO MENDAKI Cik Zulaiha Yusuf. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

"Saya melakukan ini dengan penuh rasa rendah diri dan dengan tumpuan teguh bagi berkhidmat kepada masyarakat. Saya yakin kepada mobiliti sosial dan kisah Singapura.

"Kisah dan kejayaan saya hanya boleh berlaku kerana wujud peluang-peluang di Singapura bagi semua individu yang sedia bekerja keras, tanpa mengira kaum, yang mencerminkan ideal-ideal meritokrasi Singapura," kata Encik Bazul.

SASAR TERUS BUAT KEBAIKAN DEMI BERI PELUANG PENDIDIKAN

Encik Bazul percaya bahawa pendidikan merupakan satu daya yang dapat menyamaratakan ketidaktekalan sosial dalam ekonomi Dunia Pertama seperti di Singapura.

Lantaran itu, beliau faham bagaimana pendidikan memberi individu peluang yang adil dalam memanfaatkan potensi yang sedia ada dalam ekonomi global tanpa mengira kedudukan mereka dalam kehidupan sekarang.

"Hari ini, dengan cara yang sangat kecil, saya membantu para penuntut membiayai sebahagian daripada pendidikan mereka supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada pengajian mereka.

"Saya amat menghargai usaha dan sumbangan MENDAKI kepada masyarakat dan berbesar hati dapat memainkan peranan untuk membantu," kata Encik Bazul yang juga merupakan Rakan Urusan Oon & Bazul.

YAKIN MASYARAKAT AKAN RAIH MANFAAT

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI Cik Zuraidah Abdullah turut mengalu-alukan kerjasama tersebut.

Encik Bazul Ashhab, Cik Zuraidah Abdullah dan Encik Abdul Razak Maricar. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Encik Bazul Ashhab, Cik Zuraidah Abdullah dan Encik Abdul Razak Maricar. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

Beliau yakin pemberian dana itu akan sangat membantu ramai ibu bapa Muslim yang mahu melihat anak-anak remaja mereka cemerlang dalam pelajaran mereka.

"Penyertaan Bazul ke dalam senarai penderma institusi kami akan sangat membantu meningkatkan kesejahteraan para penerima kami.

"Saya menjangkakan dapat melihat lebih ramai pelajar Muslim menjadi rakyat produktif dalam masa terdekat. Saya yakin masyarakat akan meraih manfaat daripada penglibatannya," kata Cik Zuraidah.

BERI PELUANG LATIHAN AMALI, JADI PELATIH DALAM SYARIKAT

Syarikat Oon & Bazul juga mempunyai komitmen berterusan dengan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para penuntut jurusan undang-undang.

Ditubuhkan 10 tahun lalu, Biasiswa Oon & Bazul menyediakan sokongan kewangan kepada para mahasiswa jurusan undang-undang sepenuh masa di SMU, daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Dengan kerjasama baru dengan MENDAKI ini, saya berharap dapat melanjutkan peranan saya dalam meningkatkan usaha mobiliti sosial di Singapura.

"Bagi membantu para penuntut Muslim yang bercita-cita mengambil jurusan undang-undang dan menjadi peguam selepas tamat pengajian, saya memberi mandat kepada syarikat guaman saya untuk terus menyediakan latihan amali dan peluang menjadi pelatih sebanyak mungkin," kata Encik Bazul.

ETF dilancarkan pada tahun 2002 bagi menyediakan bantuan kewangan kepada para pelajar Muslim daripada keluarga berpendapatan rendah.

Setakat ini, ETF sudah mengagihkan $28 juta kepada lebih 126,000 pelajar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan